Air Mata Raja Jejak Pewaris Istana Melaka

Home » Ulasan Buku » Air Mata Raja Jejak Pewaris Istana Melaka

OLEH AKILAH ARIFFIN

Tajuk: Air Mata Raja
Pengarang: Shaharudin Haji Ali dan Norzailina Nordin
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun Terbitan: 2011
Halaman: 963 halaman
Harga: RM55.00

Buku Air Mata Raja merupakan sebuah karya yang menjanjikan kelainan dalam seni penulisan dan yang mencetuskan satu kemungkinan dalam sejarah tanah Melaka. Karya ini melakarkan pewaris sebuah kesultanan yang telah sirna pada hakikatnya; pembaca dibawa mengintai ke alam mitos, namun tetap berpijak di bumi yang nyata.

Karya ini mengisahkan pelbagai peristiwa sebenar yang dialami oleh Datuk Paduka Bendahara Raja Tun Seri Lanang ketika menulis karya besar Sejarah Melayu. Di penghujung kesaksian Tun Seri Lanang, bermulalah perjalanan liku hidup pewaris Sultan Mahmud Syah, Melaka, selama 500 tahun yang merentasi dimensi masa dan peradaban, saling berputar antara realiti sedar dengan impian mistik dunia Melayu. Selain itu, buku ini juga merupakan nukilan yang bersandarkan kisah sebenar dalam sejarah kita dan lantas menjanjikan unsur kemelayuan yang penuh dengan debaran yang boleh memaku perhatian pembaca sehingga akhirnya.

Kisah Air Mata Raja bermula apabila terdapat beberapa orang raja Melayu di sembilan buah negeri yang sesungguhnya hebat dan handal. Nama mereka yang gah itu sering disebut orang semenjak zaman kegemilangan kesultanan Melayu Melaka, kira-kira lima abad yang lalu. Adapun baginda semua sesungguhnya merupakan raja yang bestari lagi adil, mulia lagi agung kedudukannya, serta tinggi ilmunya sehingga tiada bandingannya. Tanah Melayu menjadi aman di bawah pemerintahan raja Melayu dan mendapat penghormatan yang sejati rakyat jelata yang sentiasa menjulang titah.

Semua negeri di Tanah Melayu bernaung di bawah panji raja Melayu dan Tanah Melayu menjadi negeri yang sangat masyhur pada ketika itu. Raja Melayu juga memegang kuasa sebagai ketua agama Islam dan ketua segala adat resam dan budaya bangsa Melayu di Tanah Melayu. Baginda sesungguhnya yang berdaulat, disuluhdengan segala kebesaran dankemuliaan adatnya, dan pentadbiranke bawah duli tuanku raja Melayu membuatkan Tanah Melayu sebagai negeri yang sangat masyhur sehingga banyak negeri Barat cuba “menghampiri” Tanah Melayu, terutama Melaka.

Bermulanya di Pelabuhan Melaka, pada 29 September 1509, apabila kapal pedagang Portugis melabuhkan sauh di perairan pelabuhan. Bendera pelbagai warna berkibar tanpa henti dan sejurus kemudian kedengaran bedilan meriam dan tiupan trompet. Keadaan di tepi pantai sesak, dari serata pelosok kampung, banyak orang berkumpul untuk menyaksikan agenda yang berlaku. Ketibaan orang asing menimbulkan seribu tanda tanya.

Menurut pengarang, dalam masa 109 tahun semenjak Melaka dibuka, kemasyhuran Melaka meningkat dengan begitu mendadak. Agama Islam pula sudah mula bertapak di Melaka sekitar tahun 1414, apabila Parameswara atau Sultan Iskandar Syah memeluk agama Islam. Melaka turut menjadi pusat pengembangan Islam di kepulauan Nusantara.

Melaka menjadi pelabuhan dan pusat perdagangan antarabangsa yang terkenal di serata pelosok dunia.Hatta di bawah pemerintahan sultanMelayu, tanah jajahan Melaka bertambah luas dan pengaruh mereka semakin kuat. Kedudukannya yang strategik di Selat Melaka menjadi salahsatu faktor kejayaan. Beratus-ratus orang pedagang memenuhi perairan pelabuhan. Selain itu terdapat juga 150 buah perahu kepunyaan Sultan Mahmud dan lebih daripada 100 buah kapal kecil dan besar yang dimiliki oleh pedagang asing.

Beberapa buah perahu kecil kepunyaan pedagang Cina menghampiri kapal Portugis tersebut. Namun begitu, mereka tidak berani mendekatinya kerana mereka perlu menunggu arahan daripada kerajaan Melaka. Pihak istana berhak membeli yang terbaik dan mengikut keperluan mereka sebelum orang lain boleh berniaga.

Ramailah orang Melayu yangberperahu kecil dan besar mengerumuni kapal Portugis dan masing-masing dengan barang dagangan. Ada selaput biji pala, buah pala, gaharu dan ambar. Semuanya begitu berminat untuk berdagang dengan orang Portugis. Tujuan kedatangan orang Portugis adalah untuk menjalinkan persahabatan dan perdagangan dengan sultan Melaka. Begitu jugalah yang telah dilakukan oleh mereka di Pedir dan pelabuhan Sumatera. Selain itu juga, mereka inginmendapatkan hak monopoli perdagangan rempah-ratus di Melaka.

Rempah merupakan komoditi ulung yang menjanjikan pendapatan yang lumayan, terutama di pasaran benua yang jauh, seperti China, India, Timur Tengah dan Eropah. Di samping itu, tujuan sebenar mereka adalah untuk mengembangkan agamaKristian. Hal inilah yang menjadi misiulung mereka, malah mubaligh merekacukup megah kerana telah berjaya mempengaruhi penduduk Goa di India. Mereka mendirikan gereja dan mempelawa anak muda tempatan untuk turut serta dalam misi ke seluruh pelosok dunia.

Di Melaka, orang Portugis yang lainmelayani sesiapa sahaja yang ingin berniaga dengan baik. Suasana di sekitar tempat mereka berlabuh agak sibuk. Riuh-rendah suara pedagang tawar-menawar dengan perantaraan orang yang pandai kedua-dua bahasa. Masing-masing ingin menjual baranganatau hasil hutan dengan harga yang paling tinggi.

Buku Air Mata Raja yang berbentuk novel ini mempunyai jalan cerita sejarah yang sangat menarik. Kisah Sejarah Melayu diubah menjadi epilog cerita bagi memudahkan pembaca memahami sejarah Tanah Melayu sekali gus membawa pembaca “mengembara” ke alam jejak pewaris Istana Melaka.

Sesungguhnya, buku ini dapat menyuntik semangat – biar sesiapa pun anda, tidak kira di mana pun berada. Air Mata Raja menjadi lambang perjuangan yang menjanjikan sesuatu yang belum pasti, namun tetap wujud.

___

Ulasan buku ini dipetik daripada Dewan Budaya Disember 2011.

Posted in: Ulasan Buku

Satu Maklum Balas kepada “Air Mata Raja Jejak Pewaris Istana Melaka”

Hantar Maklum Balas Anda