Home » 2017 » May

Fungsi Boria dalam Masyarakat Hari Ini

Teks dan Foto NOOR SOLEHAH MD. SALEH

Tradisi lisan merujuk segala bentuk warisan dan tradisi yang lahir dalam sesuatu kelompok masyarakat. Penyampaian tradisi lisan ini berbentuk perantaraan lisan. Hal ini menjadi satu daripada cara masyarakat untuk menyampaikan sejarah lisan, kesusasteraan, dan pengetahuan lain kepada generasi baharu.

Dari segi umum, tradisi lisan merujuk penyampaian bahan budaya melalui sebutan lisan dan telah lama dikatakan sebagai gambaran cerita rakyat. Tradisi lisan, secara amnya, disebarkan secara mulut ke mulut. Tradisi ini disampaikan dalam kalangan rakyat jelata. Warisan turun-temurun dianggap sebagai sebahagian daripada tradisi kehidupan masyarakat.

Boria merupakan teater tradisi yang amat popular di negeri utara Malaysia, terutama Pulau Pinang. Walaupun dipercayai berasal dari Parsi dan dibawa ke Tanah Melayu oleh askar India selatan, boria telah diubahsuai dan dimajukan oleh orang Melayu di Pulau Pinang. Pada awal abad itu, boria dipersembahkan dengan meluasnya di negeri itu.

Daripada pelbagai sumber yang didapati, pada pertengahan abad ke-19, teater boria melibatkan lagu vokal dan tarian yang dibawa ke Pulau Pinang oleh askar India selatan yang beragama Islam. Pada masa itu, boria dipersembahkan oleh askar itu selama 10 hari pada bulan Muharam untuk mengingati peristiwa Karbala dan meratapi kematian Saidina Hussein.

Boria mempunyai pengisian dua segmen, iaitu bahagian pengenalan yang dimulakan dengan lakonan sketsa yang mempunyai mesej, nasihat dan berunsur humor. Segmen berikutnya berunsur persembahan, merangkum nyanyian, muzik dan tarian. Semua elemen ini digarapkan, menjadikan keseluruhan persembahan mempunyai struktur yang istimewa. Kedua-dua segmen ini saling bergandingan bagi menentukan mutu sesuatu persembahan. Boria pada asalnya dilakonkan oleh kaum lelaki sahaja. Watak wanita pada ketika itu dilakonkan oleh orang lelaki yang memakai pakaian wanita.

****

Artikel ini dipetik dari Dewan Budaya Bil.5 2017

Posted in: Fokus

Pemeliharaan dan Pemuliharaan Seni Persembahan Warisan Bangsa

Teks JENIRI AMIR

Sebagai negara yang mempunyai penduduk yang terdiri daripada masyarakat majmuk, Malaysia terkenal dengan kekayaan kebudayaan, termasuk seni persembahan, seperti bangsawan,  teater, tarian, muzik,  wayang kulit atau silat. Seni persembahan sudah menjadi warisan kebanggaan rakyat negara ini. Dengan asakan kemodenan dan globalisasi, terdapat kebimbangan bahawa warisan seni persembahan itu akan terhakis dan akhirnya pupus daripada khazanah bangsa. Hal ini dikatakan demikian kerana generasi muda, terutamanya,  kurang berminat dengan seni warisan tradisional.

Kini mereka lebih berminat dan ghairah dengan permainan canggih melalui peralatan moden, termasuk telefon bimbit. Jika sikap demikian dibiarkan dan tidak terdapat strategi dan usaha konkrit untuk memelihara dan memulihara seni persembahan, ada kemungkinan bahawa warisan bangsa itu akan terus lenyap dan tidak akan lagi diketahui oleh generasi masa depan walhal seni persembahan warisan tersebut, baik dalam bentuk tarian, nyanyian mahupun teater tradisional, penting dipertahankan.

Amatlah malang jika seni persembahan itu hanya dapat dibaca dalam buku atau hanya dapat ditonton melalui cakera padat dan video atau YouTube pada masa depan.  Amatlah malang jika seni warisan bangsa terhakis dan terpadam daripada khazanah budaya bangsa semata-mata kerana kemodenan dan teknologi, dan keghairahan terhadap hiburan moden yang didakwa lebih hebat dan ada “kelas”. Oleh itu, kita perlu memelihara dan memulihara warisan asli milik rakyat pelbagai etnik di negara ini agar tidak hilang diasak oleh arus  deras pembangunan.

Khazanah dan warisan etnik dan bangsa tidak harus dibiarkan untuk ditelan zaman. Seni persembahan membawa sejarah, nilai, memori kolektif, dan jati diri sesuatu etnik dan bangsa bersama-samanya. Jika seni persembahan itu pupus, maka lenyaplah juga ingatan masyarakat terhadapnya. Dalam keadaan budaya Melayu dan etnik, termasuk seni persembahan, semakin tidak mendapat tempat di hati masyarakat, terutama generasi muda  yang terumbang-ambing dilanda gelombang kemodenan, penakatannya banyak bergantung pada sikap kita, terutama kerajaan, aktivis budaya dan pemimpin budaya, terhadap seni warisan itu.

Yang menjadi persoalan ialah adakah kita, termasuk orang Melayu, masih mempunyai rasa sayang terhadap seni persembahan? Mungkinkah kita tidak lagi mempedulikan warisan bangsa berkenaan kerana kita sudah terlalu taasub dengan segala persembahan dan hiburan moden yang lebih canggih dan hebat? Kita tidak lagi menganggap bahawa warisan itu mempunyai peranan dan nilai sewaktu kita lebih mengutamakan cara untuk terus hidup di tengah-tengah persaingan ketika ini.

****

Artikel ini dipetik dari Dewan Budaya Bil.5 2017

Posted in: Fokus

Seni Persembahan Tradisional Warisan Bangsa Menujui 2050

Tanpa menghiraukan keriuhan keadaan sekeliling, dengan pantasnya dia berjalan ke kaunter pertanyaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan di Seremban.  Selepas memperoleh maklumat yang dikehendakinya daripada petugas kaunter, sepantas itu jugalah dia meninggalkan kaunter dan memasuki auditorium JKKN itu.  Memang ganjil tindakan lelaki berbangsa Tionghoa itu kerana pada malam tersebut, berlangsung persembahan Muzika Negeri Sembilan dan Minang Serantau, bukannya pertunjukan opera Cina.

Penuh sesak auditorium JKKN pada malam itu, seolah-olah rakyat seluruh negeri berkumpul di situ.  Oleh sebab penulis ini tiba lewat di auditorium itu, terpaksalah penulis ini berdiri di barisan belakang untuk menonton persembahan pada malam itu.  Persembahannya memang menarik.  Penonton begitu terhibur menontonnya. Pastinya lelaki berbangsa Tionghoa tadi pun begitu.

Dewan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, tidaklah sesesak auditorium JKKN di Seremban.  Pada hari itu, fakulti tersebut dan Petronas, dengan kerjasama Nusa Centre, syarikat penerbitan buku yang banyak terbabit dalam kegiatan kebahasaan, kesusasteraan dan kebudayaan, menganjurkan Festival Seni Persembahan FMSP-Petronas.  Festival itu diisi oleh forum seni dan persembahan makyung.

Dalam kalangan pemain makyung itu, kelihatan seorang pemain yang cerah kulitnya.  Ya, dia berbangsa Tionghoa – begitu kata pensyarah fakulti tersebut.  Yang lebih menarik lagi, dia pelajar seni persembahan warisan Melayu di universiti itu.  Tidak mustahil jika ada lagi orang sepertinya di universiti awam yang lain di negara ini.

Penulis ini berasa bertuah kerana dapat menghadiri kedua-dua persembahan itu.  Penulis ini juga berasa bahawa masa tidak terbazir apabila menonton kedua-dua persembahan itu, apatah lagi mampu pula menghayatinya.            Yang dapat diandaikan ialah bahawa seni persembahan tradisonal masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat negara ini.  Persembahan yang mencuri perhatian, kehadiran penonton yang memberangsangkan, menjadi bukti bahawa seni persembahan tradisional itu masih mempunyai pengikut.

Sungguhpun demikian, sesekali timbul pertanyaan dalam benak penulis ini:  adakah seni persembahan tradisional warisan bangsa ini akan wujud selepas tamatnya Transformasi Nasional 2050?  Dalam dunia yang serba canggih hari ini, dengan warganya yang tidak sabar-sabar ingin mendakap pemodenan, tidak mustahil jika seni persembahan tradisional warisan bangsa ini hanya dapat dilihat di muzium atau ditonton di televisyen, seperti kita menonton filem P. Ramlee yang diterbitkan 50 tahun yang lalu.

Pada hari ini, negara bertuah kerana masih ada insan yang bersungguh-sungguh bergiat dalam seni persembahan tradisional.  Negara mempunyai Omar Md. Hashim, Rosnan Abdul Rahman dan Muhammad Muhamad Yunus – sekadar menyebut beberapa nama. Mereka menyerlah dalam seni persembahan tradisional yang diceburi.

Omar, atau lebih dikenali sebagai Omara, begitu terkenal dalam ghazal parti dan boria.  Dia berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan kelangsungan kedua-dua seni persembahan itu.  Rosnan pula pakyung lelaki pertama dalam persembahan makyung.  Sebelum “ketibaannya”, watak pakyung dipegang oleh wanita.  Kisah mereka dapat diikuti dalam Dewan Budaya keluaran ini.

Muhammad bergiat cergas dalam seni persembahan gendang Pahang.  Dia mengembarai negeri itu untuk mengumpulkan dan merakamkan maklumat tentang gendang tersebut.  Kisahnya dapat dibaca dalam Dewan Budaya Bil. 3 2017.

Meskipun begitu, kehadiran mereka belum dapat menjamin kelangsungan seni persembahan yang diceburi.  Begitu juga dengan mereka yang lain yang membabitkan diri dalam seni persembahan yang lain.  Mereka memerlukan bantuan daripada pihak yang berwenang, seperti JKKN dan stesen televisyen, untuk menyebarluaskan maklumat tentang seni persembahan itu.  Mereka juga memerlukan bantuan daripada institusi pengajian tinggi untuk melakukan kajian lanjut dan terperinci, dan mengajarkan seni persembahan itu secara formal.

Dengan cara yang demikian, dan tentunya dengan kaedah yang lain lagi yang tidak dinyatakan di sini, barulah seni persembahan tradisional warisan bangsa di negara ini mampu melangkaui tahun 2050.

Armin Azhari Saleh

Posted in: Nota Editor