Lagu Patriotik Tradisi Turun-temurun

Home » Nota Editor » Lagu Patriotik Tradisi Turun-temurun
TEKS SITI NOORISA ABDUL KHLIL

Apabila ditugaskan sebagai fasilitator untuk program Majalah dalam Kelas (MDK),iaitu program anjuran Bahagian Majalah, Dewan Bahasa danPustaka, saya suka menyanyikan lagu Warisan, nyanyian Allahyarham Sudirman Haji Arshad sebelum memulakan program. Saya berasa sangat terkesan dengan lirik dan melodi lagu tersebut sehingga mengundang rasa sebak, dan menyuntik semangat saya untuk mengendalikan program tersebut. Situasi ini bukan sahaja memberikan kesan kepada saya,tetapi turut mengundang minat dalam kalangan pelajar untuk berdiri dan menyanyikan lagu tersebut bersama-sama dan saya dapat merasakan kehangatan patriotisme itu seolah-olah sedang mengalir dalam diri kami.
Secara kebiasaannya, kita kerap mendengar lagu patriotik pada bulan Ogos sahaja. Sepanjang bulan tersebut, stesen radio akan memainkan lagu patriotik sebagai ingatan kepada seluruh rakyat Malaysia akan pejuang terdahulu untuk membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah. Lucy Mair dalam bukunya, An Introduction to Social Anthropology, menyatakan bahawa kebudayaan ialah milik bersama masyarakat yang mempunyai tradisi yang sama. Dalam konteks ini, lagu patriotik dicipta untuk menerapkan nilai patriotik seperti kesetiaan, pengorbanan, dan penghormatan kepada negara untuk diamalkan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia.
Pada dekad 1960-an lagi, banyak lagu patriotik yang dicipta memberikan kesan yang mendalam kepada pendengar, malah lagu tersebut bersifat malar segar. Hal ini dikatakan demikian kerana lagu patriotik sifatnya perlu bertahan lama dan perlu didengari dari satu generasi kepada generasi yang lain. Sungguhpun begitu, pada masa ini, terdapat juga lagu patriotik alaf baharu yang turut membawa patriotisme, dicipta. Namun begitu, kesannya tidak begitu berasa. Hal ini dikatakan demikian kerana lagu patriotik seharusnya ditujukan untuk semua bangsa dan generasi, tetapi kebanyakan penciptaan melodi dan lirik lagu patriotik kini sukar untuk dihafal. Pencipta pada masa ini cenderung menghasilkan lirik dengan menggunakan bahasa kolokial dan diselang-selikan dengan bahasa Inggeris, malah turut memasukkan unsur rap pada melodi lagu tersebut.
Tidak dinafikan bahawa inovasi yang dilakukan pada lirik dan melodi lagu patriotik bertujuan untuk memenuhi selera pendengar kini, tetapi bagaimanakah dengan orang-orang terdahulu atau kaum lain? Hal ini boleh dipersoalkan kerana lagu patriotik ialah milik bersama-sama dan bukan hanya untuk kaum tertentu sahaja. Bahkan, lirik lagu patriotik berfungsi sebagai mesej kepada rakyat untuk membangkitkan semangat cinta akan negara dan bangsa. Namun demikian, sekiranya lagu patriotik tidak dapat difahami dan dihayati oleh semua kaum, bagaimanakah mesej tersebut dapat sampai kepada rakyat?
Lagu patriotik seharusnya menjadi warisan turun-temurun yang dapat dihayati oleh semua bangsa dari satu generasi ke satu generasi yang lain, malah menjadi amalan yang sudah sebati dengan sesuatu masyarakat. Sebagai contohnya, lagu Negaraku. Tatkala lagu Negaraku berkumandang, tidak kira bangsa atau di mana sahaja kita berada, secara automatik kita akan berdiri menunjukkan rasa hormat akan lagu kebangsaan
Malaysia, selain turut berasa megah menghayati setiap bait bait lirik lagu tersebut. Walau bagaimanapun, apabila lirik dan melodi diubah suai mengikut selera pihak tertentu sahaja, maka hayat lagu patriotik tersebut tidak akan bertahan lama, malah penerapan nilai patriotik tidak dapat disematkan dalam hati rakyat. Perjuangan bukan untuk seketika sahaja, tetapi harus kekal untuk selama lamanya agar keharmonian rakyat dan keutuhan negara terus terpelihara.
Selamat Menyambut Hari Kebangsaan yang ke-61.

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya Bil.7 2018.

Posted in: Nota Editor

Hantar Maklum Balas Anda