Home » 2017 » April

P. Ramlee: Yang Terbayang di Mata dan Terlekat di Hati

Teks HATTA AZAD KHAN

Itulah hakikatnya! Sekalipun insan seni ini telah berpuluh-puluh tahun meninggalkan kita, bayangan wajah, senyum tangis dan senda gurauannya, serta suara dan lagu nyanyiannya terbayang di mata, terngiang-ngiang di telinga, dan sentiasa dekat dan terlekat di hati kita.

Filem komedinya tetap mengundang ketawa. Filem dramanya tetap meruntun jiwa dan menitiskan air mata penontonnya sekalipun beratus-ratus kali diulang dan ditonton. P. Ramlee itu hanya satu, tiada dua dan tiada tiganya. Banyak orang yang cuba meniru gelagat gaya dan suaranya, namun yang hilang tidak juga berganti dan yang patah tidak juga tumbuh lagi.  Yang meniru ialah peniru dan tidak akan menyamai tuan yang empunya diri yang asli!

Yang tumbuh dan berganti tetap berbeza sekalipun diakui bahawa ada serba sedikit persamaan. Kata Ahmad Daud dalam P. Ramlee Seniman Agung tulisan Ahmad Idris, “…bagi saya P. Ramlee tidak ada penggantinya.” Tambah Ahmad Nawab dalam buku yang sama, “…tidak ada seorang pun seniman dalam negara kita yang berkeupayaan seperti P. Ramlee.”

Filem tragedi kemasyarakatannya yang menyentuh perasaan dan kekal dalam ingatan dan diulang tayang dan berulang-ulang ditonton ialah Penarik Becha (1955), Anakku Sazali (1956), Semerah Padi (1956), Antara Dua Darjat (1960) dan Ibu Mertuaku (1962). Sementara filem komedi yang kekal mencuit hati ialah Bujang Lapok (1957), Pendekar Bujang Lapok (1959), Nujum Pak Belalang (1959), Musang Berjanggut (1959), Ali Baba Bujang Lapok (1960), Seniman Bujang Lapok (1961), Labu dan Labi (1962), Nasib Si Labu Labi (1963), Tiga Abdul (1964) dan Madu Tiga (1964).

P. Ramlee dibantu oleh banyak bintang lain yang berbakat, seperti Aziz Sattar, S. Samsuddin, Udo Omar, Ahmad Nesfu dan M. Zain. Di tangannya, bintang yang berbakat ini menjadi cemerlang. Kekuatan orang lain turut menjadikan bakat dirinya lebih terserlah dan gemilang. Gandingan itulah yang menjadikan komedinya lebih mencuit hati dan dramanya lebih menyentuh perasaan. Bintang yang berulang dalam filem arahannya membuktikan nilai persahabatan, kesetiakawanan, serta hubungan yang erat, seperti sebuah keluarga besar.

****

Artikel dipetik dari Dewan Budaya Bil.4 2017

Posted in: Fokus

Wayang Tidak Berdosa: Pembinaan Semula Apresiasi Wayang

Teks FADLI AL-AKITI

The message I get is that Americans love the movies as much as ever. It’s the theatres that are losing their charm. (Roger Ebert, 2011)

The movies love mayhem, and inevitably, the televised events of 9/11 were experienced by millions as a sort of real-life disaster films. Is a movie about 9/11 then a disaster movie about a disaster movie? (J. Hoberman, 2012)

Panik yang bisu sedang melanda pembikin filem tempatan walaupun mereka tidak mahu mengakuinya. Secara jujur, mana-mana produser filem ingin akan pulangan ampuh terhadap filem yang dibikin. Walaupun Munafik (RM15.88 juta), Ola Bola (RM16.67 juta), dan BoboiBoy: The Movie (RM15.92 juta) mengaut kutipan yang besar di panggung wayang tahun lepas, barisan filem lain, malah filem tempatan yang baik, seperti Pekak (RM354 ribu), Redha (RM497 ribu), Hanyut (RM76 ribu), dan Interchange (RM 497 ribu), menemui sambutan yang lemah. Sepuluh buah filem blokbuster sebenar di Malaysia tahun lepas masih dijajah oleh barang kilang hiburan Hollywood (yang pertama, Captain America: Civil War yang mengaut kutipan RM5.16 bilion). Hanya 12 buah filem tempatan yang melepasi kutipan RM1 juta daripada 48 buah filem perdana yang ditayangkan. Tahun lepas ialah tahun yang tidak baik untuk filem kita. Namun begitu, adakah kelesuan ini menandakan wayang kita akan mati?

Mungkin ajal wayang kita masih belum tiba, dan memperkatakannya juga menimbulkan ambiguiti. Namun begitu, kita harus bersikap jujur dengan diri kita sendiri terhadap situasi sekarang. Orang Malaysia tidak lagi menonton wayang seperti dahulu.

Perspektif tradisional akan membawa kita kepada gambaran senario dua golongan terbesar yang memenuhi pawagam ketika Malaysia, pada awal 1990-an, baru sahaja diperkenalkan dengan panggung wayang berbentuk sinepleks (himpunan dewan panggung di satu ruang tempat). Pada masa itu, golongan mat dan minah kilang serta mat motor (istilah lama mat rempit sekarang) menjadi golongan majoriti yang menonton filem Melayu. Mereka selalunya memenuhi tayangan larut malam atau pada hujung minggu sewaktu kilang bercuti.

Yang kedua, golongan “satu famili”. Golongan kelas menengah ini selalunya menjadikan hujung minggu atau waktu malam pada minggu kerja sebagai waktu libur sekeluarga dan salah satu cara untuk beriadah pada masa itu ialah menonton filem di panggung.

****

Artikel dipetik dari Dewan Budaya Bil.4 2017

Posted in: Fokus

Jefri Zain “Penyelamat” Wayang Kita?

Barisan itu sudah pun panjang apabila penulis ini tiba di situ. Yang tidak beratur pun ada; mungkin menunggu rakan yang beratur itu. Dengan penuh kesabaran dan tentu juga ketabahan, mereka menunggu  pembukaan kaunter tiket panggung wayang itu.  Penulis ini tidak pasti akan tempoh mereka mula beratur, tetapi yang pasti, semakin lama semakin panjang barisan itu. “Akan dapatkah aku sekeping tiket?” Pertanyaan itu bermain-main dalam benak penulis ini ketika berada dalam barisan dan mungkin juga mereka yang lain.

Biasanya kaunter tiket panggung wayang itu akan dibuka setengah jam sebelum tayangan filem bermula.  Sebaik-baik sahaja kaunter itu dibuka, dan seperti lazimnya hanya satu kaunter dibuka walaupun memang ada dua kaunter, keadaan menjadi kelam-kabut.  Barisan sudah tidak kelihatan seperti barisan.  Orang ramai berasak-asak untuk mendapatkan tiket.  Masing-masing bimbang jika  gagal mendapatkan tiket.

Itulah keadaan yang berlaku pada suatu hujung minggu 34  tahun yang lalu di bandar diraja Perak.  Tidak salah jika dikatakan bahawa itulah kali pertama dan terakhir penulis ini terpaksa berasak-asak dan berebut-rebut untuk mendapatkan tiket wayang di pawagam itu.  Tidak pasti pula jika keadaan itu berlaku untuk waktu tayangan yang lain bagi filem tersebut. Pada waktu lain untuk filem lain, keadaan tidak begitu.

Tentu sekali filem Bukit Kepong mempunyai daya tarikan yang tersendiri sehingga menyebabkan penonton seolah-olah “merusuh” ketika hendak mendapatkan tiket. Tidak mustahil jika penonton tertarik kepada filem itu kerana Bukit Kepong memenangi banyak anugerah, termasuk filem terbaik, dalam Festival Filem Malaysia 1982.  Tidak mustahil juga jika mereka ingin menonton lakonan pelakon era 1950-an dan 1960-an di Singapura, seperti Jins Shamsuddin dan A. Rahim.  Tidak boleh juga ditolak kemungkinan bahawa orang ramai menonton filem itu kerana ingin tahu akan sejarah Bukit Kepong.

Bagi penulis ini, ketiga-tiga faktor itu menjadi pendorong untuk menonton filem tersebut.  Rasa-rasanya berbaloi juga penulis ini “merusuh” untuk mendapatkan tiket wayang tersebut.  Memang menjadi kelaziman untuk penulis ini mengunjungi panggung wayang pada setiap hujung minggu kerana itulah hiburan yang ada di bandar itu pada waktu itu, selain, barangkali, mesin alur di satu-satunya pasar raya di situ.  Jika tidak kerana wayang, pasti penulis ini akan menunaikan tanggungjawab sebagai ahli Kelab Tidur Siang.

Pada hakikatnya, sudah agak lama penulis ini tidak mengunjungi panggung wayang.  Dua buah pawagam yang kerap dikunjungi oleh penulis ini di bandar di tepi Sungai Perak itu sudah tidak ada lagi.  Cathay, pawagam yang menayangkan Bukit Kepong, sudah dirobohkan dan tempatnya digantikan oleh pasar raya The Store.  Di tapak Rex pula, kini terdiri sederet kedai tiga tingkat.  Yang selamat daripada arus pembangunan hanyalah Kapitol, yang berubah menjadi kedai perabot.  Penduduk bandar itu sudah tidak menonton wayang di pawagam.

Di tempat tinggal penulis ini sekarang, dua buah panggung wayang yang selalu dikunjungi pun tidak lagi beroperasi seperti fungsi asalnya meskipun kedua-dua buah bangunannya masih kejap berdiri.  Paramount sudah menjadi pasar raya Giant manakala Ruby terus sunyi sepi tanpa aktiviti.  Tidak seperti penduduk bandar itu, masyarakat bandar ini dapat menonton filem di panggung wayang moden – sinepleks.

Tidak dapat dipastikan akan kali terakhir penulis ini berkunjung ke panggung wayang tradisional atau panggung wayang moden.  Barangkali kali terakhir kunjungan penulis ini ke pawagam berlaku hampir 20 tahun yang lalu! Sepanjang ingatan, tidak lebih daripada lima kali penulis ini mengunjungi sinepleks.  Antara yang dikunjungi termasuklah sinepleks di Amcorp Mall yang kini telah menjadi toko buku lebihan.

Kadang-kadang penulis ini terfikir tentang sebab tiada lagi kunjungan ke panggung wayang, atau dalam konteks sekarang, sinepleks.  Mungkin tidak salah jika dikatakan bahawa filem, baik Melayu mahupun bukan Melayu, gagal menambat hati penulis ini.  Kecuali beberapa buah filem, seperti Bukit Kepong, penulis ini masih berminat untuk menonton filem yang dihasilkan sewaktu era kegemilangan filem Melayu.

Dalam keadaan politik antarabangsa negara ini yang “kepanasan” sekarang, tentu menarik jika “perisik” tersohor negara, Jefri Zain, dapat dihidupkan semula untuk menyelamatkan warga Malaysia yang terperangkap di Pyongyang.  Tentu lebih menarik lagi jika Jefri Zain dapat menyelamatkan wayang kita.

Armin Azhari Saleh

Posted in: Nota Editor