Home » 2017 » January

Angpau dari Perspektif Masyarakat Tionghoa

OLEH CHAI LOON GUAN

Seperti perayaan utama yang lain, Tahun Baharu Cina tetap disambut pada setiap tahun, yakni antara 21 Januari dengan 20 Februari menurut takwim masyarakat Tionghoa, Nong Li, atau takwim petani.  Pada tahun ini, Tahun Baharu Cina disambut pada 28 dan 29 Januari.

Yang pasti, setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina, sampul angpau akan diberikan tanpa gagal. Lazimnya, dalam kalangan masyarakat Tionghoa dan barangkali sesetengah masyarakat Asia Timur, angpau, laisee, ya sui qian, atau hongbao merupakan cenderamata berbentuk wang yang diberikan atau dihulurkan pada musim percutian dan meraikan sambutan atau perayaan khas, seperti hari perkahwinan, hari pengijazahan dan hari kelahiran, selain Tahun Baharu Cina.

Angpau bermula pada zaman dinasti Sung di China. Kononnya, sebuah perkampungan yang bernama Chang-Chieu telah diancam oleh raksasa, Nian. Tiada orang yang mampu menewaskan raksasa tersebut biarpun dalam kalangan wirawan atau negarawan. Walau bagaimanapun, hadirnya seorang anak yatim, yang bersenjatakan pedang sakti warisan leluhurnya, telah berjaya menewaskan dan membunuh raksasa tersebut. Kejayaan anak muda itu telah membangkitkan kegembiraan dan kebanggaan penduduk setempat. Mereka menghadiahi pemuda itu sampul berwarna merah yang berisikan wang sebagai tanda penghargaan. Sejak peristiwa itu, angpau menjadi sebahagian daripada amalan tradisi masyarakat Cina.

Warna merah pada sampul pula melambangkan nasib baik dan bertindak sebagai pengusir roh jahat. Pada kelazimannya, sampul angpau diberikan oleh pasangan yang sudah berumah tangga kepada yang masih bujang tanpa mengira usia, tua atau muda, pada musim percutian dan perayaan utama masyarakat Cina. Imej yang terpapar pada kulit depan sampul bermaksud ucap selamat atau dirgahayu kehidupan, dikurniai kemakmuran dan kesihatan yang baik dan berpanjangan selagi hayat dikandung badan. Imej, seperti bunga teratai, naga, cenderawasih, zodiak dua belas binatang, nanas keemasan, Buddha dan kanak-kanak, turut menghiasi sampul angpau mutakhir.

Pada kebiasaannya, jumlah wang di dalam sampul angpau berangkakan nombor genap. Menurut kepercayaan masyarakat Cina, wang yang berjumlahkan angka ganjil dapat diasosiasikan dengan unsur kematian atau perkabungan. Namun begitu, di sesetengah daerah kediaman di China, jumlah wang yang berangkakan nombor ganjil turut diberikan, terutama dalam majlis perkahwinan, agar wang pemberian tersebut tidak mudah dibahagikan. Wang pemberian juga tidak harus diberikan bermula dengan angka empat atau berjumlahkan 40, 400, dan 444 kerana angka empat sering dihubungkaitkan dengan homofon bahasa Cina, iaitu mati, atau berkaitan rapat dengan kematian.

****

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Januari 2017.

Posted in: Tradisi

Bahasa Membina Tamadun Bangsa

OLEH JENIRI AMIR

Bahasa Melayu merupakan antara sembilan bahasa di dunia yang dituturkan oleh lebih daripada 100 juta orang penutur, selain Mandarin, Sepanyol, Inggeris, Bengali, Hindi, Portugis, Rusia dan Jepun.  Bahasa Melayu sebenarnya dituturkan oleh sekitar 300 juta orang penutur, tetapi jumlah penutur semata-mata tidak menjamin  bahawa sesuatu bahasa dan bangsa dapat mencapai kemajuan.

Bahasa Inggeris, umpamanya, dapat mencapai kemajuan kerana penggunaannya meluas dan dalam pelbagai disiplin ilmu. Bahasa itu digunakan di 115 buah negara. Bahasa Inggeris mempunyai lebih daripada dua juta kosa kata, kini bertambah antara 800 hingga 1000 kosa kata setahun. Pada abad ke-20, Oxford English Dictionary menambah sebanyak 90 ribu kosa kata. Kamus yang mula diusahakan pada tahun 1857,  bagi edisi kedua yang diterbitkan pada tahun 1989, mempunyai 21 728 halaman dalam 20 jilid.  Edisi ketiga mula diusahakan pada tahun 2000.

Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam satu majlis di Kuala Lumpur baru-baru ini, “Perbendaharaan kata sesuatu bahasa menggambarkan khazanah tamadun, hubungan silang budaya yang berlaku, kisah pengembaraan, sifat keterbukaan, dinamisme, kemajuan, dan tahap kemahiran teknologi sesuatu bangsa pada sesuatu masa. Bahasa utama di dunia memiliki adukan perbendaharaan kata daripada pelbagai bahasa.”

Kita tidak patut mengambil langkah berundur ke belakang ketika bahasa itu sudah jauh berada di hadapan dan mempunyai potensi untuk terus tumbuh dan berkembang. Namun begitu, masih terdapat pemimpin politik yang mengambil pendekatan populis  dan tidak praktikal dengan beranggapan bahawa negara tidak akan maju tanpa bahasa Inggeris. Seolah-olah negara  mundur kerana bahasa Melayu dan bahasa Melayu tidak mungkin dapat mencapai kemajuan. Sebagai orang yang memerhatikan perkembangan dan pertumbuhan bahasa Melayu secara dekat untuk lebih tiga dekad, penulis ini hairan dengan pendirian, sikap, dan kenyataan yang dibuat oleh pemimpin nasional dan negeri  yang menggambarkan ketidakyakinan mereka terhadap bahasa Melayu.

****

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Januari 2017.

Posted in: Fokus

Bersepakat Mendaulatkan Bahasa Melayu

OLEH ALIAS ISMAIL

Apabila semakin hari semakin banyak pihak memperkatakan nasib, maruah, pengaruh, dan masa depan bahasa Melayu di tanah air sendiri, mungkin kita cenderung bertanya sekurang-kurangnya kepada diri sendiri, “Adakah cukup hanya undang-undang dan perlembagaan negara berperanan sebagai alat untuk meletakkan bahasa Melayu pada kedudukan yang wajar?” Soalan tersebut sebenarnya sukar dijawab dengan tepatnya. Namun demikian, sekiranya kita berfikir secara mudah dan melihat persoalan itu hanya sekali imbas, mungkin kita lebih cenderung mengeyakannya.

Mengapa saya mempunyai tanggapan demikian? Sebenarnya kedudukan  bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Malaysia, pada umumnya, tidak mengalami sebarang gugatan sekiranya kita melihat isu ini hanya dari sudut undang-undang. Ada sekurang-kurangnya dua sebab saya berkata demikian. Yang pertama, bahasa Melayu telah diberi jaminan oleh Perlembagaan Persekutuan, iaitu melalui Perkara 152. Yang kedua, kerajaan telah pun menggubal Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang juga dikenali sebagai Akta 32. Fungsi kedua-dua perkara itu tidak lain daripada memastikan bahasa Melayu terpelihara kedudukannya sebagai bahasa yang paling tinggi martabatnya di negara ini dan wajib dihormati oleh keseluruhan rakyatnya.

Sungguhpun demikian, dari sisi pemikiran yang lain, berkemungkinan besar kita menjadi lebih cenderung untuk memberikan jawapan yang berbeza daripada jawapan yang diujarkan tadi. Dengan perkataan yang lain, kita mungkin tidak bersetuju bahawa undang-undang atau perlembagaan yang sedia ada itu sudah memadai untuk dijadikan sebagai alat bagi memartabatkan bahasa kebangsaan. Kita mungkin percaya bahawa ada perkara lain yang sepatutnya turut diberi perhatian bagi menjawab semua persoalan yang berkaitan dengan nasib, maruah, pengaruh, dan masa depan bahasa kebangsaan di bumi bertuah ini.

****

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Januari 2017.

Posted in: Fokus

Satu Hari di Kuala Kubu Bharu

Ahli politik itu menggunakan bahasa kebangsaan ketika berucap dalam majlis yang bertaraf antarabangsa itu.  Yang dapat dikatakan ialah bahawa 99 peratus daripada ucapannya menggunakan bahasa kebangsaan. Sesekali beliau menggunakan perkataan dalam bahasa Inggeris kerana tidak dapat mencari padanannya dalam bahasa kebangsaan demi kelancaran ucapan. Ayat yang dibinanya pun dapat dikatakan baik. Dalam peperiksaan, beliau layak menerima pangkat A+. Pencapaian ini amat baik bagi orang yang bahasa pertamanya bukan bahasa Melayu.

Pengacara majlis antarabangsa tersebut mengambil tindakan yang aneh yang sama sekali bertentangan dengan ahli politik itu.  Beliau mengacarai majlis itu dengan menggunakan bahasa Inggeris – ada ketikanya juga beliau menggunakan bahasa kebangsaan –  walaupun mereka yang tidak memahami bahasa kebangsaan hanya 18 orang pengkarya oleh sebab mereka bukan rakyat negara ini, setelah merujuk buku cenderamata majlis antarabangsa tersebut.  Yang menambahkan keanehan ialah bahasa ibunda pengacara itu ialah bahasa Melayu.

Tanpa menidakkan kepentingan bahasa Inggeris pada hari ini, yang diyakini ialah bahawa Pesta Kesenian Antarabangsa Kuala Kubu Bharu itu dapat dianjurkan dengan menggunakan bahasa kebangsaan, terutama ketika majlis perasmian. Tiada apa-apa yang dapat dilakukan jika 18 orang pengkarya itu tidak menggunakan bahasa kebangsaan ketika berforum. Namun demikian,  inilah peluang untuk kita menunjukkan bahawa bahasa Melayu mampu digunakan dalam majlis yang bertaraf antarabangsa, terutama di tanah airnya, dan seterusnya menjadi bahasa antarabangsa yang disegani, seperti pada suatu ketika dahulu.  Sebagai pemimpin, ahli politik itu menunjukkan teladan yang baik dengan menggunakan bahasa kebangsaan ketika menyampaikan ucapannya.

Dari segi yang lain, pujian harus diberikan kepada Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan beberapa buah badan tempatan yang lain kerana menganjurkan Pesta Kesenian Antarabangsa Kuala Kubu Bharu.  Pesta (perkataan pesta digunakan sebagai padanan festival dalam bahasa Inggeris walaupun perkataan festival ada dalam kosa kata bahasa Melayu) ini menjadi manifestasi iltizam dan tekad sebuah pihak berkuasa tempatan, yang jauh daripada hiruk-pikuk kota, dikelilingi kehijauan yang mendamaikan, untuk sama-sama menyumbang kepada kemajuan seni, terutama seni visual, tanah air.

Kehadiran Pesta Kesenian Antarabangsa Kuala Kubu Bharu dalam takwim pesta negara menjadi bukti bahawa MDHS mampu menganjurkan dua acara antarabangsa dalam setahun.  Pada bulan April setiap tahun, Kuala Kubu Bharu menjadi hos peminat, pencinta, dan pemerhati burung dari dalam dan luar negara.  Oleh itu, kedua-dua acara ini bukan sahaja memberikan ruang dan peluang kepada pelancong tempatan dan antarabangsa untuk menikmati keindahan kehijauan yang mengelilingi pekan itu, malah menjanakan pendapatan tambahan kepada penduduk.

Yang menarik perhatian juga ialah bahawa MDHS mempunyai rancangan untuk menganjurkan program Tahun Melawat Hulu Selangor pada tahun ini sebagai ekoran kejayaan penganjuran dua acara antarabangsa pada tahun lepas.  Memang ada banyak tempat menarik di daerah itu, seperti Sungai Chiling, selain Kuala Kubu Bharu, pekan terancang pertama di negara ini. Jika dilaksanakan, MDHS menjadi pihak berkuasa tempatan pertama yang menganjurkan acara seumpama itu.

Sehubungan dengan itu, ada baiknya jika pihak berkuasa tempatan yang lain mengikut langkah MDHS, dengan menganjurkan pesta sedemikian dan tahun melawat daerah masing-masing.  Di Pulau Pinang, sudah ada Festival Persuratan George Town dengan tumpuan kepada kesusasteraan, sementara Johor mempunyai Festival Penulis dan Pembaca Johor Bahru dengan aktiviti perbukuan sebagai tumpuannya, yang dianjurkan oleh badan bukan kerajaan. Majlis Daerah Jerantut, misalnya, boleh menganjurkan Pesta Gendang Antarabangsa sementara Majlis Perbandaran Kuala Kangsar boleh sahaja mengembalikan Pesta Chandan dengan konsep dan pengisian baharu.

MDHS mendapat dukungan yang kuat daripada beberapa banyak pihak untuk menjayakan perencanaannya.  Semua pihak itu mempunyai iltizam dan tekad yang sama dan kuat untuk menjayakan apa-apa juga perencanaan demi kebaikan bersama. Bersatu teguh bercerai roboh.

Selamat menyambut tahun baharu Masihi 2017.

Armin Azhari Saleh

Posted in: Nota Editor