Pemeliharaan dan Pemuliharaan Seni Persembahan Warisan Bangsa

Home » Fokus » Pemeliharaan dan Pemuliharaan Seni Persembahan Warisan Bangsa

Teks JENIRI AMIR

Sebagai negara yang mempunyai penduduk yang terdiri daripada masyarakat majmuk, Malaysia terkenal dengan kekayaan kebudayaan, termasuk seni persembahan, seperti bangsawan,  teater, tarian, muzik,  wayang kulit atau silat. Seni persembahan sudah menjadi warisan kebanggaan rakyat negara ini. Dengan asakan kemodenan dan globalisasi, terdapat kebimbangan bahawa warisan seni persembahan itu akan terhakis dan akhirnya pupus daripada khazanah bangsa. Hal ini dikatakan demikian kerana generasi muda, terutamanya,  kurang berminat dengan seni warisan tradisional.

Kini mereka lebih berminat dan ghairah dengan permainan canggih melalui peralatan moden, termasuk telefon bimbit. Jika sikap demikian dibiarkan dan tidak terdapat strategi dan usaha konkrit untuk memelihara dan memulihara seni persembahan, ada kemungkinan bahawa warisan bangsa itu akan terus lenyap dan tidak akan lagi diketahui oleh generasi masa depan walhal seni persembahan warisan tersebut, baik dalam bentuk tarian, nyanyian mahupun teater tradisional, penting dipertahankan.

Amatlah malang jika seni persembahan itu hanya dapat dibaca dalam buku atau hanya dapat ditonton melalui cakera padat dan video atau YouTube pada masa depan.  Amatlah malang jika seni warisan bangsa terhakis dan terpadam daripada khazanah budaya bangsa semata-mata kerana kemodenan dan teknologi, dan keghairahan terhadap hiburan moden yang didakwa lebih hebat dan ada “kelas”. Oleh itu, kita perlu memelihara dan memulihara warisan asli milik rakyat pelbagai etnik di negara ini agar tidak hilang diasak oleh arus  deras pembangunan.

Khazanah dan warisan etnik dan bangsa tidak harus dibiarkan untuk ditelan zaman. Seni persembahan membawa sejarah, nilai, memori kolektif, dan jati diri sesuatu etnik dan bangsa bersama-samanya. Jika seni persembahan itu pupus, maka lenyaplah juga ingatan masyarakat terhadapnya. Dalam keadaan budaya Melayu dan etnik, termasuk seni persembahan, semakin tidak mendapat tempat di hati masyarakat, terutama generasi muda  yang terumbang-ambing dilanda gelombang kemodenan, penakatannya banyak bergantung pada sikap kita, terutama kerajaan, aktivis budaya dan pemimpin budaya, terhadap seni warisan itu.

Yang menjadi persoalan ialah adakah kita, termasuk orang Melayu, masih mempunyai rasa sayang terhadap seni persembahan? Mungkinkah kita tidak lagi mempedulikan warisan bangsa berkenaan kerana kita sudah terlalu taasub dengan segala persembahan dan hiburan moden yang lebih canggih dan hebat? Kita tidak lagi menganggap bahawa warisan itu mempunyai peranan dan nilai sewaktu kita lebih mengutamakan cara untuk terus hidup di tengah-tengah persaingan ketika ini.

****

Artikel ini dipetik dari Dewan Budaya Bil.5 2017

Posted in: Fokus

Hantar Maklum Balas Anda