Home » 2018 » August

Lagu Patriotik, Lagu Tanah Air, Lagu Kenegaraan

TEKS DAN FOTO: MUHAMMAD HASHIM

Lagu, yang
diklasifikasikan sebagai
patriotik, mula dikenali
semasa kemuncak era konfrantasi
antara Indonesia dengan Malaysia
pada tahun 1963. Sebelum ini, kita
tidak mengenali atau menggunakan
perkataan ini, kecuali disebut
sebagai lagu tanah air atau lagu
kenegaraan.
Semasa radio mula
diperkenalkan di Singapura oleh
tentera British sekitar tahun 1935,
orang Melayu menyebut radio
sebagai tetuang udara.

Pada masa
itu, peranan radio tidaklah sehebat
dan meluas liputannya seperti yang
ada pada hari ini sehingga mampu
untuk bersiaran selama 24 jam
sehari, tujuh hari seminggu.

Kajian menunjukkan bahawa radio memulakan siarannya
dengan lagu temanya. Telah dikenal pasti bahawa terdapat
sebuah lagu tema yang dikategorikan sebagai lagu patriotik.
Lagu ini berjudul Bangunlah Putera Malaya. Lagu ini
dirakamkan dalam piring hitam oleh Syarikat HMV di bawah
logo Columbia.
Ada juga filem Melayu yang diterbitkan di Singapura
yang memaparkan nyanyian kebangkitan semangat rakyat
di Tanah Melayu. Kebanyakkan daripada nyanyian tersebut
disampaikan dalam bentuk koir beradegan dalam bentuk
tarian atau pergerakan di jalanan dalam filem. Semua lagu ini
diletakkan sebagai lagu kenegaraan menuju kemerdekaan.
Selain itu, ada juga nyanyian solo yang dirakamkan buat
pertama kalinya oleh penyanyi Jasni Ahmad pada tahun 1949
berjudul Pembena Malaya yang dirakamkan dalam piring
hitam berlogokan Pathe Chap Ayam.
***
Artikel ini dipertik daripada majalah Dewan Budaya Bil.8
Posted in: Gatra Perdana

Lagu Patriotisme Memupuk Semangat Kebangsaan

TEKS : ROZIAH ADAMA

Pasti ramai yang mengingati lirik dan melodi lagu
Negaraku yang wajib dinyanyikan ketika perhimpunan
rasmi di sekolah, mahupun dalam acara-acara rasmi
kerajaan. Sebenarnya, kita telah dilatih sejak di bangku sekolah
agar berdiri tegak ketika menyanyikan lagu kebangsaan
sambil memandang bendera yang sedang dinaikkan. Sehingga
di mana-mana sahaja, tatkala mendengar lagu Negaraku
berkumandang, secara automatik kita akan berdiri menghayati
bait-bait lirik dan berasa kehangatan patriotisme mengalir ke
dalam jasad dan jiwa.
***
Lagu patriotik mempunyai tempatnya yang tersendiri di
hati para pendengar lagu tanah air. Keindahan lirik ditambah
dengan melodi yang menarik memudahkan lagi sesebuah
lagu patriotik menjadi siulan. Dalam sejarah penghasilan
lagu-lagu patriotik di Malaysia, penciptaan lagu-lagu
patriotik yang menjadi manifestasi penulis lagu-lagu adalah
untuk mencambahkan semangat kebangsaan ke dalam jiwa
pendengar. Penyebaran mesej dalam lagu dilihat lebih mudah
kerana pendengar boleh menghayati lirik, sekali gus menikmati
lagu yang menghiburkan

***

Teks ini dipetik daripada Dewan Budaya Bil.8

Posted in: Gatra Perdana

Lagu Patriotik Tradisi Turun-temurun

TEKS SITI NOORISA ABDUL KHLIL

Apabila ditugaskan sebagai fasilitator untuk program Majalah dalam Kelas (MDK),iaitu program anjuran Bahagian Majalah, Dewan Bahasa danPustaka, saya suka menyanyikan lagu Warisan, nyanyian Allahyarham Sudirman Haji Arshad sebelum memulakan program. Saya berasa sangat terkesan dengan lirik dan melodi lagu tersebut sehingga mengundang rasa sebak, dan menyuntik semangat saya untuk mengendalikan program tersebut. Situasi ini bukan sahaja memberikan kesan kepada saya,tetapi turut mengundang minat dalam kalangan pelajar untuk berdiri dan menyanyikan lagu tersebut bersama-sama dan saya dapat merasakan kehangatan patriotisme itu seolah-olah sedang mengalir dalam diri kami.
Secara kebiasaannya, kita kerap mendengar lagu patriotik pada bulan Ogos sahaja. Sepanjang bulan tersebut, stesen radio akan memainkan lagu patriotik sebagai ingatan kepada seluruh rakyat Malaysia akan pejuang terdahulu untuk membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah. Lucy Mair dalam bukunya, An Introduction to Social Anthropology, menyatakan bahawa kebudayaan ialah milik bersama masyarakat yang mempunyai tradisi yang sama. Dalam konteks ini, lagu patriotik dicipta untuk menerapkan nilai patriotik seperti kesetiaan, pengorbanan, dan penghormatan kepada negara untuk diamalkan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia.
Pada dekad 1960-an lagi, banyak lagu patriotik yang dicipta memberikan kesan yang mendalam kepada pendengar, malah lagu tersebut bersifat malar segar. Hal ini dikatakan demikian kerana lagu patriotik sifatnya perlu bertahan lama dan perlu didengari dari satu generasi kepada generasi yang lain. Sungguhpun begitu, pada masa ini, terdapat juga lagu patriotik alaf baharu yang turut membawa patriotisme, dicipta. Namun begitu, kesannya tidak begitu berasa. Hal ini dikatakan demikian kerana lagu patriotik seharusnya ditujukan untuk semua bangsa dan generasi, tetapi kebanyakan penciptaan melodi dan lirik lagu patriotik kini sukar untuk dihafal. Pencipta pada masa ini cenderung menghasilkan lirik dengan menggunakan bahasa kolokial dan diselang-selikan dengan bahasa Inggeris, malah turut memasukkan unsur rap pada melodi lagu tersebut.
Tidak dinafikan bahawa inovasi yang dilakukan pada lirik dan melodi lagu patriotik bertujuan untuk memenuhi selera pendengar kini, tetapi bagaimanakah dengan orang-orang terdahulu atau kaum lain? Hal ini boleh dipersoalkan kerana lagu patriotik ialah milik bersama-sama dan bukan hanya untuk kaum tertentu sahaja. Bahkan, lirik lagu patriotik berfungsi sebagai mesej kepada rakyat untuk membangkitkan semangat cinta akan negara dan bangsa. Namun demikian, sekiranya lagu patriotik tidak dapat difahami dan dihayati oleh semua kaum, bagaimanakah mesej tersebut dapat sampai kepada rakyat?
Lagu patriotik seharusnya menjadi warisan turun-temurun yang dapat dihayati oleh semua bangsa dari satu generasi ke satu generasi yang lain, malah menjadi amalan yang sudah sebati dengan sesuatu masyarakat. Sebagai contohnya, lagu Negaraku. Tatkala lagu Negaraku berkumandang, tidak kira bangsa atau di mana sahaja kita berada, secara automatik kita akan berdiri menunjukkan rasa hormat akan lagu kebangsaan
Malaysia, selain turut berasa megah menghayati setiap bait bait lirik lagu tersebut. Walau bagaimanapun, apabila lirik dan melodi diubah suai mengikut selera pihak tertentu sahaja, maka hayat lagu patriotik tersebut tidak akan bertahan lama, malah penerapan nilai patriotik tidak dapat disematkan dalam hati rakyat. Perjuangan bukan untuk seketika sahaja, tetapi harus kekal untuk selama lamanya agar keharmonian rakyat dan keutuhan negara terus terpelihara.
Selamat Menyambut Hari Kebangsaan yang ke-61.

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya Bil.7 2018.

Posted in: Nota Editor