Home » 2017 » February

Inggeris Memenjarakan Minda Kita

Teks JENIRI AMIR

Mengapakah Inggeris mengasaskan sekolah aliran Inggeris  sewaktu menjajah negara ini? Adakah Inggeris hendak memandaikan masyarakat tempatan? Mungkinkah Inggeris memberikan pendidikan kepada masyarakat tempatan kerana ingin menjadikan mereka sebagai pemuja Inggeris?  Dengan hal yang demikian, apabila negara ini mencapai kemerdekaan, pengaruh Inggeris tetap ada pada segelintir rakyat negara ini. Pengaruh bahasa Inggeris bagai berakar umbi dalam kalangan rakyat sehingga perlu diakui bahawa hal itu memberikan kesan langsung terhadap kedudukan, imej, dan nilai bahasa Melayu.

Pendidikan dan bahasa merupakan dua perkara yang saling berkaitan rapat. Sesuatu sistem pendidikan lazimnya memilih satu bahasa pengantar untuk menyampaikan kandungan pelajaran yang terkandung dalam sukatan pelajaran atau kurikulum. Pada awal abad lepas, setiap kaum mempunyai sistem pendidikannya sendiri. Terdapat empat jenis sekolah yang menggunakan bahasa pengantar yang berlainan, iaitu sekolah Inggeris, sekolah Melayu, sekolah Cina dan sekolah Tamil.

Masyarakat Melayu mempunyai sekolah pondok dan sekolah vernakular Melayu yang didirikan oleh British. Bahasa pengantar ialah bahasa Arab dan bahasa Melayu.  Komuniti Cina dan Tamil masing-masingnya menggunakan bahasa Mandarin dan bahasa Tamil dengan orientasi sukatan pelajaran kepada negara China dan India.

Sekolah Inggeris mula berkembang di Tanah Melayu setelah Penang Free School ditubuhkan pada tahun 1816. Sekolah ini dikuasai oleh mubaligh Kristian pada peringkat awal penubuhannya, dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Oleh sebab sekolah itu terletak di bandar, maka kedudukannya menguntungkan komuniti Cina dan India serta elit Melayu di bandar. Orang Melayu, yang kebanyakannya tinggal di luar bandar, tidak dapat meraih manfaat daripada sekolah berkenaan.  Sistem pengangkutan yang mundur dan yuran yang dikenakan menyebabkan masyarakat Melayu di luar bandar sukar menghantar anak mereka ke sekolah terbabit.

Sekolah Inggeris dianggap sebagai elitis dan hanya untuk orang yang berada dan bangsawan Melayu. Kurikulum yang berasaskan Senior Cambridge Certificate Examination  menyebabkan lulusan berkenaan mempunyai nilai yang tinggi. Maka lebih mudah untuk mereka mendapatkan pekerjaan, termasuk dalam syarikat swasta.

****

Artikel ini dipetik dari Dewan Budaya Bil.2 2017

Posted in: Fokus

Cendekiawan Awam Membuka Cakerawala

Teks AWANG AZMAN AWANG PAWI

Bagaimanakah  membina cendekiawan yang berakal antarabangsa berakar kebangsaan? Di negara membangun, pembinaan imaginasi sosiologi menjadi cabaran yang besar, lebih-lebih lagi dengan budaya membaca yang kurang gemerlapan. Di sinilah peranan golongan  cendekiawan dalam wacana ilmu berupaya memberikan kesegaran perspektif pemikiran yang kritis dan  bermanfaat kepada masyarakat.

Cendekiawan dan  Imaginasi Sosiologi

Yang dimaksudkan dengan  cendekiawan ialah  individu atau kelompok yang memusatkan pemikiran  tentang sesuatu persoalan, sentiasa berfikir secara teliti,  serta mengemukakan idea yang segar  dan bermanfaat, dengan kemampuan akal budi yang sihat.  Kesemua hal ini dihasilkan dengan renungan  dan pengetahuan yang ada pada diri mereka. Golongan  ini cuba merungkaikan permasalahan masyarakat, melihat sesuatu secara menyeluruh pada  sudut pandangan pemikiran mereka, dan terlibat dalam pelbagai isu yang luas. Mereka ini boleh sahaja seniman, negarawan, ahli falsafah dan agama, usahawan dan teknokrat. Pada zaman dahulu, tuk guru ialah intelektual pada zamannya dan dihormati oleh masyarakat kerana berpengetahuan luas, bijak memecahkan persoalan, dan teliti ketika menganalisis sesuatu perkara yang berlaku dalam masyarakatnya.

Isu hudud, misalnya, bukan sekadar hudud, tetapi diiring pemahaman  dengan takzir, qisas dan diat.  Tatkala hudud merujuk  hukuman yang ditentukan dan ditetapkan  dalam al-Quran dan hadis, perlu juga pertimbangan  qisas yang berprinsip pada hukuman balasan sama, di samping pertimbangan  konsep diat yang berasaskan konsep ganti rugi.  Tuk guru, sebagai intelektual, tahu  akan keutamaan dalam Islam sebelum melaksanakan hukum hudud.  Tuk guru tersebut dapat dianggap sebagai cendekiawan berakal antarabangsa dan sejagat, tetapi mempunyai akar peribadi yang memahami situasi masyarakat setempat di tanah airnya.

Namun demikian, golongan cendekiawan itu tidak sama  dengan kelompok inteligensia yang merupakan  golongan  berpendidikan, mempunyai status kelas, dan moden yang banyak  membentuk budaya DNA politik masyarakat. Cendekiawan  ini tidak semestinya terdiri daripada inteligensia kerana golongan intelektual tidak semestinya berpendidikan tinggi.

****

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Bil.2 2017.

Posted in: Fokus

Inggeris dan Rakyat Negara Ini

Menurut catatan sejarah, Inggeris mula bertapak di Tanah Melayu pada tahun 1786. Pada tahun itu, Inggeris mengambil alih pentadbiran Melaka daripada Belanda.  Banyak pihak berpandangan bahawa tahun tersebut dapat dianggap sebagai tempoh bermulanya penjajahan (ada pihak yang menggunakan istilah pentadbiran) Inggeris di negara ini.

Dari tahun tersebut, sedikit demi sedikit Inggeris meluaskan pengaruhnya di Tanah Melayu.  Inggeris meletakkan wakilnya yang disebut sebagai residen di negeri yang ditadbirnya secara langsung atas undangan pemimpin tempatan; sultan hanyalah sebagai boneka.  Di negeri yang tidak ditadbirnya secara langsung, wakil Inggeris dikenali sebagai penasihat.  Namun demikian, pada hakikatnya, baik residen mahupun penasihat, Inggeris tetap menjadi pentadbir dan bukannya raja Melayu.

Dalam tempoh penjajahannya, Inggeris mendirikan sekolah untuk memberikan pendidikan kepada orang tempatan.  Penang Free School ialah sekolah pertama yang didirikannya, pada tahun 1816.  Kemudian muncullah beberapa banyak sekolah Inggeris yang lain, seperti Victoria Institution di Kuala Lumpur pada tahun 1893, Malay College Kuala Kangsar pada tahun 1905, dan Clifford School di Kuala Lipis pada tahun 1913.

Mengapakah Inggeris mendirikan sekolah sebegitu?  Ada pihak yang berpendapat bahawa sekolah sebegitu didirikan untuk menerapkan idealisme Inggeris dalam kalangan masyarakat tempatan.  Dengan hal yang demikian, Inggeris akan terus menjajah negara ini secara implisit, melalui minda masyarakat tempatan dan menjadikan mereka sebagai pemuja Inggeris (sesetengah pihak lebih suka menggunakan istilah pencinta Inggeris) walaupun negara ini telah mencapai kemerdekaan.

Menurut seorang rakan penulis ini, dia mendapat pendidikan menengah di sekolah beraliran Inggeris pada tahun 1960-an.  Oleh sebab itu, dia mampu untuk berbahasa Inggeris dengan baiknya.  Namun demikian, apabila dia berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), penggunaan bahasa Melayu yang baik menjadi keutamaannya.  Hal ini dikatakan demikian kerana itulah perjuangan DBP.  Jika dia tidak bertugas di tempatnya sekarang, tidak mustahil jika dia sentiasa menggunakan bahasa Inggeris dan menjadi pemuja Inggeris.

Penulis ini juga mendapat pendidikan menengah di sekolah yang diasaskan oleh penjajah. Sekolah itu didirikan oleh Inggeris pada awal abad ke-20 untuk melatih dan menyediakan golongan elit Melayu sebagai pentadbir apabila negara ini mencapai kemerdekaan.  Pendidikan yang diberikan memanglah sama seperti yang berlaku di Britain, dengan sedikit pengubahsuaian dengan pemasukan pendidikan Islam.

Tidak seperti rakan sepejabat penulis ini, sewaktu penulis ini belajar di sekolah tersebut, aliran Inggeris telah ditukarkan kepada aliran kebangsaan.  Semua mata pelajaran, kecuali bahasa Inggeris, diajarkan dengan menggunakan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu.  Rata-ratanya pelajar sekolah itu mampu menggunakan kedua-dua bahasa tersebut dengan baiknya.

Penulis ini menganggotai kumpulan Whatsapp dan Telegram bersama-sama rakan sekolah yang lain.  Ada antara rakan penulis ini dalam kumpulan Whatsapp dan Telegram tersebut yang berbicara dengan menggunakan bahasa Inggeris yang amat baik – mungkin lebih baik daripada pengguna asli bahasa itu.  Hal ini tidak menghairankan, malah memang dijangkakan, oleh sebab mereka yang menggunakan bahasa penjajah itu melanjutkan pengajian di luar negara, terutama di Britain, Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand.

Pada hakikatnya, setelah 50 tahun menikmati kemerdekaan, Inggeris masih menjajah negara ini.  Inggeris berjaya menanam idealismenya dengan amat kuat sewaktu menjajah negara ini.  Tidak cukup dengan hal itu, kini wujud gerakan yang memperjuangkan penggunaan bahasa Inggeris dengan lebih meluas.  Kata gerakan ini, penguasaan bahasa Inggeris rakyat negara ini sekarang tidak sebaik penguasaan bahasa Inggeris mereka yang terdahulu. Kata gerakan ini juga, penguasaan bahasa Inggeris rakyat negara ini mesti baik untuk menghadapi cabaran global.

Memang kita tidak menafikan kepentingan bahasa Inggeris.  Seluruh dunia tahu akan hal itu dan rakyat seluruh dunia mengambil langkah tertentu untuk meningkatkan penggunaan bahasa tersebut.  Yang kita tidak mahu ialah minda rakyat negara ini terus dipenjarakan oleh Inggeris walaupun mereka telah setengah abad meninggalkan negara ini.  Namun demikian, apabila melihat suasana sekeliling sekarang, yang diyakini ialah bahawa minda rakyat negara ini akan terus-menerus dipenjarakan oleh Inggeris.

Armin Azhari Saleh

Posted in: Nota Editor