Home » 2017 » March

Peranan Gendang dalam Hikayat Pahang

Teks HASRINA BAHARUM

Gendang ialah sejenis alat muzik tradisional Melayu yang diperbuat daripada kayu bulat panjang yang berongga dan direntang dengan kulit serta mampu menghasilkan bunyi apabila dipukul. Gendang mempunyai variasi saiz dengan nama tersendiri, seperti rebana untuk gendang kecil dan redap untuk gendang bersaiz sederhana dan besar. Menurut Mohamed Ghouse Nasuruddin, hanya terdapat empat jenis gendang yang termasuk dalam ensembel muzik Melayu, iaitu gendang, gedombak, geduk dan rebana.

Walaupun gendang dikatakan mempunyai pengaruh daripada tradisi kebudayaan agama Hindu dari India, Mohamed Ghouse menjelaskan bahawa masyarakat Melayu kemudiannya telah mengubahsuai penciptaan alat muzik tersebut sesuai dengan kebudayaan tempatan sehingga membentuk cirinya yang tersendiri. Pada suatu masa dahulu, gendang bukan sahaja menjadi alat kebesaran dan simbol kedaulatan dalam kesultanan Melayu, tetapi mempunyai peranan penting sebagai alat komunikasi bagi menyampaikan mesej tertentu kepada masyarakat.

Dalam Hikayat Pahang, misalnya, dipaparkan bahawa paluan gendang menjadi medium perantaraan yang menggambarkan mesej tentang hubungan diplomatik antara dua buah kerajaan. Paluan gendang digambarkan menjadi simbol penghormatan daripada seseorang raja Melayu untuk menyambut ketibaan delegasi daripada kerajaan yang lain. Dalam suatu episod, Bendahara Seri Maharaja Ali dari Pahang disambut dengan paluan kompang oleh Sultan Lingga ketika dia tiba untuk meraikan majlis pengangkatan gelaran puteranya, Sultan Mahmud Muzaffar Syah. Perkara ini dijelaskan oleh pengarang menerusi petikan yang berikut, dalam Hikayat Pahang yang diselenggarakan oleh Kalthum Jeran:

Dua hari dua malam angkatan Datuk Bendahara Seri Maharaja Ali pun sampai(lah) ke Lingga, masuk dengan bebasnya. Sekaliannya memukul gong gendang. Maka kenaikan pun dilabuh sauh. Maka dengan segeranya Datuk Bendahara Seri Maharaja Ali berangkat naik ke darat diiringkan orang besar-besar, Perdana Menteri menghadap Yang Maha Mulia ke balairung; …

****

Artikel ini dipetik dari Dewan Budaya Bil.3 2017

Posted in: Fokus

Misi Pencarian Gendang Pahang di Jerantut

Teks dan Foto ARMIN AZHARI SALEH dan ANINAH JANANG

Pada hari ini, mungkin masyarakat bandar tidak lagi mengenali gendang Pahang atau berpeluang melihat persembahan menarik hasil daripada paluannya. Kalau ada sekalipun, mungkin hanyalah dalam acara terpilih yang jarang-jarang diadakan, seperti Citrawarna Malaysia yang diadakan setahun sekali atau acara terpilih anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Hal ini berlaku mungkin disebabkan oleh dua faktor. Yang pertama, gendang Pahang, atau lebih dikenali sebagai gendang tetawak, tidak lagi mendapat sambutan. Oleh itu, kepentingan dan kehebatannya mula dilupakan. Ada kemungkinan juga bahawa seni persembahan gendang Pahang ini terlalu eksklusif sehingga “mahal” untuk diadakan.

Gendang Pahang pernah menjadi alat  tradisional yang masyhur di Pahang. Pada suatu ketika dahulu, dipercayai bahawa golongan istana sendiri yang mempelajari dan memainkan gendang Pahang. Dari istana sehingga kampung, gendang Pahang menjadi penghibur hadirin dalam setiap keraian dan menjadi penyeri setiap majlis.  Menurut JKKN, asal usul gendang Pahang dibawa oleh Dato’ Perba Jelai dan penyebarannya dilakukan oleh tiga generasi selepas itu.

Meskipun gendang Pahang dibawa oleh Dato’ Purba Jelai, oleh sebab gendang ini membawa pengaruh yang besar dalam kalangan penduduk tempatan, maka gendang Pahang mula dimainkan oleh penduduk di sepanjang Sungai Jelai dan Sungai Pahang. Yang dipercayai ialah bahawa gendang Pahang turut menerima pengaruh Islam kerana irama dan lagu yang digubah merupakan gandingan peralatan yang dibawa dari Asia Barat dan sering dimainkan bagi memeriahkan majlis keramaian, majlis perkahwinan, dan majlis rasmi, di samping mengiringi tarian tradisional Melayu, silat, dan pembesar negeri.

Gendang Pahang agak berbeza daripada gendang dari negeri yang lain kerana tidak diiringi serunai, tetapi dilengkapkan dengan gabungan tiga alat muzik yang lain, iaitu gendang ibu, gendang anak dan gong. Gendang Pahang mempunyai iramanya tersendiri yang dikenali sebagai Bujang Hilir. Irama itu dimulakan dengan rentak pembukaan dan diakhiri oleh rentak membunuh atau rentak mati, di samping rentak yang lain.

Daripada penyelidikan yang dibuat oleh penulis ini, tidak banyak maklumat yang dapat diperoleh mengenai gendang Pahang. Jika ada sekalipun, beberapa blog dan makalah dalam akhbar tempatan yang diterbitkan sebelum ini tidak menjelaskannya dengan lebih lanjut, apatah lagi merungkaikan kehebatan gendang ini. Maklumatnya terbatas.

****

Artikel ini dipetik dari Dewan Budaya Bil.3 2017

Posted in: Fokus

Gerakan Menyelamatkan Gendang Pahang

Sajian majlis perkahwinan di Kampung Kuala Mai, Kuala Krau, itu kelihatan sedap. Selain hidangan yang lazim ditemukan dalam majlis sebegitu, seperti ayam masak merah dan rendang daging lembu, kali ini ada gulai ikan patin.  Bagi sebahagian besar daripada tetamu majlis tersebut, gulai ikan patin merupakan sajian “biasa” kerana mereka masyarakat tempatan.  Bagi penulis ini, sajian tersebut “luar biasa” kerana jarang-jarang dihidangkan dalam majlis sebegitu di ibu kota.

Sambil menikmati hidangan itu, tetamu disajikan oleh persembahan gendang Pahang oleh sebuah kumpulan tempatan.  Pemimpin Kumpulan Unggul Tori mengumumkan bahawa mereka akan memainkan dua buah lagu.  Seraya tetamu, termasuk penulis ini, menikmati jamuan, kumpulan gendang Pahang itu melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh tuan rumah. Yang pasti, tetamu lebih menghayati hidangan daripada menghayati persembahan gendang Pahang!

Tiba-tiba sahaja tidak lagi kedengaran muzik yang dimainkan oleh kumpulan gendang Pahang itu.  Rupa-rupanya mereka telah tamat memainkan dua buah lagu itu, seperti yang diumumkan oleh pemimpin kumpulan.  Dua buah lagu?  Tidak dengar seperti persembahan dua buah lagu pun.  Yang dapat didengar hanyalah paluan gendang dan gong.  Barangkali penulis ini terlalu “taasub” kepada sajian gulai ikan patin, dan yang lain-lain, sehingga tidak sedar bahawa kumpulan gendang Pahang itu telah memainkan dua buah lagu.

Tidak banyak orang yang mengetahui perihal apa-apa sahaja tentang gendang Pahang.  Mungkin tidak salah jika dikatakan bahawa ada orang Pahang pun yang tidak tahu akannya.  Kini ada segelintir orang yang giat berusaha untuk memartabatkan seni dan budaya Pahang yang telah lama “bersembunyi” itu.  Pelbagai usaha dilakukan oleh kumpulan ini untuk memaklumatkan dan mengilmukan masyarakat Pahang, khususnya, dan rakyat negara ini, amnya, tentang warisan nenek moyang itu.

Muhammad Muhamad Yunus dan Khairul Azhar Abdullah hanya insan biasa di Jerantut, yang masih mampu menghirup udara bersih, yang masih dapat makan hidupan sungai yang segar, yang tidak perlu menghadapi kerenah lalu lintas yang menyakitkan badan dan hati.  Muhammad penulis ini kenali sejak 37 tahun yang lalu ketika sama-sama cuba memandaikan diri di Kuala Kangsar.  Khairul Azhar, rakan Muhammad, baru penulis ini kenali sejak empat bulan yang lalu.

Walaupun telah lama mengenali Muhammad, memang tidak disangka dan dijangka bahawa sahabat penulis ini akan menjadi insan yang mempunyai pengetahuan yang luas dan mendalam tentang gendang Pahang.  Muhammad memang meminati muzik sejak bangku sekolah.  Beliau dram major pancaragam sekolah.  Beliau mendampingi Abdul Razak Shafie, guru muzik sekolah.  Beliau mampu menulis not muzik.  Beliau mengenali Anuar Zain ketika penyanyi termasyhur negara masih bersekolah rendah.  Segala-galanya tentang muzik moden.

Pertemuan tiga jam antara penulis ini dan Aninah Janang dengan Muhammad dan Khairul Azhar banyak memberikan manfaat kepada kami.  Banyak maklumat yang kami peroleh tentang gendang Pahang daripada kedua-dua orang penggiat itu. Itulah kali pertama kami mendapat maklumat primer tentang kesenian Pahang yang dijangka akan pupus jika sesuatu tidak dilakukan untuk menyelamatkannya. Satu daripada cara untuk menyelamatkannya adalah dengan mendokumentasikannya melalui penulisan. Itulah yang kami lakukan – mengumpulkan maklumat dan kemudian mengolahnya dalam bentuk penulisan –  selepas menikmati hidangan tengah hari – gulai ikan patin dan udang galah.

Negeri Pahang amat bertuah kerana masih memiliki penggiat gendang Pahang, seperti Muhammad dan Khairul Azhar.  Mereka merantau ke seluruh negeri untuk mendapatkan maklumat tentang gendang tersebut.  Daripada maklumat yang dikumpulkan oleh mereka, kelihatannya gendang Pahang mempunyai perbezaan antara daerah. Sebagai contoh, lagu Sama Deras di Jerantut, Temerloh, dan Pekan dikenali sebagai Gendang Suluk di Lipis.

Walau bagaimanapun, yang diyakini ialah bahawa perbezaan ini akan dapat diatasi jika semua penggiat gendang Pahang di seluruh negeri itu duduk semeja dan berbincang.  Muhammad dan Khairul Azhar boleh memulakan usaha ini dengan kerjasama Pejabat Wakil Rakyat Jerantut, Majlis Daerah Jerantut, dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Pahang.

**********

Tiada apa-apa yang lebih menyedihkan seseorang daripada kehilangan orang tersayang dalam keluarga.  Pereka letak Dewan Budaya, Elyanna Samsuddin, mengalami keadaan itu apabila bondanya kembali ke rahmatullah pada pukul 6.42 petang 30 Januari 2017 yang lalu.  Sehubungan dengan itu, marilah kita berdoa agar roh arwah Rohana Ahmad diletakkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah.

Armin Azhari Saleh

Posted in: Nota Editor