Plitvice Taman Dunia

Home » Kembara Seorang Penyair » Plitvice Taman Dunia

Teks dan Foto MUHAMMAD HAJI SALLEH

HARI lambat cerahpada musim gugurini. Pagi mulacerah di restoran yang dibina di tepi sungai Osna serta bertiang ke air. Pada pagi hari, sungai lebarnya mengalir menderu. Ada tingkat-tingkat air yang mungkin juga tidak seluruhnya alamiah. Tapi dengan cara membina empangan, maka air melompat dan menuruni sekitar hampir 1 meter ke bawah – dan membina jeram yang panjang dan tinggi.
Pada awal pagi pun sudah ada yang berkayak dan mengail. Kata pengkaji, kesan air terhadap manusia ialah, “Air menenangkan.” Mungkin kerana bunyinya yang serata dan sekata – dan imej yang sama tidak menakutkan atau terlalu
bervariasi. Bas sudah menunggu, maka kami pun berangkat ke arah utara – ke arah Plitvice – sebuah Taman Negara, yang agak jauh – dua jam perjalanannya ke sana.
Sekali lagi alam menyalami kami dan kami menyalami pagi yang cerah. Rumah peladang berbaris di jalan dan setelah itu bukit dan hutan pula yang menyambung kehadiran dan hayatnya.
Kami seharian di hutan simpan UNESCO Plitvice, sebuah taman yang luas dan luar biasa. Tiada kota yang dikejar pada hari ini, tetapi inilah peluang untuk memasuki secara rasmi sebuah hutan UNESCO yang tinggi di bukit dan dihiasi oleh beberapa buah tasik yang besar. Oleh sebab itu, diairi oleh kalsium gunung maka warna airnya sangat biru, malah biru-dalam, lembut, nyaman dan menyenangkan. Biru yang membuat kita terpegun oleh keluarbiasaan dan kejernihannya. Saya banyak mengembara dan banyak melihat tasik – tapi belum pernah melihat kolam sebirudalam yang jernih dan damai begini.

*****

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya Bil.7 2018.

Hantar Maklum Balas Anda