Zakaria Jamhari Pelopor Kesenian Dabus Kampung Kuantan, Kuala Selangor

Home » Kamar Seni » Zakaria Jamhari Pelopor Kesenian Dabus Kampung Kuantan, Kuala Selangor

Teks dan Foto SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

BERCAKAP tentang dabus di Kuala Selangor, nama Haji Zakaria Haji Jamhari, tidak mungkin dilupakan. Beliau merupakan pelopor dabus di daerah ini, khususnya di Kampung Kuantan. Beliau yang dilahirkan pada 19 Jun 1937 telah banyak berkorban masa dan tenaga kepada masyarakat dan bangsa, sama ada dalam bidang akademik, kebudayaan dan sosial. Selain itu, beliau juga bertindak sebagai pendidik Ketua Kumpulan Sedaya yang mengembangkan kesenian dabus sejak tahun 1947, malah beliau turut menjadi tenaga pengajar kesenian ini kepada warga kampung yang berminat.

Haji Zakaria mengenali kesenian dabus sejak tahun 1940-an lagi, iaitu sebelum kedatangan Jepun ke Tanah Melayu. Pada setiap malam Rabu dan Khamis, di rumahnya sendiri, beliau meluangkan masa dengan mengadakan kelas latihan kesenian dabus. Lebih kurang 30 anggota Kumpulan Sedaya akan berkumpul selepas waktu Isyak untuk mengadakan latihan di bawah asuhan dan bimbingan beliau. Hakikatnya, Haji Zakaria amat aktif meningkatkan taraf kesenian dabus dalam kalangan masyarakat. Beliau berusaha mencurahkan pengalaman, pengetahuan dan kemahirannya kepada generasi muda mengenai kesenian dabus, di samping menanam sikap cinta akan warisan budaya serta memastikan pusaka bangsa ini tetap dipelihara dan diamalkan sepanjang zaman.

Terdapat dua versi tentang asal usul dabus yang terdapat di Kampung Kuantan, Kuala Selangor. Berdasarkan versi yang
pertama, dabus dikatakan dibawa dari Perak. Sekitar tahun 1600, dua pedagang dari Batu Bahara, Sumatera yang dikenali
sebagai Nakhoda Lembang dan Nakhoda Topah telah datang merantau ke Perak dan memulakan kehidupan di Telaga Nenas, Sitiawan. Pada masa itu, keduadua nakhoda tersebut berehat dan berlatih bermain dabus pada waktu malam sehingga menarik perhatian penduduk setempat dan sejak itu dabus terus berkembang di situ.

*****

Artikel ini dipetik daripada majalah Dewan Budaya Bil.7 2018.

Posted in: Kamar Seni

Hantar Maklum Balas Anda