Perbandaran Berteraskan Islam

Home » Ulasan Buku » Perbandaran Berteraskan Islam

Oleh Norlaili Samsuddin

Perbandaran di Timur Tengah: Kesannya terhadap Masyarakat Islam Abad I-III Hijrah (Edisi Kedua), memaparkan kecemerlangan umat Islam sekitar abad pertama hingga ketiga Hijrah dalam pembangunan perbandaran di Timur Tengah. Penulis buku ini, Profesor Madya Dr. Ahmad Zaki Haji Abd. Latiff, berjaya menghuraikan, secara terperinci, konsep perbandaran Islam, kepentingan dan implikasinya terhadap masyarakat Islam.

Buku ini memaparkan kecemerlangan umat Islam pada zaman awal Islam dalam perbandaran di Timur Tengah. Sesungguhnya Islam menjadi pendorong kepada mereka untuk membangunkan bandar. Kehidupan bandar yang diasaskan oleh mereka telah berjaya mencorakkan tamadun Islam yang berasaskan al-Quran dan al-Sunnah. Umat Islam berjaya melahirkan pelbagai institusi berbentuk sosial, politik, ekonomi dan kebudayaan yang membentuk mereka menjadi masyarakat madani, mengalahkan masyarakat Barat pada ketika itu yang masih berada dalam zaman kegelapan.

Perkara yang menarik dalam buku ini ialah peranan institusi masjid dalam mencorakkan pembangunan bandar dan masyarakatnya. Masjid menjadi pusat ibadah dan kebudayaan Islam yang berjaya melahirkan tokoh yang berwibawa dalam semua bidang kehidupan masyarakat ketika itu. Dengan kewibawaan Islam, mereka membina kota dan membangunkan masyarakatnya menjadi maju, makmur, sejahtera, aman, adil dan berakhlak mulia.

Selain itu, buku ini turut membincangkan konsep bandar Islam. Menurut Jurji Zaydan, bandar Islam ialah bandar yang dibina sendiri oleh umat Islam dan tidak termasuk bandar Rom dan Parsi yang dibuka oleh mereka. Bandar Islam terdapat di Iraq, Syam, Mesir, Afrika, Andalus dan lain-lain lagi. Dari segi sejarah, bandar Islam pertama yang unggul dan menjadi model ikutan ialah bandar Madinah pada zaman Nabi dan Khulafa’ al-Rasyidin kerana pada zaman itulah masyarakat Islam yang tulen berjaya dibentuk oleh baginda. Pada ketika itu, bandar Madinah merupakan manifestasi secara langsung daripada konsep tauhid dalam Islam dan menjadi wadah kepada pelaksanaan syariat Islam.

Oleh hal yang demikian, dapat disimpulkan bahawa bandar Islam adalah berteraskan agama Islam. Akidah penduduk kotanya adalah mentauhidkan Allah, syariat kekotaannya berteraskan al- Quran dan akhlak penduduknya bermodelkan sunnah Rasulullah SAW. Idealisme bandar Islam berjaya direalisasikan dengan penuh cemerlang semasa hayat Nabi dan pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin.

Dari segi pembentukan bandar, perkembangan bandar Islam pada zaman awal Islam berubah daripada bentuk pemusatan, iaitu daripada pusat pemerintahan kepada bandar wilayah . Perkembangan bandar Islam seperti juga perkembangan bandar Rom dan Greek, yang terdiri daripada tiga keadaan, iaitu sama ada berasal daripada penempatan baharu tentera amsar, yang muncul kemudiannya sebagai pusat utama perbandaran seperti Basrah, atau menduduki penempatan bandar yang sedia ada seperti Damsyik, atau merancang penempatanbaharu seperti Baghdad. Menurut Grunebaum, bandar Islam boleh dibahagikan kepada dua, iaitu terbangun secara spontan dan dibangunkan secara terancang.

Sebuah bandar Islam tidak hanya dinilai dari sudut keislaman pada nama, pengasas dan ciri fizikal yang lestari, tetapi yang lebih penting ialah penghayatan nilai kudus penghuninya atau pegangan agama yang kukuh. Hal ini dianggap sebagai ciri utama tamadun sebagaimana yang ditegaskan oleh Ibnu Khaldun dalam kitabnya yang terkenal, Muqaddimah.

Antara ciri utama masyarakat Islam atau bandar Islam, yang menjadi bukti pegangan agama yang kuat termasuklah bandar yang dibina hendaklah bersumberkan bandar suci Nabi iaitu Madinah al-Munawwarah. Hal ini sepatutnya menjadi model rujukan perbandaran dunia Islam dari semua sudut seperti sudut  perlembagaan, model penyatuan masyarakat berteraskan masjid, model kebersihan, keindahan dan kecantikan, model perancangan dan pengurusan Islam yang kulliy.

Kesan utama perbandaran terhadap masyarakat Islam ialah kelahiran institusi politik, ekonomi dan sosial bagi pembangunan tamadun. Institusi tersebut dicetuskan daripada pengaruh dinamik agama Islam. Daripada institusi tersebut juga dapat diukur sejauh mana kesan perbandaran terhadap kejayaan masyarakat Islam di kota-kota Islam.

Sesungguhnya perbandaran Islam melambangkan kehidupan masyarakat kota yang maju dari aspek keagamaan dan keduniaan. Dari sudut keagamaan, mereka ialah masyarakat yang patuh dan taat hanya kepada Allah, dengan penuh keyakinan dan patuh kepada syariat dan akhlak. Dari sudut kekotaan, mereka mengutamakan perancangan yang ideal dan rapi, dan memberikan perhatian kepada kedamaian, kebersihan, kesihatan, perhubungan yang erat antara penghuni kota, keselamatan dan keselesaan persekitaran.

Buku ini diharapkan menjadi pendorong kepada generasi muslim kini, khususnya para perancang bandar dan pemimpin masyarakat, supaya dapat menggabungkan kelebihan zaman silam (zaman keagungan Islam) dengan kelebihan zaman kini (zaman moden) dalam membangunkan sesebuah bandar.

Pembangunan institusi bandar mestilah bercirikan kesepaduan, dan masjid merupakan nadi penggerak kemasyarakatan umat Islam.

Perbandaran di Timur Tengah: Kesannya terhadap Masyarakat Islam Abad I-III Hijrah dapat merangsang masyarakat Islam untuk melihat proses perbandaran terkini dengan lebih prihatin supaya masyarakat Islam dapat memanfaatkan pembangunan perbandaran kini bagi mewujudkan suasana yang kondusif dalam kehidupan berteraskan Islam.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Februari 2012.

Posted in: Ulasan Buku

Hantar Maklum Balas Anda