Jefri Zain “Penyelamat” Wayang Kita?

Home » Nota Editor » Jefri Zain “Penyelamat” Wayang Kita?

Barisan itu sudah pun panjang apabila penulis ini tiba di situ. Yang tidak beratur pun ada; mungkin menunggu rakan yang beratur itu. Dengan penuh kesabaran dan tentu juga ketabahan, mereka menunggu  pembukaan kaunter tiket panggung wayang itu.  Penulis ini tidak pasti akan tempoh mereka mula beratur, tetapi yang pasti, semakin lama semakin panjang barisan itu. “Akan dapatkah aku sekeping tiket?” Pertanyaan itu bermain-main dalam benak penulis ini ketika berada dalam barisan dan mungkin juga mereka yang lain.

Biasanya kaunter tiket panggung wayang itu akan dibuka setengah jam sebelum tayangan filem bermula.  Sebaik-baik sahaja kaunter itu dibuka, dan seperti lazimnya hanya satu kaunter dibuka walaupun memang ada dua kaunter, keadaan menjadi kelam-kabut.  Barisan sudah tidak kelihatan seperti barisan.  Orang ramai berasak-asak untuk mendapatkan tiket.  Masing-masing bimbang jika  gagal mendapatkan tiket.

Itulah keadaan yang berlaku pada suatu hujung minggu 34  tahun yang lalu di bandar diraja Perak.  Tidak salah jika dikatakan bahawa itulah kali pertama dan terakhir penulis ini terpaksa berasak-asak dan berebut-rebut untuk mendapatkan tiket wayang di pawagam itu.  Tidak pasti pula jika keadaan itu berlaku untuk waktu tayangan yang lain bagi filem tersebut. Pada waktu lain untuk filem lain, keadaan tidak begitu.

Tentu sekali filem Bukit Kepong mempunyai daya tarikan yang tersendiri sehingga menyebabkan penonton seolah-olah “merusuh” ketika hendak mendapatkan tiket. Tidak mustahil jika penonton tertarik kepada filem itu kerana Bukit Kepong memenangi banyak anugerah, termasuk filem terbaik, dalam Festival Filem Malaysia 1982.  Tidak mustahil juga jika mereka ingin menonton lakonan pelakon era 1950-an dan 1960-an di Singapura, seperti Jins Shamsuddin dan A. Rahim.  Tidak boleh juga ditolak kemungkinan bahawa orang ramai menonton filem itu kerana ingin tahu akan sejarah Bukit Kepong.

Bagi penulis ini, ketiga-tiga faktor itu menjadi pendorong untuk menonton filem tersebut.  Rasa-rasanya berbaloi juga penulis ini “merusuh” untuk mendapatkan tiket wayang tersebut.  Memang menjadi kelaziman untuk penulis ini mengunjungi panggung wayang pada setiap hujung minggu kerana itulah hiburan yang ada di bandar itu pada waktu itu, selain, barangkali, mesin alur di satu-satunya pasar raya di situ.  Jika tidak kerana wayang, pasti penulis ini akan menunaikan tanggungjawab sebagai ahli Kelab Tidur Siang.

Pada hakikatnya, sudah agak lama penulis ini tidak mengunjungi panggung wayang.  Dua buah pawagam yang kerap dikunjungi oleh penulis ini di bandar di tepi Sungai Perak itu sudah tidak ada lagi.  Cathay, pawagam yang menayangkan Bukit Kepong, sudah dirobohkan dan tempatnya digantikan oleh pasar raya The Store.  Di tapak Rex pula, kini terdiri sederet kedai tiga tingkat.  Yang selamat daripada arus pembangunan hanyalah Kapitol, yang berubah menjadi kedai perabot.  Penduduk bandar itu sudah tidak menonton wayang di pawagam.

Di tempat tinggal penulis ini sekarang, dua buah panggung wayang yang selalu dikunjungi pun tidak lagi beroperasi seperti fungsi asalnya meskipun kedua-dua buah bangunannya masih kejap berdiri.  Paramount sudah menjadi pasar raya Giant manakala Ruby terus sunyi sepi tanpa aktiviti.  Tidak seperti penduduk bandar itu, masyarakat bandar ini dapat menonton filem di panggung wayang moden – sinepleks.

Tidak dapat dipastikan akan kali terakhir penulis ini berkunjung ke panggung wayang tradisional atau panggung wayang moden.  Barangkali kali terakhir kunjungan penulis ini ke pawagam berlaku hampir 20 tahun yang lalu! Sepanjang ingatan, tidak lebih daripada lima kali penulis ini mengunjungi sinepleks.  Antara yang dikunjungi termasuklah sinepleks di Amcorp Mall yang kini telah menjadi toko buku lebihan.

Kadang-kadang penulis ini terfikir tentang sebab tiada lagi kunjungan ke panggung wayang, atau dalam konteks sekarang, sinepleks.  Mungkin tidak salah jika dikatakan bahawa filem, baik Melayu mahupun bukan Melayu, gagal menambat hati penulis ini.  Kecuali beberapa buah filem, seperti Bukit Kepong, penulis ini masih berminat untuk menonton filem yang dihasilkan sewaktu era kegemilangan filem Melayu.

Dalam keadaan politik antarabangsa negara ini yang “kepanasan” sekarang, tentu menarik jika “perisik” tersohor negara, Jefri Zain, dapat dihidupkan semula untuk menyelamatkan warga Malaysia yang terperangkap di Pyongyang.  Tentu lebih menarik lagi jika Jefri Zain dapat menyelamatkan wayang kita.

Armin Azhari Saleh

Posted in: Nota Editor

Hantar Maklum Balas Anda