Home » 2017 » June

Makan untuk Hidup atau Hidup untuk Makan?

Teks MUHAMMAD LUTFI ZAHID

Pada petang itu, penulis ini bersiap-siap untuk pergi mengeluarkan peluh di taman rekreasi yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur. Usai memakai pakaian sukan dan mengenakan kasut, penulis ini dengan segera bergegas ke taman tersebut kerana jam telah menunjukkan pukul 5.30 petang. Jika lewat, mungkin sukar untuk mendapatkan tempat letak kereta kerana taman itu menjadi tumpuan bagi warga kota untuk beriadah serta bersantai bersama-sama keluarga, apatah lagi hari itu hari Ahad. Jarak rumah penulis ini dengan taman tersebut tidaklah begitu jauh – hanya mengambil masa 20 minit dengan menaiki kereta.

Setelah tiba di taman rekreasi itu, jangkaan penulis ini ternyata benar. Penulis ini begitu terkejut melihat ratusan kenderaan telah pun membanjiri setiap pelosok dan ruang yang ada di medan letak kereta taman rekreasi itu. Penulis ini masih tetap dengan pendirian untuk meneruskan perancangan awal, iaitu mengeluarkan peluh di taman tersebut. Maka berusahalah penulis ini untuk mendapatkan tempat letak kereta. Penulis ini terus meronda-ronda sekeliling kawasan itu sambil ditemani celoteh  penyampai radio. Ketika “khusyuk” mencari tempat letak kereta, penulis ini tertarik kepada ungkapan yang terdengar dari corong radio kereta.

“Satu daripada dua orang rakyat Malaysia menghidap penyakit obesiti dan kolesterol tinggi,” kata penyampai radio tersebut. Ayat tersebut benar-benar melekat dalam benak fikiran penulis ini. Pada ketika itu, pelbagai persoalan timbul – apa puncanya? siapa? bagaimana? kenapa? – sehingga penulis ini tidak menyedari bahawa terdapat satu petak tempat letak kereta yang kosong dan telah “dicuri” oleh kenderaan lain. Setelah hampir sejam mencari tempat letak kereta, perancangan awal penulis ini untuk mengeluarkan peluh di taman ternyata tidak berjaya dan telah bertukar kepada mengeluarkan peluh di dalam kereta. Penulis ini mengambil keputusan untuk pulang ke rumah dengan perasaan kecewa.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, persoalan tentang masalah obesiti dan kolesterol yang disebut oleh penyampai radio tadi terus bermain dalam fikiran penulis ini. Bagaimana boleh timbulnya isu ini kerana taman rekreasi tadi dipenuhi oleh rakyat Malaysia? Sudah tentunya mereka bersenam dan beriadah di sana. Memang mustahil jika ratusan orang di taman tersebut sekadar datang untuk membuang masa dan hanya “menternak” lemak. Memang jauh sekali untuk mengatakan bahawa rakyat Malaysia malas mengeluarkan peluh apabila melihat keadaan betapa penuhnya kawasan letak kereta yang luas di taman rekreasi itu tadi.

****

Artikel ini dipetik dari Dewan Budaya Bil.6 2017

Posted in: Fokus

Budaya Pemakanan Sihat Menjamin Kesihatan

Teks MOHD. SYUKRI ANWAR

Makanan ialah keperluan manusia dari zaman Nabi Adam sehingga akhir zaman. Tanpa makanan, manusia mati. Jika masih mampu untuk hidup, perkembangannya terbantut. Pada masa yang sama, nutrien dan zat yang diperlukan oleh badan pula tidak cukup. Hal ini menyebabkan seseorang itu mudah diserang oleh penyakit kerana sistem pertahanannya lemah. Oleh sebab itu, makanan yang sihat dan berkhasiat penting untuk diambil oleh manusia.

Sejarah pengambilan makanan, atau lebih dikenali sebagai budaya pemakanan, jika ditelusuri dan dikaji, pasti ditemukan keunikan dan falsafahnya yang tersendiri. Walaupun orang dahulu dikatakan sebagai kurang mempunyai ilmu saintifik berbanding dengan masyarakat yang ada pada hari ini, pada hakikatnya, berdasarkan jenis makanan yang dipilih, terbukti hal yang sebaliknya. Begitu juga dalam aspek lain yang berkaitan dengan makanan.

Dalam setiap tamadun bangsa, walaupun budaya pemakanannya berbeza-beza, tujuannya sama. Budaya pemakanan ini meliputi pelbagai aspek. Antaranya termasuklah jenis makanan, cara makan, waktu makan, bekas makanan dan kaedah masakan. Budaya ini juga berbeza-beza daripada sumber makanan yang diperoleh sehingga kaedah penyimpanan makanan. Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika ada makanan yang menjadi identiti dan lambang bagi sesuatu bangsa.

Budaya pemakanan terbaik diamalkan oleh Rasulullah. Nabi Muhammad dan kaumnya ialah orang yang makan apabila lapar dan berhenti makan sebelum kenyang. Dengan cara begini, orang sukar untuk menghidap penyakit.

Pada waktu itu, belum ada orang yang mampu untuk membuktikan kenyataan Nabi Muhammad secara saintifik, apatah lagi untuk mengiakan kebenaran daripada perkara yang dinyatakan ini. Ilmu sains mungkin belum wujud lagi. Kini hanya setelah adanya ilmu sains, terutama apabila bidang sains kesihatan berkembang, barulah diketahui punca dan korelasi antara jawapan Rasulullah dengan tahap kesihatan yang dimilikinya.

Apabila sesorang itu makan terlalu kenyang, iaitu memenuhkan semua ruang perutnya dengan makanan, berlaku beberapa perkara yang tidak baik kepada dirinya. Antaranya termasuklah badan berat, hati keras, otak kurang cerdas, sering tidur dan malas bekerja.

Pemakanan yang baik bukan sahaja terhad pada aspek bahan makanan. Cara makan juga mempengaruhi kesihatan badan. Sebagai contohnya, amalan membasuh tangan sebelum makan mampu untuk mengelakkan pelbagai penyakit, seperti keracunan makanan. Apabila tangun dibasuh dengan bersihnya, kuman yang ada pada tangan tidak dimakan bersama-sama ketika makan. Walaupun secara zahirnya tangan kelihatan bersih, sentuhan tangan pada tempat tertentu dapat menyebabkan berlakunya perpindahan mikrob. Selain kuman, ada juga bahan asing pada tangan. Bahan asing pun perlu dihilangkan dengan cara membasuh tangan.

****

Artikel dipetik dari Dewan Budaya Bil.6 2017

Posted in: Fokus

Kita Makan Selagi Boleh Makan

Pemuda itu menikmati sajian iftarnya sesudah bersembahyang maghrib.  Dia tiba di meja makan itu agak lewat daripada jemaah lain, mungkin kerana dia lewat menunaikan kewajipannya.  Jemaah lain sedang menikmati sajian yang disediakan, tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan, setelah seharian menunaikan ibadah puasa.  Di dalam pinggan pemuda itu, ada sejemput nasi, lauk, sayur dan buah.

“Itu sahajakah?” tegur lelaki yang duduk di sebelah pemuda itu apabila melihat pinggan itu.

“Ini sahaja rezeki saya pada hari ini.  Ini sahaja yang tinggal,” jawab pemuda itu.

“Ambil nasi saya sedikit,” balas lelaki itu.

“Tak apalah. Ini pun dah cukup,” jawab pemuda itu lagi.

Setelah mendengar jawapan itu, lelaki tersebut terus memindahkan segenggam nasi ke pinggan pemuda itu.  “Kita makan bersama-sama,” katanya.

Peristiwa yang mengesankan itu berlaku di sebuah masjid di ibu negara.  Walaupun nasinya tidak banyak dan pasti dapat dihabiskannya, lelaki itu sanggup berkongsi nasinya dengan  orang lain.  Pastinya dia lapar kerana seharian berpuasa, tetapi dia tidak memikirkan perutnya sahaja, malah perut orang lain juga.

Keadaan di kelab itu riuh-rendah.  Pengunjung berbual-bual sambil menantikan azan yang menandakan masuknya waktu maghrib dan waktu berbuka puasa.  Lazimnya pengunjung kelab itu datang secara berkumpulan, baik dengan keluarga, sahabat handai mahupun rakan sepejabat.  Jarang-jarang pengunjung kelab datang berseorangan.

Meja makan dipenuhi sajian.  Ruang kosong sukar untuk dicari.  Barangkali semakin besar meja, semakin banyaklah sajiannya.  Hidangan disajikan secara bufet  di tempat khusus.  Barangkali sajian memenuhi meja makan kerana pengunjung kelab itu tidak mahu berulang-alik ke meja hidangan selepas sajian “pusingan pertama” mengisi perut.

Pasti ada pengunjung kelab itu yang mampu untuk menghabiskan sajian yang diambilnya kerana dia mengambilnya mengikut keperluan perut.  Pasti ada juga pengunjung yang tidak mampu untuk menghabiskan apa-apa yang diambil oleh sebab dia mengambilnya berdasarkan kehendak hati.  Sebagai akibatnya, pasti ada sajian yang menghuni tong sampah.

Yang mesti disebut ialah bahawa rakyat negara ini membuang 17 800 tan makanan setiap hari.  Jumlah itu dapat mengisi perut 2.3 juta orang sebanyak tiga kali.  Kajian oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal menunjukkan bahawa pada setiap tahun, sebuah keluarga biasa “membuang” lebih daripada sebulan gaji untuk makanan yang tidak dimakan.

Akal yang waras pasti sukar untuk menerima hakikat bahawa ada orang yang tidak memahami kepentingan makanan dan membazirkannya dengan alasan sudah kenyang, tidak sedap, atau apa-apa sahaja, sedangkan masih ada orang yang kais pagi makan pagi.  Namun demikian, keadaan itulah yang berlaku di negara ini.

Seorang rakan penulis ini amat terkesan apabila mendapati sebuah keluarga orang asli yang kais petang makan petang. Ketua keluarga orang asli ini pergi ke taman perumahan tempat rakan penulis ini tinggal untuk mencari kotak untuk dijual bagi mengisi perut lima orang anaknya yang masih kecil.  Kisah yang dipaparkan dalam Facebook ini menatijahkan bantuan daripada orang tertentu.

Walau apa-apa pun, eloklah kita mengkaji tabiat makan kita semula. Tiada sesiapa yang dapat menghalang kita daripada makan, tetapi makanlah berpada-pada.  Kita mahu nikmat makan kita itu kekal sehingga akhir hayat.

*****

Pada kesempatan ini, saya mengucapkan terima kasih kepada Muhammad Lutfi Zahid yang meninggalkan Dewan Budaya mulai keluaran Bil. 7 2017 kerana dinaikkan pangkat.  Beliau berkhidmat sebagai penolong editor Dewan Budaya daripada keluaran April 2016 hingga keluaran Bil. 6 2017. Muhammad Lutfi banyak melakukan liputan peristiwa budaya dan seni.  Marilah kita berdoa agar beliau memperoleh kejayaan yang lebih cemerlang ketika melaksanakan tugas baharunya.

Selamat menyambut Aidilfitri 2017.

Armin Azhari Saleh

Posted in: Nota Editor