Dari Pasar Seni ke Gedung Harrods

Home » Nota Editor » Dari Pasar Seni ke Gedung Harrods

Pada 2 Oktober 2009, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), mengiktiraf seni batik sebagai tradisi kesenian dan warisan Indonesia.

“Sejak pengiktirafan tersebut, permintaan batik Indonesia di peringkat antarabangsa meningkat lebih daripada 36 peratus dan permintaan banyak dibuat dari gedung fesyen mewah di Eropah, Afrika dan Asia Timur,” kata Dr. Maria Wronska Friend (pensyarah  antropologi di Universiti James Cook, Australia), semasa membentangkan kertas kerjanya bertajuk, “Indonesian Batik: Intangible Cultural Heritage” dalam World Batik Summit 2011 yang berlangsung di Jakarta pada 28 September hingga 2 Oktober 2011.

Bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela, sehingga sekarang sering memakai batik Indonesia dalam banyak acara rasmi antarabangsa. Beliau begitu cinta akan batik, sehingga bersungguh-sungguh menggalakkan kakitangan awam di negara itu memakai batik Indonesia ketika menghadiri majlis rasmi. “Pakailah baju batik Indonesia di Afrika Selatan, maka anda akan mendapat penghormatan yang luar biasa daripada warga Afrika,” kata salah seorang diplomat Indonesia yang bertugas di Kedutaan Besar Indonesia di Afrika Selatan, ketika ditemu bual oleh akhbar harian Kompas semasa berlangsungnya World Batik Summit 2011.

Namun, jika direnungkan Malaysia juga mempunyai kesenian batik buatan tangan yang tidak kurang cantiknya, malah sering kali pula diperagakan dalam perutnjukan fesyen antarabangsa. Namun, sayangnya dunia sekarang mengakui bahawa batik berasal dari Indonesia.

Menyedari hakikat ini, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, menjelaskan bahawa sudah tiba masanya warisan tidak ketara di Malaysia seperti tenunan (songket, tekat, manik dan sebagainya), anyaman, bunyi-bunyian, muzik, dan tarian diberikan pengiktirafan oleh UNESCO sebagai warisan dari Malaysia.

“Sudah tiba masanya kita menandatangani Konvensyen Melingdungi Warisan Budaya Tidak Ketara 2003 supaya pelbagai warisan kita diperakui UNESCO dan diterima oleh dunia antarabangsa,” kata Rais kepada media selepas merasmikan Pameran Warisan Malaysia di ibu pejabat UNESCO, Paris, Perancis, pada 15 Februari lalu.

Pameran Warisan Malaysia selama lima hari anjuran Jabatan Warisan Negara tersebut merupakan usaha permulaan untuk memperkenalkan warisan tidak ketara Malaysia di peringkat antarabangsa.

Pada masa yang sama, perakuan daripada UNESCO juga cukup penting bagi memastikan tidak wujud lagi kontroversi tentang asal usul sesuatu jenis warisan atau kesenian seperti yang berlaku dalam beberapa kes sebelum ini. Perakuan “pihak ketiga”  yang berautoriti seperti UNESCO mungkin jalan terbaik untuk meredakan sebarang konflik.

Menurut Rais, Malaysia memerlukan sokongan tempatan dan antarabangsa untuk membolehkan warisan negara diberikan pengiktirafan sewajarnya. “Dalam usaha mengekalkan warisan, kita perlu menjadikannya sebagai elemen perpaduan dan kemanusiaan yang dihargai semua pihak,” jelas Rais.

Langkah yang dibuat oleh Rais ini wajar dipuji kerana tepat pada masanya. Lihat sahaja kejayaan yang dicapai oleh batik Indonesia yang sudah diiktiraf oleh UNESCO dan mula meluaskan pasaran ke seantereo dunia.

Malaysia juga mempunyai pelbagai warisan bertaraf antarabangsa. Daripada ukiran patung kayu Orang Asli Mah Meri sehinggalah keseniaan tekat benagn emas orang Melayu, semuanya mempunyai kualiti tersendiri dan berpotensi dipromosikan di seluruh dunia. Cuma semua itu bergantung pada usaha kita untuk menentukan  ke mana sebenarnya mahu kita bawa hasil seni dan warisan kita.

Jika kena gayanya, tekat benang emas yang banyak dijual di Pasar Seni, Kuala Lumpur, boleh laris dijual di gedung Harrods, London, bahkan sulaman manik halus kaum Iban yang dijual di Pasar Satok, Kuching, tidak mustahil menjadi trend fesyen terbaharu koleksi musim panas yang laris dijual di butik mewah di Milan. Negara jiran kita sudah membuktikan semua itu boleh berlaku. Kita bila lagi?

-Mohd Shukri Mohd Arif

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Mac 2012.

Posted in: Nota Editor

Hantar Maklum Balas Anda