Misi Pencarian Gendang Pahang di Jerantut

Home » Fokus » Misi Pencarian Gendang Pahang di Jerantut

Teks dan Foto ARMIN AZHARI SALEH dan ANINAH JANANG

Pada hari ini, mungkin masyarakat bandar tidak lagi mengenali gendang Pahang atau berpeluang melihat persembahan menarik hasil daripada paluannya. Kalau ada sekalipun, mungkin hanyalah dalam acara terpilih yang jarang-jarang diadakan, seperti Citrawarna Malaysia yang diadakan setahun sekali atau acara terpilih anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Hal ini berlaku mungkin disebabkan oleh dua faktor. Yang pertama, gendang Pahang, atau lebih dikenali sebagai gendang tetawak, tidak lagi mendapat sambutan. Oleh itu, kepentingan dan kehebatannya mula dilupakan. Ada kemungkinan juga bahawa seni persembahan gendang Pahang ini terlalu eksklusif sehingga “mahal” untuk diadakan.

Gendang Pahang pernah menjadi alat  tradisional yang masyhur di Pahang. Pada suatu ketika dahulu, dipercayai bahawa golongan istana sendiri yang mempelajari dan memainkan gendang Pahang. Dari istana sehingga kampung, gendang Pahang menjadi penghibur hadirin dalam setiap keraian dan menjadi penyeri setiap majlis.  Menurut JKKN, asal usul gendang Pahang dibawa oleh Dato’ Perba Jelai dan penyebarannya dilakukan oleh tiga generasi selepas itu.

Meskipun gendang Pahang dibawa oleh Dato’ Purba Jelai, oleh sebab gendang ini membawa pengaruh yang besar dalam kalangan penduduk tempatan, maka gendang Pahang mula dimainkan oleh penduduk di sepanjang Sungai Jelai dan Sungai Pahang. Yang dipercayai ialah bahawa gendang Pahang turut menerima pengaruh Islam kerana irama dan lagu yang digubah merupakan gandingan peralatan yang dibawa dari Asia Barat dan sering dimainkan bagi memeriahkan majlis keramaian, majlis perkahwinan, dan majlis rasmi, di samping mengiringi tarian tradisional Melayu, silat, dan pembesar negeri.

Gendang Pahang agak berbeza daripada gendang dari negeri yang lain kerana tidak diiringi serunai, tetapi dilengkapkan dengan gabungan tiga alat muzik yang lain, iaitu gendang ibu, gendang anak dan gong. Gendang Pahang mempunyai iramanya tersendiri yang dikenali sebagai Bujang Hilir. Irama itu dimulakan dengan rentak pembukaan dan diakhiri oleh rentak membunuh atau rentak mati, di samping rentak yang lain.

Daripada penyelidikan yang dibuat oleh penulis ini, tidak banyak maklumat yang dapat diperoleh mengenai gendang Pahang. Jika ada sekalipun, beberapa blog dan makalah dalam akhbar tempatan yang diterbitkan sebelum ini tidak menjelaskannya dengan lebih lanjut, apatah lagi merungkaikan kehebatan gendang ini. Maklumatnya terbatas.

****

Artikel ini dipetik dari Dewan Budaya Bil.3 2017

Posted in: Fokus

Hantar Maklum Balas Anda