Penghayatan Rukun Negara dalam Kalangan Masyarakat Malaysia

Home » Gatra Perdana » Penghayatan Rukun Negara dalam Kalangan Masyarakat Malaysia

Teks ABDULLAH AWANG

Nasionalisme ibarat senjata bagi sesebuah negara dalam usaha memelihara keutuhan dan membina kekuatan dalaman dalam kalangan rakyat bagi mengatasi setiap ancaman luar seperti globalisasi. Dalam konteks ini, Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa dan memiliki kekayaan budaya, maka nasionalisme perlu disemai dalam jiwa mereka agar jurang perbezaan yang wujud antara kaum dapat diatasi.

Sebelum ini, semangat “kekitaan” dalam kalangan rakyat tidak begitu menebal dan perkara ini menjadi penghalang dalam usaha menanam perasaan cinta akan bangsa dan negara. Hal ini dikatakan demikian kerana perasaan iri hati dan tidak percaya dalam kalangan kaum berleluasa hingga tercetusnya tragedi 13 Mei 1969. Pada masa itu, orang bukan Melayu masih menumpukan perhatian mereka ke tanah besar China dan India. Mereka tidak menganggap Tanah Melayu ini sebagai tanah air mereka, manakala orang Melayu pula menumpukan perhatian pada kawasan Timur Tengah dan Indonesia sebagai teras perjuangan mereka.

Ekoran daripada peristiwa berdarah tersebut, keadaan berpuak-puak dalam kalangan rakyat jelas kelihatan walaupun negara telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Ketika itu, konsep bangsa yang sebenarnya masih belum wujud lagi. Malah, pada masa itu, penduduk masih didukung oleh fahaman perkauman yang terlalu menebal. Perkara ini terjadi kerana rakyat sebenarnya hanya mendapat “negara” semata-mata daripada penjajah Inggeris. Oleh itu, rusuhan kaum telah berlaku secara berlanjutan dalam tempoh beberapa minggu. Kesan daripada peristiwa tersebut, pemerintah mengisytiharkan darurat dan perintah berkurung, parlimen digantung, dan pemerintahan negara diambil alih oleh Majlis Gerakan Negara.

Seharusnya, rakyat Malaysia bersatu sekiranya mereka menginginkan negara ini terus membangun dan hidup dalam suasana aman, damai dan makmur. Maka itu, bagi mengekalkan perpaduan negara, pada tahun 1970, Rukun Negara telah dibentuk. Pembentukan ideologi kebangsaan tersebut bertujuan memandu kehidupan rakyat Malaysia. Selain itu, pembentukan Rukun Negara timbul apabila kesedaran terhadap perpaduan yang disangka kukuh dan teguh hasil muafakat (social contract) antara tiga kaum terbesar, iaitu Melayu, Cina dan India semasa pemaktuban perlembagaan negara terbukti sementara dan tipis (superficial) apabila rusuhan kaum yang dahsyat tercetus.

***

Artikel ini dipetik daripada majalah Dewan Budaya Bil.9

Posted in: Gatra Perdana

Hantar Maklum Balas Anda