Home » 2016 » January

RAWATAN PENCEGAHAN BURUT DALAM MASYARAKAT BAJAU SAMA’

Teks: Sabran Kibong

Dalam dunia pascamoden sekarang, perubatan tradisional semakin dipinggirkan. Namun demikian, bagi masyarakat Bajau Sama’ di Sabah, warisan pengubatan leluhur mereka masih utuh dilestarikan. Pelbagai alternatif dilakukan dalam perubatan tradisional Bajau Sama’ supaya tidak lapuk ditelan zaman.

Aspek perbidanan masa ini lebih popular dengan wanita berseragam putih yang dikenali sebagai jururawat desa. Mereka sudah mengambil alih peranan nenek tua bidan kampung si serata pelosok desa di negara kita. Konotasi jururawat yang membawa kaedah perubatan berteknologi membawa wajah baharu terhadap dunia perbidanan.

Namun begitu, peranan bidan kampung dalam masyarakat Bajau Sama’ masih hidup dengan nilai warisan perubatannya, malah masih relevan digunakan dalam arus pemodenan. Khidmat bidan kampung masih tetap diperlukan di beberapa buah daerah majoriti petempatan Bajau Sama’, seperti Kota Belud dan Tuaran.

Bagi masyarakat Bajau Sama’, tugas perbidanan begitu sinonim dengan alam kehidupan manusia simboliknya sebagai pembuka pintu kelahiran. Bayi yang baru lahir memerlukan penjagaan rapi. Bayi mudah diserang penyakit, seperti demam, kembung perut dan masuk angin. Kerap terjadi juga bayi yang baru lahir terkena penyakit burut, sejenis penyakit kampung.

Bagi masyarakat Bajau Sama’, penyakit burut juga dikenali sebagai benurut, iaitu pengumpulan angin yang berada di kawasan kemaluan bayi atau lebih jelas di bahagian ari-ari. Menurut kepercayaan masyarakat ini, penyakit burut perlu disampang ketika bayi berusia tiga hari agar tidak melarat menjadi burut. Pada peringkat awal, penyakit bayi ini dikenali sebagai buntal-buntalan.

Perkataan buntal-buntalan ialah kata pinjaman bidan kampung Bajau Sama’ terhadap penyakit burut. Penyakit ini dapat dikesan apabila seseorang bidan itu melihat bahagian ari-ari bayi tersebut yang mengalami masalah bengkak kecil kerana kekembungan. Bagi bayi lelaki, masalah kekembungan itu berlaku pada bahagian kanan atau kiri buah zakar apabila keadaan biji atau telur membesar. Bagi bayi perempuan pula, masalah kekembungan itu berlaku pada bahagian atas kemaluan, iaitu bahagian ari-ari atau turut dikenali sebagai tundun oleh masyarakat Bajau Sama’.

Seseorang bidan kampung yang telah ditempah untuk mengurus segala hal adat kelahiran mempunyai tanggungjawab yang cukup besar bagi memastikan ibu dan anak mendapat rawatan yang sempurna. Seperti yang kita tahu, bayi yang baru lahir memerlukan penjagaan yang lebih rapi. Oleh itu, sebagai bidan yang arif tentang perubatan tradisional, penyakit, seperti buntal-buntalan, perlu disampang lebih dahulu agar tidak melarat menjadi penyakit burut sehingga mendatangkan mudarat.

Penyakit burut bukan hanya mampu menyebabkan bayi sering mengalami kesakitan yang melampau pada bahagian kemaluan, malah penyakit ini dapat melarat ke alam dewasa. Rawatan bagi penyakit burut ini dilakukan sebelum hari gugurnya tali pusat bayi tersebut. Bayi akan segera disampang dengan menggunakan jampi dan kaedah tumbuh-tumbuhan seiring dengan beberapa pantang larang yang ditekankan sepanjang tempoh rawatan yang menggunakan perubatan tradisional. Antara jampi yang dibaca semasa rawatan terhadap penyakit buntal-buntalan termasuklah:

E buntal e betitik kepala agung-agung,

Bamban badan baiduri buntal,

Memberi mauk, naik si raja,

Tawar turun si raja bisa.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Januari 2016.

ZIPI DAN BUDAYA MILENIUM

Teks: Muhamad Rafiq Abdul Rahman

Zipi! Itulah istilah yang merujuk anak liberalisasi yang digunakan oleh Thomas L. Friedman dalam bukunya Dunia Sama Rata: Sejarah Ringkas Dunia Global Abad ke-21. Zipi, yang juga dikenali sebagai generasi Z, ditakrif sebagai penduduk muda bandar atau pinggir bandar yang berumur antara 15 tahun hingga 25 tahun yang mempunyai semangat yang luar biasa.

“Mereka ialah generasi yang mempunyai sikap yang mempesonakan, bercita-cita tinggi dan penuh aspirasi, serta tenang dan yakin, ditambah dengan kreativiti yang cukup tinggi,” jelas majalah mingguan India, Outlook. Kira-kira 54 peratus rakyat India berada di bawah umur 25 tahun, iaitu lebih kurang 555 juta orang. Sebanyak enam daripada 10 isi rumah di India mempunyai sekurang-kurangnya seorang zipi yang berpotensi menggegarkan dunia!

Itulah senario yang berlaku tentang perubahan generasi baharu yang turut menuntut budaya baharu dalam pelbagai aspek kehidupan dan keperluan. Generasi ini memacu destinasi dan bukan dipacu, berpandangan luas dan bukannya sempit, sentiasa maju dan bukannya terperangkap di sesuatu tempat.

Yang menariknya, apabila generasi itu bergerak dari satu peringkat ke peringkat yang lebih tinggi seperti sekarang, iaitu perubahan zaman yang dikenali sebagai zaman milenium, budaya tempatan turut mempengaruhinya. Hal ini dikatakan demikian kerana budaya yang dibawa sekarang merupakan budaya baharu yang dikenali sebagai budaya milenium. Budaya ini berkiblatkan teknologi maklumat sebagai akses terpenting untuk perhubungan, hiburan, interaksi, pencarian maklumat dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, budaya baharu pasti akan wujud dengan sendirinya mengikut peredaran masa dan zaman tanpa disedari.

Di Malaysia, perubahan budaya ini tidak ketinggalan dirasai oleh masyarakatnya. Jika diamati, budaya baharu ini semakin hari semakin pantas meninggalkan masa dahulu yang sekali gus menyebabkan ketinggalannya budaya bangsa yang diperturunkan oleh nenek moyang terdahulu.

Perubahan budaya terjadi dalam setiap kehidupan masyarakat, mencakup perubahan budaya yang mengandungi nilai dan tatacara kehidupan daripada tradisional menjadi moden. Max Weber, dalam bukunya Socialogical Writings, berpendapat bahawa perubahan budaya merupakan perubahan situasi dalam masyarakat sebagai akibat ketidaksesuaian unsur. Buku Socialogy in Changing World nukilan W. Kornblum pula menyatakan bahawa perubahan sesuatu budaya itu berlaku dalam jangka waktu yang lama.

Hal ini turut menyumbang kepada faktor pengalaman baharu, pengetahuan baharu, penemuan baharu, persepsi dan konsepsi baharu, serta teknologi baharu sehingga menuntut penyesuaian cara hidup serta kebiasaan masyarakat pada situasi yang baharu. Jika diperhalus dengan lebih mendalam, faktor pendorong kepada kehendak budaya baharu ini meliputi beberapa perkara.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Januari 2016.

Posted in: Fokus, Pilihan Utama

TIADA LAMA ATAU BAHARU – HANYA TERKINI DAN SEMASA

Lebih kurang 30 tahun yang lalu, berebut-rebut orang membeli tiket di panggung wayang Cathay di pekan kecil itu. Filemnya Bukit Kepong – masih panas walaupun tiba lewat di pekan itu – dibarisi bintang ternama dalam dunia perfileman tanah air waktu itu – Jins Shamsuddin, A. Rahim, Hussain Abu Hassan, antaranya. Waktu tayangan lazimnya 3.00 petang dan 7.00 malam pada hari biasa dan tambahan 9.30 malam pada hujung minggu.

Kini panggung wayang itu sudah tiada lagi. Di tapaknya sudah didirikan pasar raya. Orang pekan itu tidak lagi menonton wayang di panggung wayang. Kini mereka dapat menonton wayang di rumah dengan lebih selesa kerana adanya kemudahan stesen televisyen berbayar. Ada saluran khusus untuk filem yang baru ditayangkan di panggung wayang, yang kini lebih kecil daripada panggung dahulu dan pastinya lebih selesa.

Untuk menonton filem terkini itu, mereka perlu berbelanja lagi, tetapi tiada sesiapa yang merungut, kecuali jika kadar bayaran dinaikkan – itu pun hanya seketika. Jika ada rasa tidak puas hati, mereka tidak perlu melanggan saluran itu. Mereka mempunyai pilihan kerana dapat menonton filem dengan menggunakan telefon pintar, yang mempunyai aplikasi tertentu secara percuma pada bila-bila masa di mana-mana sahaja.

Orang itu berstatus teraju utama organisasi. Dia berada di atas pentas kerana mengiringi tetamu kehormat majlis tersebut. Usianya sudah melepasi umur persaraan perkhidmatan organisasinya, tetapi khidmatnya terus ditagih kerana kepakarannya demi kepentingan organisasi dan negara.

Ketika tetamu kehormat menyampaikan ucapan perasmian majlis, orang itu kelihatannya membelek-belek sesuatu. Rupa-rupanya dia sedang menaip sesuatu pada telefon pintarnya. Mungkin dia sedang menaip isi penting yang disampaikan oleh tetamu kehormat untuk rujukan dan tindakan lanjutnya. Mungkin juga dia sedang melaporkan ucapan tetamu kehormat itu dalam media sosial secara langsung untuk kemaslahatan umum.

Begitulah situasi dunia sekarang. Dunia kini makin canggih, makin banyak memberikan kemudahan kepada penghuninya. Jika dahulu kita ke panggung wayang untuk menonton wayang terbaharu, kini kita dapat menontonnya di rumah atau dengan menggunakan telefon pintar. Jika dahulu kita membaca berita tentang sesuatu peristiwa pada esoknya atau mengetahuinya melalui berita radio atau televisyen selepas peristiwa itu tamat, kini kita tidak perlu lagi melakukan begitu.

Teknologi terkini mengubah cara kehidupan manusia sekarang. Teknologi terkini dikatakan mewujudkan budaya baharu dalam kehidupan masyarakat masa ini. Budaya baharu itu tidak mengenal generasi, baik lama mahupun baharu. Pada hakikatnya, tidak ada generasi lama atau generasi baharu, budaya lama atau budaya baharu. Yang ada hanyalah inovasi demi inovasi yang menghasilkan sesuatu yang terkini yang digunakan oleh generasi semasa.

*****

Pada kesempatan ini, saya mengucapkan “selamat jalan” dan terima kasih kepada Muhamad Rafiq Abdul Rahman yang berhijrah ke Bahagian Pengembangan Sastera Kanak-kanak dan Remaja pada 1 Disember 2015 yang lalu setelah dinaikkan pangkat. Muhamad Rafiq berkhidmat sebagai penolong editor Dewan Budaya mulai keluaran November 2012 hingga keluaran Januari 2016. Beliau banyak melakukan kerja lapangan. Marilah kita berdoa agar Muhamad Rafiq memperoleh kejayaan yang lebih cemerlang di tempat baharunya.

Selamat menyambut tahun baharu Masihi 2016.

Armin Azhari Saleh

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Januari 2016.