Home » 2018 » September

Memahami Kontrak Sosial dan Membudayakan Rukun Negara

Teks SHAMSIAH ABD. KADIR

Perpaduan merupakan asas kepada pembinaan negara bangsa dan harus dipupuk amalannya dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana perpaduan diibaratkan sebagai tiang kemakmuran dan kedamaian negara, di samping menyumbang kepada keamanan dan kestabilan.

Sekiranya kepelbagaian kaum menjadi punca percanggahan dan pertelagahan, suasana damai yang diimpikan dilihat sukar untuk dikekalkan sekiranya setiap etnik bersifat etnosentrik. Percanggahan yang selalu dibangkitkan sehingga menjadi pertelagahan adalah berkaitan dengan hak kesaksamaan, sehinggakan banyak perkara yang telah “dipersetujui” berabad lamanya“diperlekehkan”.

Menelusuri sejarah, pergeseran kaum atau konflik di Malaysia telah melalui beberapa fasa. Menurut Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, sejarah hubungan kaum di Malaysia mempunyai trend pasang dan surut yang boleh dibahagikan kepada tiga tempoh masa; selepas perang dunia kedua (1945), iaitu Fasa Konflik (1945–1960); Fasa Kestabilan, tetapi Tegang (1961–1970) dan Fasa Kesepaduan Sosial (1971 hingga kini). Ketiga-tiga fasa tersebut mencerminkan senario hubungan kaum di Malaysia dan menjelaskan bahawa perpaduan kaum dalam konteks kesepaduan sosial perlu dijaga agar pengalaman pahit pada dekad lalu menjadi pengajaran untuk kebaikan bersama-sama.

***

Artikel ini dipetik daripada majalah Dewan Budaya Bil.9

Posted in: Gatra Perdana

Penghayatan Rukun Negara dalam Kalangan Masyarakat Malaysia

Teks ABDULLAH AWANG

Nasionalisme ibarat senjata bagi sesebuah negara dalam usaha memelihara keutuhan dan membina kekuatan dalaman dalam kalangan rakyat bagi mengatasi setiap ancaman luar seperti globalisasi. Dalam konteks ini, Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa dan memiliki kekayaan budaya, maka nasionalisme perlu disemai dalam jiwa mereka agar jurang perbezaan yang wujud antara kaum dapat diatasi.

Sebelum ini, semangat “kekitaan” dalam kalangan rakyat tidak begitu menebal dan perkara ini menjadi penghalang dalam usaha menanam perasaan cinta akan bangsa dan negara. Hal ini dikatakan demikian kerana perasaan iri hati dan tidak percaya dalam kalangan kaum berleluasa hingga tercetusnya tragedi 13 Mei 1969. Pada masa itu, orang bukan Melayu masih menumpukan perhatian mereka ke tanah besar China dan India. Mereka tidak menganggap Tanah Melayu ini sebagai tanah air mereka, manakala orang Melayu pula menumpukan perhatian pada kawasan Timur Tengah dan Indonesia sebagai teras perjuangan mereka.

Ekoran daripada peristiwa berdarah tersebut, keadaan berpuak-puak dalam kalangan rakyat jelas kelihatan walaupun negara telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Ketika itu, konsep bangsa yang sebenarnya masih belum wujud lagi. Malah, pada masa itu, penduduk masih didukung oleh fahaman perkauman yang terlalu menebal. Perkara ini terjadi kerana rakyat sebenarnya hanya mendapat “negara” semata-mata daripada penjajah Inggeris. Oleh itu, rusuhan kaum telah berlaku secara berlanjutan dalam tempoh beberapa minggu. Kesan daripada peristiwa tersebut, pemerintah mengisytiharkan darurat dan perintah berkurung, parlimen digantung, dan pemerintahan negara diambil alih oleh Majlis Gerakan Negara.

Seharusnya, rakyat Malaysia bersatu sekiranya mereka menginginkan negara ini terus membangun dan hidup dalam suasana aman, damai dan makmur. Maka itu, bagi mengekalkan perpaduan negara, pada tahun 1970, Rukun Negara telah dibentuk. Pembentukan ideologi kebangsaan tersebut bertujuan memandu kehidupan rakyat Malaysia. Selain itu, pembentukan Rukun Negara timbul apabila kesedaran terhadap perpaduan yang disangka kukuh dan teguh hasil muafakat (social contract) antara tiga kaum terbesar, iaitu Melayu, Cina dan India semasa pemaktuban perlembagaan negara terbukti sementara dan tipis (superficial) apabila rusuhan kaum yang dahsyat tercetus.

***

Artikel ini dipetik daripada majalah Dewan Budaya Bil.9

Posted in: Gatra Perdana

Bersusila dalam Kehidupan

Teks SITI NOORISA ABDUL KHLIL

Sememangnya, kewujudan rangkaian media sosial sangat memudahkan orang di seluruh dunia untuk berhubung antara satu sama lain. Namun begitu, perlu disedari bahawa pengaruhnya mampu mendatangkan ancaman terhadap perpecahan sesama manusia. Seakan-akan menjadi trend pada masa ini, kebanyakan pengguna kerap memuat naik semua perkara di media sosial sehingga semua orang dapat mengetahui apa-apa sahaja yang berlaku sama ada di dalam ataupun di luar negeri.

Baru-baru ini tular kisah seorang guru memuat naik gambar dua orang pelajarnya (lelaki dan perempuan) yang bergaduh kerana ejek-mengejek, iaitu pelajar perempuan digelar“burger”, manakala pelajar lelaki dipanggil “burger hangus”. Dalam laman facebooknya, guru tersebut menceritakan secara terperinci pergaduhan tersebut sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan keluarga pelajar terbabit dan orang luar yang membacanya. Dikatakan,kesan daripada kisahnya yang tular itu, pelajar tersebut tidak mahu hadir ke sekolah kerana berasa malu apabila orang mentertawakannya. Mungkin guru tersebut tidak mempunyai niat untuk memalukan pelajarnya, namun kelakuannya itu dianggap tidak berhati-hati dan tidak memikirkan sensitiviti masyarakat.

Kesan daripada kisah yang ditularkan ini, berkemungkinan akan ada individu atau pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk mewujudkan retak antara kaum atau sesama kaum disebabkan ada pihak yang tidak menjiwai prinsip Rukun Negara yang dibentuk pada 31 Ogos 1970. Lima prinsip Rukun Negara telah dirangka yang merangkumi; Kepercayaankepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan.

Berdasarkan prinsip kelima, iaitu Kesopanan danKesusilaan menjelaskan bahawa setiap individu atau kumpulan masyarakat seharusnya berkelakuan sopan,mempunyai moral yang tinggi,menghormati hak orang lain dan menghindarkan diri daripada membangkitkan perkara sensitif yang boleh mengundang ketidakpuasan hati orang lain. Jelas menunjukkan bahawa tanpa tatasusila, pelbagai penyakit masyarakat akan timbul kerana mereka bebas berbuat apa-apa sahaja yang mereka suka tanpa mempedulikan hak orang lain. Daripada kisah yang berlaku ini, dapat disimpulkan bahawa masyarakat kita tidak belajar daripada sejarah 13 Mei 1969, iaitu tragedi yang menghuru harakan rakyat pada masa itu.Oleh itu, pengenalan lima prinsip ini bertujuan membetulkan sikap masyarakat dalam usaha melahirkan generasi yang bersatu padu dan menjadi contoh yang baik kepada orang lain. Tanpa penghayatan dan pembudayaan prinsip Rukun Negara ini, maka akan ada lebih banyak lagi cerita yang kurang baik tular di media sosial.

SELAMAT MENYAMBUTHARI MALAYSIA

***

Artikel ini dipetik daripada majalah Dewan Budaya Bil. 9

Posted in: Nota Editor