Seni Persembahan Tradisional Warisan Bangsa Menujui 2050

Home » Catatan » Nota Editor » Seni Persembahan Tradisional Warisan Bangsa Menujui 2050

Tanpa menghiraukan keriuhan keadaan sekeliling, dengan pantasnya dia berjalan ke kaunter pertanyaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan di Seremban.  Selepas memperoleh maklumat yang dikehendakinya daripada petugas kaunter, sepantas itu jugalah dia meninggalkan kaunter dan memasuki auditorium JKKN itu.  Memang ganjil tindakan lelaki berbangsa Tionghoa itu kerana pada malam tersebut, berlangsung persembahan Muzika Negeri Sembilan dan Minang Serantau, bukannya pertunjukan opera Cina.

Penuh sesak auditorium JKKN pada malam itu, seolah-olah rakyat seluruh negeri berkumpul di situ.  Oleh sebab penulis ini tiba lewat di auditorium itu, terpaksalah penulis ini berdiri di barisan belakang untuk menonton persembahan pada malam itu.  Persembahannya memang menarik.  Penonton begitu terhibur menontonnya. Pastinya lelaki berbangsa Tionghoa tadi pun begitu.

Dewan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, tidaklah sesesak auditorium JKKN di Seremban.  Pada hari itu, fakulti tersebut dan Petronas, dengan kerjasama Nusa Centre, syarikat penerbitan buku yang banyak terbabit dalam kegiatan kebahasaan, kesusasteraan dan kebudayaan, menganjurkan Festival Seni Persembahan FMSP-Petronas.  Festival itu diisi oleh forum seni dan persembahan makyung.

Dalam kalangan pemain makyung itu, kelihatan seorang pemain yang cerah kulitnya.  Ya, dia berbangsa Tionghoa – begitu kata pensyarah fakulti tersebut.  Yang lebih menarik lagi, dia pelajar seni persembahan warisan Melayu di universiti itu.  Tidak mustahil jika ada lagi orang sepertinya di universiti awam yang lain di negara ini.

Penulis ini berasa bertuah kerana dapat menghadiri kedua-dua persembahan itu.  Penulis ini juga berasa bahawa masa tidak terbazir apabila menonton kedua-dua persembahan itu, apatah lagi mampu pula menghayatinya.            Yang dapat diandaikan ialah bahawa seni persembahan tradisonal masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat negara ini.  Persembahan yang mencuri perhatian, kehadiran penonton yang memberangsangkan, menjadi bukti bahawa seni persembahan tradisional itu masih mempunyai pengikut.

Sungguhpun demikian, sesekali timbul pertanyaan dalam benak penulis ini:  adakah seni persembahan tradisional warisan bangsa ini akan wujud selepas tamatnya Transformasi Nasional 2050?  Dalam dunia yang serba canggih hari ini, dengan warganya yang tidak sabar-sabar ingin mendakap pemodenan, tidak mustahil jika seni persembahan tradisional warisan bangsa ini hanya dapat dilihat di muzium atau ditonton di televisyen, seperti kita menonton filem P. Ramlee yang diterbitkan 50 tahun yang lalu.

Pada hari ini, negara bertuah kerana masih ada insan yang bersungguh-sungguh bergiat dalam seni persembahan tradisional.  Negara mempunyai Omar Md. Hashim, Rosnan Abdul Rahman dan Muhammad Muhamad Yunus – sekadar menyebut beberapa nama. Mereka menyerlah dalam seni persembahan tradisional yang diceburi.

Omar, atau lebih dikenali sebagai Omara, begitu terkenal dalam ghazal parti dan boria.  Dia berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan kelangsungan kedua-dua seni persembahan itu.  Rosnan pula pakyung lelaki pertama dalam persembahan makyung.  Sebelum “ketibaannya”, watak pakyung dipegang oleh wanita.  Kisah mereka dapat diikuti dalam Dewan Budaya keluaran ini.

Muhammad bergiat cergas dalam seni persembahan gendang Pahang.  Dia mengembarai negeri itu untuk mengumpulkan dan merakamkan maklumat tentang gendang tersebut.  Kisahnya dapat dibaca dalam Dewan Budaya Bil. 3 2017.

Meskipun begitu, kehadiran mereka belum dapat menjamin kelangsungan seni persembahan yang diceburi.  Begitu juga dengan mereka yang lain yang membabitkan diri dalam seni persembahan yang lain.  Mereka memerlukan bantuan daripada pihak yang berwenang, seperti JKKN dan stesen televisyen, untuk menyebarluaskan maklumat tentang seni persembahan itu.  Mereka juga memerlukan bantuan daripada institusi pengajian tinggi untuk melakukan kajian lanjut dan terperinci, dan mengajarkan seni persembahan itu secara formal.

Dengan cara yang demikian, dan tentunya dengan kaedah yang lain lagi yang tidak dinyatakan di sini, barulah seni persembahan tradisional warisan bangsa di negara ini mampu melangkaui tahun 2050.

Armin Azhari Saleh

Posted in: Nota Editor

Hantar Maklum Balas Anda