Keunikan Warisan Budaya di Melaka

Home » Gatra Perdana » Keunikan Warisan Budaya di Melaka

Teks FITRI AFFENDI MUSTAFA

“Takkan Melayu hilang di dunia”. Pepatah keramat daripada pahlawan Melayu Melaka, iaitu Laksamana Hang Tuah masih kekal dalam sebutan dan ingatan orang Melayu hingga ke hari ini. Kisah Hang Tuah lima bersaudara ini merupakan hikayat lama orang Melayu yang sangat bernilai. Hal ini dikatakan demikian kerana Hikayat Hang Tuah merupakan epik kepahlawanan orang Melayu pada zaman kegemilangan empayar Kesultanan Melayu Melaka pada suatu ketika dahulu.

Negeri Melaka amat sinonim dengan sejarahnya sebagai pusat perdagangan utama di rantau ini. Walaupun dari segi geografinya, Melaka merupakan antara negeri yang terkecil di Malaysia selain Perlis dan Pulau Pinang, namun negeri ini amat kaya dengan warisan sejarah dan budaya. Siapa yang tidak kenal dengan Kota A Famosa, bangunan Stadhuys, Laksamana Hang Tuah, Puteri Hang Li Po yang kesemuanya merupakan warisan sejarah di negeri Melaka.

Berdasarkan sejarah, Kerajaan Melayu Melaka bermula daripada Kesultanan Melayu Melaka, iaitu kedatangan Parameswara, Raja Srivijaya dari Palembang yang memerintah negeri ini dari tahun 1400 hingga 1424. Tambahan pula, nama Melaka sendiri diambil sempena nama pohon tempat Parameswara berteduh setelah sampai dari Srivijaya.
Kesultanan Melayu Melaka yang diasaskan oleh Parameswara ini telah memerintah Melaka selama 110 tahun sehingga ditakluki oleh Portugis di bawah kepimpinan Alfonso de Albuquerque pada 24 Ogos 1511. Pada masa itu, kerajaan Melayu ini telah menarik perhatian banyak kuasa asing. Hal ini disebabkan oleh lokasi Melaka yang strategik bagi pengembangan perdagangan dan pengaruh pihak penjajah Portugis di kawasan yang dipanggil Hindia Timur.
Walau bagaimanapun, pada tahun 1641, pihak Belanda telah menguasai Melaka dengan menewaskan pihak Portugis melalui bantuan Sultan Johor. Namun begitu, pada waktu itu pihak Belanda tidak berminat menjadikan Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan di antara timur dengan barat, tetapi lebih mementingkan pembangunan di Batavia
(Jakarta), Indonesia sebagai pusat pentadbiran Belanda.

***
Artikel ini dipetik daripada Dewan Budaya Bil.10
Posted in: Gatra Perdana

Hantar Maklum Balas Anda