Home » 2018 » October

Keunikan Warisan Budaya di Melaka

Teks FITRI AFFENDI MUSTAFA

“Takkan Melayu hilang di dunia”. Pepatah keramat daripada pahlawan Melayu Melaka, iaitu Laksamana Hang Tuah masih kekal dalam sebutan dan ingatan orang Melayu hingga ke hari ini. Kisah Hang Tuah lima bersaudara ini merupakan hikayat lama orang Melayu yang sangat bernilai. Hal ini dikatakan demikian kerana Hikayat Hang Tuah merupakan epik kepahlawanan orang Melayu pada zaman kegemilangan empayar Kesultanan Melayu Melaka pada suatu ketika dahulu.

Negeri Melaka amat sinonim dengan sejarahnya sebagai pusat perdagangan utama di rantau ini. Walaupun dari segi geografinya, Melaka merupakan antara negeri yang terkecil di Malaysia selain Perlis dan Pulau Pinang, namun negeri ini amat kaya dengan warisan sejarah dan budaya. Siapa yang tidak kenal dengan Kota A Famosa, bangunan Stadhuys, Laksamana Hang Tuah, Puteri Hang Li Po yang kesemuanya merupakan warisan sejarah di negeri Melaka.

Berdasarkan sejarah, Kerajaan Melayu Melaka bermula daripada Kesultanan Melayu Melaka, iaitu kedatangan Parameswara, Raja Srivijaya dari Palembang yang memerintah negeri ini dari tahun 1400 hingga 1424. Tambahan pula, nama Melaka sendiri diambil sempena nama pohon tempat Parameswara berteduh setelah sampai dari Srivijaya.
Kesultanan Melayu Melaka yang diasaskan oleh Parameswara ini telah memerintah Melaka selama 110 tahun sehingga ditakluki oleh Portugis di bawah kepimpinan Alfonso de Albuquerque pada 24 Ogos 1511. Pada masa itu, kerajaan Melayu ini telah menarik perhatian banyak kuasa asing. Hal ini disebabkan oleh lokasi Melaka yang strategik bagi pengembangan perdagangan dan pengaruh pihak penjajah Portugis di kawasan yang dipanggil Hindia Timur.
Walau bagaimanapun, pada tahun 1641, pihak Belanda telah menguasai Melaka dengan menewaskan pihak Portugis melalui bantuan Sultan Johor. Namun begitu, pada waktu itu pihak Belanda tidak berminat menjadikan Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan di antara timur dengan barat, tetapi lebih mementingkan pembangunan di Batavia
(Jakarta), Indonesia sebagai pusat pentadbiran Belanda.

***
Artikel ini dipetik daripada Dewan Budaya Bil.10
Posted in: Gatra Perdana

Warisan dan Sejarah di Muzium Mewarnai Kemeriahan Pelancongan Melaka

Teks dan Foto NOR AZIMAH MD ALI

Secara kebiasaannya,kita memahami istilah muzium sebagai gudang penyimpanan barang-barang lama di dalam sebuah bangunan lama. Namun begitu, pandangan tradisional ini berubah dari semasa ke semasa, sehinggalah pada tahun 1974, pertubuhan UNESCO melalui badan profesional yang dipanggil Majlis Muzium Antarabangsa (ICOM) telah memberikan definisi yang lebih terperinci berkenaan muzium.

“Muzium merupakan sebuah institusi yangbersifat tetap, tidak mencari keuntungan, memberikan khidmat kepada masyarakat dan perkembangannya terbuka kepada umum,memperoleh, merawat,menghubungkan, dan mempamerkan untuk tujuan pembelajaran, pendidikan dan hiburan, bukti-bukti tinggalan manusia dan persekitarannya.”

Secara amnya, muzium dianggap sebagai pemegang amanah warisan negara yang tidak ternilai dan mungkin tidak dapat ditukar ganti. Selainitu, muzium juga berperanans ebagai institusi pendidikan tidak rasmi. Sumber dan bahan yang terdapat di muzium mampu memberikan kefahaman dan menarik minat sama ada yang berkaitan sejarah, sastera,sains atau alam semula jadi.Secara umumnya, kepentingan institusi muzium di Malaysia terletak pada dua bidang utama yang saling memerlukan, iaitu pendidikan dan pelancongan negara.

Muzium Melaka seperti sejarah negerinya yang panjang turutmempunyai riwayatnya yang tersendiri sejak tertubuhnya pada tahun 1930-an sehingga kini. Pada tahun 2018 pula menyaksikan warga Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menyambut ulangtahunnya yang ke-65, bersempena Sambutan Hari Muzium Antarabangsa pada Peringkat Kebangsaan kali ke-22 yang telah diadakan di Melaka. Menyorot sejarahnya institusi pemuziuman di Melaka telah dikesan bermula sejak tahun 1930-an berdasarkan keratan akhbar Malaya Tribune yang menyatakan bahawa Melaka telah mempunyai Muzium Sejarah Melaka (Malacca Historical Museum)yang ditubuhkan oleh Persatuan Sejarah Melaka. Pada masa itu, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebuah bilik di dalam bangunan Stadthuys untuk dijadikan sebagai bilik muzium untuk persatuan. Pada awalnya, muzium ini tidak menempatkan banyak koleksi bahan pameran.

Namun begitu, setelah Jepun menyerah kalah, institusi pemuziuman yang lebih formal telah diwujudkan oleh British.Pada 19 Mac 1954, George Evan Cameron Wisdom, Pesuruhjaya Residen bagi negeri Melaka telah mengisytiharkan pembukaan sebuah rumah Belanda di Fort Road sebagai Muzium Melaka.Pada masa itu, pentadbiran muzium dilaksanakan berdasarkan enakmen Lembaga Muzium Melaka 1954 yang menggariskan bidang kuasa dan struktur pentadbiran muzium dengan lebih sistematik. Enakmen ini seterusnya dipinda pada tahun 1971 bagi memastikan Lembaga Muzium Melaka kekal efisien.

***

Artikel ini dipetik daripada Dewan Budaya Bil. 10.

Posted in: Gatra Perdana

Melaka Berwibawa, Menjulang Inovasi Menjunjung Warisan

Teks SITI NOORISA ABDUL KHLIL

Melaka memberikanketerujaan. Hal ini dikatakan demikian kerana bermula antara tahun 1400-1403 hingga kini, sejarah Melakasudah melebihi 600 tahun. Makaitu, dalam tempoh tersebut pelbagai peninggalan warisan sejarah Melaka tersedia untuk diterokai. Bermula dengan kisah pembukaan Kota Melaka oleh Parameswara, seorang raja Srivijaya dari Palembang,kemudian, beralih kepada karya sastera Melayu klasik HikayatHang Tuah, iaitu sebuah naratifepik keagungan orang Melayu.Sesungguhnya, keagungan KerajaanMelayu Melaka memberikan iktibar yang boleh dijadikan panduan untuk membina negara yang makmur. Namun begitu, era penjajahan oleh Portugis, Belanda,dan Inggeris dijadikan pengajaran.

Peninggalan penjajah erakolonial memberikan peluangkepada pelancong untuk melihatbangunan yang masih gahsehingga kini, iaitu Kota A Famosa.Selain itu, Melaka memberikanpeluang kepada pengunjunguntuk meneroka keunikan dantradisi masyarakat Baba Nyonya Chetti, Portugis, dan Chingai yang Chetti, Portugis, dan Chingai Chetti, Portugis, dan Chingai yang masih diamalkan sehingga kini. Kedudukannya yang berada di Selat Melaka, Melaka merupakan bandar raya yang terkenal dengan warisan sejarah silam dan kepelbagaian budaya masyarakat majmuk. Oleh sebab itu, pada 7 Julai 2008, dalam persidangan Jawatankuasa Warisan Dunia ke-32 yang berlangsung di Quebec City, Kanada, Melaka diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa- Bangsa Bersatu (UNESCO).

Tahun 2018 melakar satu lagi sejarah apabila negeri Melaka ditadbir oleh kerajaan baharu, iaitu Pakatan Harapan. Selang beberapa bulan selepas itu, Kerajaan baharu telah mengumumkan bahawa tahun 2019 merupakan Tahun Melawat Melaka. Persoalannya menjelangnya Tahun Melawat Melaka 2019, adakah Melaka sudah bersedia ke arah pembinaan budaya dan jati diri anak bangsa untuk berhadapan dengan kebanjiran pelancong?

Hal ini dikatakan demikian kerana apabila banyak pelancong mula memasuki sesuatu tempat, maka nilai tradisi negeri Melaka harus dipertontonkan secara lebih jelas. Namun begitu, apabila diperhatikan, penyerapan budaya asing sebenarnya berlaku dalam masyarakat tempatan. Sebagai contohnya, beca roda tiga yang amat sinonim dengan Melaka, tidak menggambarkan identiti sebenar negeri Melaka. Kebanyakan hiasan pada beca roda tiga mempamerkan patung seperti Hello Kitty, Baby Shark, Iron Man, Spiderman, dan pelbagai watak lain yang datang dari luar. Malah, kebingitan lagu “Baby Shark doo … doo … doo …” mengganggu pendengaran. Alangkah baiknya sekiranya lagu Dondang Sayang dapat dimainkan sebagai daya penarik yang menonjolkan identiti sebenar Melaka.

Hal ini bagi memastikan negeri yang istimewa dengan sejarah dan budaya ini dapat mempertahankan identiti warisannya supaya tidak pupus begitu sahaja. Tidak dinafikan bahawa inovasi perlu untuk mencapai kemajuan dan kemodenan. Namun begitu, sekiranya kemodenan dikejar tanpa batasan, dikhuatiri generasi kini akan hanyut, dan terus hilang daripada landasan yang sebenar. Diharapkan dengan pucuk pimpinan pentadbiran yang baharu di bawah pemerintahan Yang Amat Berhormat (YAB) Tuan Haji Adly Zahari yang berwibawa tidak akan membiarkan pihak yang alpa ini terus menguburkan warisan sejarah yang dipertahankan sehingga kini untuk rujukan generasi sekarang dan pada masa akan datang. Semoga Melaka terus maju dan cemerlang sebagai negeri yang berwibawa dan bermaruah.

***

Artikel ini dipetik daripada majalah Dewan Budaya Bil.10

Posted in: Nota Editor