Kontinjen Sukan SEA ke-26 di Indonesia pada tahun ini membawa pulang 59 butir pingat emas. Jika diteliti, tiada peningkatan yang ketara berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Kedudukannya lebih kurang di tempat yang sama – di belakang negara-negara seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam. Dengan Singapura kita tidak jauh berbeza. Sasaran 60 butir pingat emas terlalu rendah untuk sebuah negara yang sudah “veteran” dalam temasya ini.
Untuk mengalihkan perhatian, kemenangan pingat emas bola sepak dijadikan penawar. Emas bola sepak dikatakan “ibu segala pingat” walhal pasukan yang sama “tumbang mudah” ketika bertarung dalam kelayakan Olimpik pada minggu yang berikutnya.
Di negara kita, ahli sukan mendapat tempat yang sangat istimewa. Mereka disanjung setiap kali menang. Tidak ada hari tanpa berita sukan dalam media massa. Sementelahan gosip ahli sukan bergaduh dengan kekasih turut mendapat liputan luas.
Kerajaan juga memberikan perhatian yang luar biasa kepada ahli sukan. Mereka ditatang bagai minyak yang penuh. Peruntukan kewangan bukan sedikit, walaupun kejayaan yang dihasilkan tidak seberapa. Latihan diadakan di serata dunia, tetapi pencapaian sesetengah ahli sukan tidak memberangsangkan.
Setiap kali menang, ada ganjaran yang menanti ahli sukan. Contohnya untuk Sukan SEA ini, sebanyak RM629 996 disediakan untuk 91 orang ahli sukan yang mengutip pingat emas. Telekom Malaysia Berhad turut menjanjikan durian runtuh kepada pasukan bola sepak kerana mempertahankan “ibu segala pingat”.
Kerajaan negeri juga turut menjanjikan ganjaran kepada atlet kelahiran negeri masing-masing. Ada yang mendapat wang, tanah atau banglo.
Bandingkan senario di atas dengan kegiatan intelektual atau yang membina kerohanian dan ketamadunan. Kita biasa terdengar luahan golongan aktivis budaya dan sastera tentang “keterpinggiran” mereka. Mereka umpama “melukut di tepi gantang” dalam dunia materialisme yang mengagungkan kegiatan bersukan dan hiburan yang tiada penghujung.
Cuba bandingkan pendapatan yang diperoleh oleh sesetengah ahli sukan yang menjadi juara dengan ganjaran yang diperoleh oleh budayawan/sasterawan yang dinobatkan. Pengiktirafan kesusasteraan tertinggi, iaitu Sasterawan Negara contohnya, hanya mendapat RM60 000 sekali seumur hidup.
Hadiah sayembara penulisan sangat kecil jika dibandingkan dengan hadiah pertandingan sukan peringkat daerah. Ada penganjur yang mengurangkan nilai hadiah atau enggan menaja sayembara penulisan kreatif. Mereka lebih berminat menaja acara sukan atau program realiti televisyen.
Nasib seniman kecil yang giat menghidupkan aktiviti budaya lebih teruk lagi. Mereka terpaksa “mengemis” untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi menganjurkan aktiviti pada peringkat komuniti.
Mereka umpama lilin; membakar diri untuk menerangi orang lain. Ada yang mengeluarkan duit kocek sendiri. Hidup mereka belum tentu senang, tetapi masih berminat untuk menggerakkan aktiviti seni dan budaya demi kelangsungan seni tradisi agar tidak pupus ditelan zaman.
Saya teringat kisah seorang aktivis boria yang terkenal. Dia ke hulu ke hilir menyemarakkan kegiatan berboria. Sangka kita tentulah pendapatannya lumayan. Tidak sebenarnya, kerana apabila ada penerbit melunaskan bayaran hasil kerjanya yang tidak sebanyak mana, terus terang dia berkata, “Dapatlah saya membaiki kereta yang telah lama tersadai!”
Begitulah nasib seniman dan sasterawan di Malaysia yang tidak mendapat pengiktirafan yang sewajarnya. Jika di negara maju, golongan ini dibela, hal yang sebaliknya berlaku di negara kita.
Apabila generasi muda hanyut dalam gelombang modenisasi, kita galakkan lagi dengan memperhebat aktiviti sukan dan hiburan. Kita menolak aktiviti yang membentuk kerohanian sebaliknya tunduk dengan selera orang muda. Apabila berlaku kerosakan sosial, masing-masing menyalahkan orang lain.
Kita perlu memberikan perhatian yang serius tentang perkara ini. Jika tidak, kemajuan yang kita capai pada tahun 2020 hanya bersifat luaran, sedang dalaman kita masih di takuk lama.
-Padilah Haji Ali
___
Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Januari 2012.