Home » 2015 » September

TARIAN TOPENG BALI

Oleh Mohamed Ghouse Nasurudin

Antara drama tari yang terdapat di Bali, topeng satu-satunya tarian klasik Bali yang popular yang merangkum unsur tari, muzik dan drama. Sebelum kemunculan tarian topeng baharu (topeng panca), tarian topeng yang popular ialah topeng pajegan yang hanya dipersembahkan bagi upacara keagamaan ritual di bahagian dalam berhala. Topeng pajegan merangkum beberapa tarian topeng yang ditarikan oleh seorang penari/pelakon yang melakonkan berbagai-bagai watak yang berbeza.

Topeng panca bermaksud lima orang penari yang memainkan kesemua watak dalam cerita dengan menukar topeng dan hiasan kepala untuk menandakan watak yang berbeza. Cerita tentang raja Bali dipersembahkan. Persembahan ini selalunya bersabit dengan pesta berhala (odalan) dan ritual lain.

Asas tarian topeng, bahkan hampir kesemua tarian Bali ialah agem, iaitu kedudukan badan asimetrikal. Dalam pengendalian agem kanan, berat badan terletak di atas kaki kanan dengan kaki kiri di hadapan kaki kanan dalam posisi sudut 45 darjah arah ke luar. Badan dicondongkan ke kanan dan lentik bagi penari perempuan. Tangan dibengkokkan pada sudut 90 darjah dengan tapak tangan rendah dari paras siku dan fleks (flexed). Tangan kanan terletak pada paras mata, tangan kiri pada paras dada, dan kepala condong ke kanan. Posisi menentang (opposite) ditetapkan pada agem kiri. Bagi watak laki-laki gagah, semua posisi dan pergerakan dibesarkan. Kedudukan kaki bagi agem penari perempuan berjarak satu tangan, watak laki-laki halus dua tangan, dan watak gagah jaraknya besar.

Abjad tarinya merangkum gerak hayunan tangan dan kaki, getaran tapak tangan dan jari, gulingan dan getaran bahu, gerak kepala yang tajam serta kedudukan posisi badan statik, kaki dibengkokkan dan dijengkek, serta gerak kaki menyapu kain kostum yang turun di belakang penari.

Unsur staccato merupakan ciri utama pergerakan tarian topeng. Frasa gerak bermula dengan agem, iaitu lagak gaya (pose) asimetrikal badan apabila berat badan diletakkan di atas kaki kanan, kemudian dilakukan gerak getaran dan gulingan dikuti staccato dan berakhir dengan agem, yang berlangsung selama beberapa saat tanpa sebarang pergerakan – segala-galanya terhenti seperti terbeku.

Postur penari lelaki lebih kepada berjengkek dengan bahu dinaikkan dan tangan berparas bahu dan patah di sendi pergelangan tangan, siku dan bahu. Postur penari perempuan lentik (arched) dalam keadaan kaki bengkok dan punggung tonjol ke belakang kiri atau kanan.

Kemudian dilakukan gerak berjalan. Posisi tangan tetap di bahagian atas. Lengan dan bahagian tangan atas hampir selari dengan paras bahu. Kedua-dua tangan dan lengan dalam keadaan bengkok.

Tarian topeng menggambarkan gerak abstrak yang bermula dan berakhir dengan gaya agem. Pergerakan tari topeng dibahagikan kepada halus (alus) dan keras/ kasar. Gerak dan posisi jari tidak membawa sebarang makna atau cerita, hanya menggambarkan emosi serta membezakan watak tertentu. Sebagai contohnya, watak bangsawan, seperti raja, dan watak wanita, pergerakannya halus jika dibandingkan dengan pergerakan bota/gergasi yang pergerakannya besar dan gagah. Bagi watak orang tua, pergerakannya perlahan dan tidak begitu staccato.

Setiap penari menari untuk melahirkan taksu (pengalaman dan persepsi estetika); tenaga estetika yang bercampur dengan mistik serta membangkitkan persepsi estetika dalam kalangan audiens dengan memikat perhatian dan minat mereka.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran September 2015.


CBP PEMANGKIN TRANSFORMASI BUDAYA KEPENGGUNAAN?

Oleh Mohd Syukri Anwar


Setelah lima bulan cukai barangan dan perkhidmatan (CBP) dilaksanakan, pelbagai rungutan dan komen dapat dilihat dan didengar, sama ada di kedai makan, pejabat, dan rumah ataupun di dalam bas dan kereta api. Tidak kurang juga rungutan ini disuarakan dalam media sosial menerusi pelbagai aplikasi, termasuklah whatsapps, twitter, facebook dan skype. Daripada semua komen dan rungutan ini, dapat dirumuskan bahawa hampir semua orang, daripada orang kampung sehingga orang berpengaruh besar, tidak bersetuju dengan pelaksanaan CBP.

Sama ada suka ataupun tidak, CBP telah dilaksanakan dan akan terus dilaksanakan, walaupun semua rakyat berarak di jalan raya atau mengumpulkan tandatangan sebagai bukti penolakan “rejim percukaian” ini. Hal ini dikatakan demikian kerana bagi mencapai taraf negara maju, kerajaan perlu mempunyai sistem percukaian yang mampu menampung perbelanjaan yang lebih besar bagi pelaksanaan pelbagai projek negara, di samping menampung perbelanjaan lain. Maka sistem percukaian baharu ini dikatakan mampu memenuhi keperluan itu.

Begitu juga, sama ada rela ataupun tidak, hasil kutipan CBP melebihi beberapa bilion ringgit. Dalam sehari sahaja, kutipan ini dikatakan mencatat angka berpuluh-puluh juta ringgit. Angka ini tidak semestinya tepat kerana ada lagi peniaga yang tidak mengamalkan sistem dalam talian dari segi kutipan CBP. Begitu juga bagi peniaga yang hanya mengeluarkan resit yang ditulis dengan tangan, nilai kutipan CBP belum diambil kira.

Di balik semua perkara negatif yang dilemparkan ini, tanpa disedari wujud sedikit demi sedikit perubahan dalam sikap dan budaya pengguna, terutama ketika sesuatu barangan ingin dibeli. Perubahan ini merupakan nilai berharga yang sejak dahulu cuba dipupuk dan disemai oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menerusi penyebarluasan sensitiviti terhadap hak pengguna.

Sedih dan malangnya, usaha ini seolah-olah gagal. Maka tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa walaupun pengguna terpaksa membayar perubahan ini dengan harga yang mahal, sekurang-kurangnya dari satu sisi yang kecil, besar impaknya, iaitu hak pengguna yang berhubung dengan peniaga dapat diangkat dan difahami dengan lebih baik. Hal ini penting supaya peniaga tidak sewenang-wenangnya membuli pengguna dengan menjadikan CBP sebagai faktor dan alasan bagi kenaikan harga setiap barangan yang dijual di premis mereka.

Kini pengguna ibarat harimau yang luka dan ingin mengamuk. Mereka perlu bertindak balas atau mencari jalan keluar daripada sistem ini serta bertransformasi hingga 100 peratus dan 360 darjah. Jika tidak, pengguna pasti bermasalah. Waktu ini perlu dimanfaatkan sebaik-baik mungkin bagi merangka strategi untuk mengurangkan tempias CBP. Pengguna tidak perlu meratap atau menyanyikan lagu pilu kerana mengenangkan nasib yang ibarat sudah jatuh ditimpa tangga ini. Tidak perlulah bermimpi pada waktu siang dengan memikirkan cara untuk menukarkan kerajaan kerana perkara itu hanya dapat dilakukan menerusi pilihan raya umum.

Berdasarkan teori psikologi, manusia hanya benar-benar berubah setelah dirinya benar-benar tersepit. Dalam konteks pelaksanaan CBP, seakan-akan wujud tanda bahawa pengguna memang tersepit. Tersepit ini dalam konteks pengurusan perbelanjaan harian. Namun begitu, tidak perlulah membayangkan kesempitan ini seperti yang dialami oleh rakyat Mesir yang menjurus kepada penggulingan kerajaan, sebagai contoh. Cukuplah mereka melihat perkara ini sekadar untuk mempersiapkan diri menjadi pengguna yang bijak, berilmu dan berani. Oleh sebab itu, dalam konteks ini, beberapa perkara harus dilakukan oleh pengguna dan sememangnya inilah yang telah dicari oleh pengguna sebagai rujukan dan amalan.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran September 2015.

Posted in: Fokus, Pilihan Utama

HANGAT-HANGAT TAHI AYAM?

Restoran ini terletak di Kampung Attap, Kuala Lumpur, dan menjalankan perniagaan dari pagi hingga tengah hari setiap hari, kecuali hari Ahad dan cuti umum. Biasanya selepas makan tengah hari, restoran ini ditutup. Daya penariknya ialah kari kepala ikan untuk makan tengah hari. Pelanggannya memang banyak – kenderaan diletakkan di tepi jalan sehingga kerap mengganggu kelancaran lalu lintas; ada pemilik yang kadangkala disaman oleh pihak berwajib. Harga makanan dan minuman dapat dikatakan berpatutan, tetapi hal itu tidak menjadi masalah kerana memenuhi cita rasa.

Sejak pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (CBP), yang tertera pada resit restoran ini hanyalah jumlah besar harga yang perlu dibayar oleh pelanggan. Tiada perincian tentang harga makanan dan minuman yang dibeli oleh pelanggan, termasuk CBP. Hanya pelanggan tetap yang mengetahui sama ada harga makanan dan minuman itu naik ataupun kekal – pastinya tidak turun – tanpa mengira CBP.

Lokasi restoran ini pula di Taman Rasa Sayang, Petaling Jaya. Waktu perniagaannya dari pagi hingga malam setiap hari – kadang-kadang tutup pada hari Ahad dan hanya bercuti semasa hari cuti umum. Pemiliknya merungut kerana terpaksa membeli mesin kira wang baharu yang berharga beribu-ribu ringgit oleh sebab pelaksanaan CBP. Walaupun tidak berpuas hati, pemiliknya tetap mematuhi arahan – mungkin takut dikenakan tindakan undang-undang. Dalam resit restoran ini, perincian tentang makanan dan minuman yang dibeli oleh pelanggan tertera dengan jelasnya, termasuk CBP.

Notis di pasar raya mini di Taman Intan Setia, Tanjong Malim, ini menyatakan bahawa CBP telah dimasukkan dalam harga barangan yang dipaparkan di rak. Dahulu pek malt coklat dua kilogram itu berharga RM17.99. Selepas dikenakan enam peratus CBP, harganya sepatutnya RM19.07. Walau bagaimanapun, harga yang dipaparkan di rak ialah RM19.10 – peningkatan tiga sen. Sebenarnya banyak orang yang tidak menyedari peningkatan harga tersebut, kecuali pengguna tetap malt coklat itu.

Pada hakikatnya, CBP menjadikan sebahagian daripada masyarakat lebih sedar terhadap hak mereka sebagai pengguna. Dahulu mereka tidak pernah atau jarang-jarang meminta resit pembelian di premis yang tidak mengeluarkannya atau yang mengeluarkannya jika diminta, tetapi kini resit itu diminta untuk diteliti. Bagi yang amat sedar, mereka akan mengira CBP yang dikenakan terhadap barangan tersebut sehingga mereka dapat mengesan berlakunya peningkatan harga barangan itu yang tidak sepatutnya terjadi. Bagi yang lebih amat sedar, hal sedemikian akan dilaporkan kepada pihak berwajib.

Sememangnya CBP sedikit banyak mengubah budaya kepenggunaan dalam kalangan masyarakat negara ini. Pada awal pelaksanaannya, kedengaran banyak omelan daripada masyarakat pengguna tentang itu dan ini. Setiap hari media, baik arus perdana mahupun alternatif, memainkan isu tersebut sehingga orang yang diberi tanggungjawab untuk memastikan kelancaran pelaksanaan CBP pada peringkat kabinet berubah status – daripada kurang atau tidak dikenali kepada amat dikenali.

Namun demikian, selepas lima bulan, keadaan kelihatannya telah kembali tenang. CBP tidak lagi dibincangkan secara meluas, apatah lagi menjadi isu utama dalam media kerana dibayangi isu lain. Adakah perubahan budaya kepenggunaan masyarakat negara ini sekadar hangat-hangat tahi ayam?

Salam Aidiladha 1436.

Armin Azhari Saleh

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran September 2015.