Gerakan Menyelamatkan Gendang Pahang

Home » Catatan » Nota Editor » Gerakan Menyelamatkan Gendang Pahang

Sajian majlis perkahwinan di Kampung Kuala Mai, Kuala Krau, itu kelihatan sedap. Selain hidangan yang lazim ditemukan dalam majlis sebegitu, seperti ayam masak merah dan rendang daging lembu, kali ini ada gulai ikan patin.  Bagi sebahagian besar daripada tetamu majlis tersebut, gulai ikan patin merupakan sajian “biasa” kerana mereka masyarakat tempatan.  Bagi penulis ini, sajian tersebut “luar biasa” kerana jarang-jarang dihidangkan dalam majlis sebegitu di ibu kota.

Sambil menikmati hidangan itu, tetamu disajikan oleh persembahan gendang Pahang oleh sebuah kumpulan tempatan.  Pemimpin Kumpulan Unggul Tori mengumumkan bahawa mereka akan memainkan dua buah lagu.  Seraya tetamu, termasuk penulis ini, menikmati jamuan, kumpulan gendang Pahang itu melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh tuan rumah. Yang pasti, tetamu lebih menghayati hidangan daripada menghayati persembahan gendang Pahang!

Tiba-tiba sahaja tidak lagi kedengaran muzik yang dimainkan oleh kumpulan gendang Pahang itu.  Rupa-rupanya mereka telah tamat memainkan dua buah lagu itu, seperti yang diumumkan oleh pemimpin kumpulan.  Dua buah lagu?  Tidak dengar seperti persembahan dua buah lagu pun.  Yang dapat didengar hanyalah paluan gendang dan gong.  Barangkali penulis ini terlalu “taasub” kepada sajian gulai ikan patin, dan yang lain-lain, sehingga tidak sedar bahawa kumpulan gendang Pahang itu telah memainkan dua buah lagu.

Tidak banyak orang yang mengetahui perihal apa-apa sahaja tentang gendang Pahang.  Mungkin tidak salah jika dikatakan bahawa ada orang Pahang pun yang tidak tahu akannya.  Kini ada segelintir orang yang giat berusaha untuk memartabatkan seni dan budaya Pahang yang telah lama “bersembunyi” itu.  Pelbagai usaha dilakukan oleh kumpulan ini untuk memaklumatkan dan mengilmukan masyarakat Pahang, khususnya, dan rakyat negara ini, amnya, tentang warisan nenek moyang itu.

Muhammad Muhamad Yunus dan Khairul Azhar Abdullah hanya insan biasa di Jerantut, yang masih mampu menghirup udara bersih, yang masih dapat makan hidupan sungai yang segar, yang tidak perlu menghadapi kerenah lalu lintas yang menyakitkan badan dan hati.  Muhammad penulis ini kenali sejak 37 tahun yang lalu ketika sama-sama cuba memandaikan diri di Kuala Kangsar.  Khairul Azhar, rakan Muhammad, baru penulis ini kenali sejak empat bulan yang lalu.

Walaupun telah lama mengenali Muhammad, memang tidak disangka dan dijangka bahawa sahabat penulis ini akan menjadi insan yang mempunyai pengetahuan yang luas dan mendalam tentang gendang Pahang.  Muhammad memang meminati muzik sejak bangku sekolah.  Beliau dram major pancaragam sekolah.  Beliau mendampingi Abdul Razak Shafie, guru muzik sekolah.  Beliau mampu menulis not muzik.  Beliau mengenali Anuar Zain ketika penyanyi termasyhur negara masih bersekolah rendah.  Segala-galanya tentang muzik moden.

Pertemuan tiga jam antara penulis ini dan Aninah Janang dengan Muhammad dan Khairul Azhar banyak memberikan manfaat kepada kami.  Banyak maklumat yang kami peroleh tentang gendang Pahang daripada kedua-dua orang penggiat itu. Itulah kali pertama kami mendapat maklumat primer tentang kesenian Pahang yang dijangka akan pupus jika sesuatu tidak dilakukan untuk menyelamatkannya. Satu daripada cara untuk menyelamatkannya adalah dengan mendokumentasikannya melalui penulisan. Itulah yang kami lakukan – mengumpulkan maklumat dan kemudian mengolahnya dalam bentuk penulisan –  selepas menikmati hidangan tengah hari – gulai ikan patin dan udang galah.

Negeri Pahang amat bertuah kerana masih memiliki penggiat gendang Pahang, seperti Muhammad dan Khairul Azhar.  Mereka merantau ke seluruh negeri untuk mendapatkan maklumat tentang gendang tersebut.  Daripada maklumat yang dikumpulkan oleh mereka, kelihatannya gendang Pahang mempunyai perbezaan antara daerah. Sebagai contoh, lagu Sama Deras di Jerantut, Temerloh, dan Pekan dikenali sebagai Gendang Suluk di Lipis.

Walau bagaimanapun, yang diyakini ialah bahawa perbezaan ini akan dapat diatasi jika semua penggiat gendang Pahang di seluruh negeri itu duduk semeja dan berbincang.  Muhammad dan Khairul Azhar boleh memulakan usaha ini dengan kerjasama Pejabat Wakil Rakyat Jerantut, Majlis Daerah Jerantut, dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Pahang.

**********

Tiada apa-apa yang lebih menyedihkan seseorang daripada kehilangan orang tersayang dalam keluarga.  Pereka letak Dewan Budaya, Elyanna Samsuddin, mengalami keadaan itu apabila bondanya kembali ke rahmatullah pada pukul 6.42 petang 30 Januari 2017 yang lalu.  Sehubungan dengan itu, marilah kita berdoa agar roh arwah Rohana Ahmad diletakkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah.

Armin Azhari Saleh

Posted in: Nota Editor

Hantar Maklum Balas Anda