Home » 2019

Komitmen dan Disiplin Membuahkan Kejayaan

Teks: Siti Noorisa Abdul Khlil

Beberapa tahun yang lalu, penulis pernah terlibat dengan pementasan teater. Walaupun penglibatan yang sedikit, namun cukup memberikan pengalaman yang berharga. Hal ini dikatakan demikian kerana sesebuah pementasan teater, sama ada yang berskala kecil ataupun besar adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang enteng.


Komitmen dan disiplin merupakan kunci utama kepada kelancaran perancangan dan persediaan yang telah dibuat oleh sesebuah produksi. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam tempoh dua hingga empat minggu sebelum pementasan, latihan teater perlu dilakukan secara intensif. Namun begitu, dalam konteks ini, bukan mudah untuk mengumpulkan semua orang kerana setiap daripada mereka mempunyai hal lain seperti bekerja pada waktu siang hari di tempat yang berbeza-beza.


Sesebuah pementasan teater memerlukan himpunan kelompok tenaga mahir dan profesional, sama ada penulis skrip, pengarah, pelakon, penata cahaya, jurusolek, penata bunyi, pereka set, dan lain-lain lagi yang menuntut komitmen dan disiplin yang tinggi. Kehadiran tenaga mahir ini yang sebenarnya membantu kelancaran perjalanan pementasan kerana setiap daripada mereka sudah mengetahui peranan dan tugas masing-masing.

Secara teorinya pula, persediaan awal akan melancarkan sesebuah pementasan teater. Contohnya, latihan lakonan yang diadakan pada setiap hari dapat memantapkan mutu lakonan para pelakon. Malah, para pelakon juga perlu menghafal dialog yang diberikan agar tidak berlaku kesilapan seperti terlupa semasa berada di atas pentas yang akan mengganggu kelancaran persembahan. Kesemua hal yang dinyatakan di atas antara perkara penting yang perlu diberikan perhatian oleh pihak yang terlibat dalam menjayakan sesebuah persembahan teater.


Perlu diingat bahawa penonton yang hadir ke panggung untuk menyaksikan pementasan bukan secara percuma, tetapi mereka perlu membayar tiket dengan harga tertentu yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur. Walau bagaimanapun, penonton sanggup berbelanja untuk harga tiket yang mencecah ratusan ringgit semata-mata untuk melihat lakonan dan pementasan yang terbaik. Maka itu, sekiranya sesebuah produksi teater tidak mengambil kira elemen seperti yang dinyatakan, maka harga yang dibayar oleh penonton amatlah tidak berbaloi.

Artikel dipetik daripada majalah Dewan Budaya Bil. 2

Posted in: Nota Editor