Bersusila dalam Kehidupan

Home » Nota Editor » Bersusila dalam Kehidupan

Teks SITI NOORISA ABDUL KHLIL

Sememangnya, kewujudan rangkaian media sosial sangat memudahkan orang di seluruh dunia untuk berhubung antara satu sama lain. Namun begitu, perlu disedari bahawa pengaruhnya mampu mendatangkan ancaman terhadap perpecahan sesama manusia. Seakan-akan menjadi trend pada masa ini, kebanyakan pengguna kerap memuat naik semua perkara di media sosial sehingga semua orang dapat mengetahui apa-apa sahaja yang berlaku sama ada di dalam ataupun di luar negeri.

Baru-baru ini tular kisah seorang guru memuat naik gambar dua orang pelajarnya (lelaki dan perempuan) yang bergaduh kerana ejek-mengejek, iaitu pelajar perempuan digelar“burger”, manakala pelajar lelaki dipanggil “burger hangus”. Dalam laman facebooknya, guru tersebut menceritakan secara terperinci pergaduhan tersebut sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan keluarga pelajar terbabit dan orang luar yang membacanya. Dikatakan,kesan daripada kisahnya yang tular itu, pelajar tersebut tidak mahu hadir ke sekolah kerana berasa malu apabila orang mentertawakannya. Mungkin guru tersebut tidak mempunyai niat untuk memalukan pelajarnya, namun kelakuannya itu dianggap tidak berhati-hati dan tidak memikirkan sensitiviti masyarakat.

Kesan daripada kisah yang ditularkan ini, berkemungkinan akan ada individu atau pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk mewujudkan retak antara kaum atau sesama kaum disebabkan ada pihak yang tidak menjiwai prinsip Rukun Negara yang dibentuk pada 31 Ogos 1970. Lima prinsip Rukun Negara telah dirangka yang merangkumi; Kepercayaankepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan.

Berdasarkan prinsip kelima, iaitu Kesopanan danKesusilaan menjelaskan bahawa setiap individu atau kumpulan masyarakat seharusnya berkelakuan sopan,mempunyai moral yang tinggi,menghormati hak orang lain dan menghindarkan diri daripada membangkitkan perkara sensitif yang boleh mengundang ketidakpuasan hati orang lain. Jelas menunjukkan bahawa tanpa tatasusila, pelbagai penyakit masyarakat akan timbul kerana mereka bebas berbuat apa-apa sahaja yang mereka suka tanpa mempedulikan hak orang lain. Daripada kisah yang berlaku ini, dapat disimpulkan bahawa masyarakat kita tidak belajar daripada sejarah 13 Mei 1969, iaitu tragedi yang menghuru harakan rakyat pada masa itu.Oleh itu, pengenalan lima prinsip ini bertujuan membetulkan sikap masyarakat dalam usaha melahirkan generasi yang bersatu padu dan menjadi contoh yang baik kepada orang lain. Tanpa penghayatan dan pembudayaan prinsip Rukun Negara ini, maka akan ada lebih banyak lagi cerita yang kurang baik tular di media sosial.

SELAMAT MENYAMBUTHARI MALAYSIA

***

Artikel ini dipetik daripada majalah Dewan Budaya Bil. 9

Posted in: Nota Editor

Hantar Maklum Balas Anda