Kita Makan Selagi Boleh Makan

Home » Catatan » Nota Editor » Kita Makan Selagi Boleh Makan

Pemuda itu menikmati sajian iftarnya sesudah bersembahyang maghrib.  Dia tiba di meja makan itu agak lewat daripada jemaah lain, mungkin kerana dia lewat menunaikan kewajipannya.  Jemaah lain sedang menikmati sajian yang disediakan, tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan, setelah seharian menunaikan ibadah puasa.  Di dalam pinggan pemuda itu, ada sejemput nasi, lauk, sayur dan buah.

“Itu sahajakah?” tegur lelaki yang duduk di sebelah pemuda itu apabila melihat pinggan itu.

“Ini sahaja rezeki saya pada hari ini.  Ini sahaja yang tinggal,” jawab pemuda itu.

“Ambil nasi saya sedikit,” balas lelaki itu.

“Tak apalah. Ini pun dah cukup,” jawab pemuda itu lagi.

Setelah mendengar jawapan itu, lelaki tersebut terus memindahkan segenggam nasi ke pinggan pemuda itu.  “Kita makan bersama-sama,” katanya.

Peristiwa yang mengesankan itu berlaku di sebuah masjid di ibu negara.  Walaupun nasinya tidak banyak dan pasti dapat dihabiskannya, lelaki itu sanggup berkongsi nasinya dengan  orang lain.  Pastinya dia lapar kerana seharian berpuasa, tetapi dia tidak memikirkan perutnya sahaja, malah perut orang lain juga.

Keadaan di kelab itu riuh-rendah.  Pengunjung berbual-bual sambil menantikan azan yang menandakan masuknya waktu maghrib dan waktu berbuka puasa.  Lazimnya pengunjung kelab itu datang secara berkumpulan, baik dengan keluarga, sahabat handai mahupun rakan sepejabat.  Jarang-jarang pengunjung kelab datang berseorangan.

Meja makan dipenuhi sajian.  Ruang kosong sukar untuk dicari.  Barangkali semakin besar meja, semakin banyaklah sajiannya.  Hidangan disajikan secara bufet  di tempat khusus.  Barangkali sajian memenuhi meja makan kerana pengunjung kelab itu tidak mahu berulang-alik ke meja hidangan selepas sajian “pusingan pertama” mengisi perut.

Pasti ada pengunjung kelab itu yang mampu untuk menghabiskan sajian yang diambilnya kerana dia mengambilnya mengikut keperluan perut.  Pasti ada juga pengunjung yang tidak mampu untuk menghabiskan apa-apa yang diambil oleh sebab dia mengambilnya berdasarkan kehendak hati.  Sebagai akibatnya, pasti ada sajian yang menghuni tong sampah.

Yang mesti disebut ialah bahawa rakyat negara ini membuang 17 800 tan makanan setiap hari.  Jumlah itu dapat mengisi perut 2.3 juta orang sebanyak tiga kali.  Kajian oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal menunjukkan bahawa pada setiap tahun, sebuah keluarga biasa “membuang” lebih daripada sebulan gaji untuk makanan yang tidak dimakan.

Akal yang waras pasti sukar untuk menerima hakikat bahawa ada orang yang tidak memahami kepentingan makanan dan membazirkannya dengan alasan sudah kenyang, tidak sedap, atau apa-apa sahaja, sedangkan masih ada orang yang kais pagi makan pagi.  Namun demikian, keadaan itulah yang berlaku di negara ini.

Seorang rakan penulis ini amat terkesan apabila mendapati sebuah keluarga orang asli yang kais petang makan petang. Ketua keluarga orang asli ini pergi ke taman perumahan tempat rakan penulis ini tinggal untuk mencari kotak untuk dijual bagi mengisi perut lima orang anaknya yang masih kecil.  Kisah yang dipaparkan dalam Facebook ini menatijahkan bantuan daripada orang tertentu.

Walau apa-apa pun, eloklah kita mengkaji tabiat makan kita semula. Tiada sesiapa yang dapat menghalang kita daripada makan, tetapi makanlah berpada-pada.  Kita mahu nikmat makan kita itu kekal sehingga akhir hayat.

*****

Pada kesempatan ini, saya mengucapkan terima kasih kepada Muhammad Lutfi Zahid yang meninggalkan Dewan Budaya mulai keluaran Bil. 7 2017 kerana dinaikkan pangkat.  Beliau berkhidmat sebagai penolong editor Dewan Budaya daripada keluaran April 2016 hingga keluaran Bil. 6 2017. Muhammad Lutfi banyak melakukan liputan peristiwa budaya dan seni.  Marilah kita berdoa agar beliau memperoleh kejayaan yang lebih cemerlang ketika melaksanakan tugas baharunya.

Selamat menyambut Aidilfitri 2017.

Armin Azhari Saleh

Posted in: Nota Editor

Hantar Maklum Balas Anda