LONJAKAN PELANCONGAN DOMESTIK

Home » Nota Editor » LONJAKAN PELANCONGAN DOMESTIK

Sebanyak RM18.5 juta dicatatkan perolehan daripada jumlah pendapatan inap desa luar bandar di negara ini pada tahun 2012. “Petuanya amat mudah untuk menarik kunjungan kali kedua, ketiga, dan seterusnya pelancong asing untuk menikmati keindahan alam, budaya, dan cara hidup masyarakat desa negara ini, iaitu sambutlah mereka dengan senyuman dan tangisi kepulangan mereka ke negara asal,” demikian ujar Profesor Dr. Amran Hamzah, Profesor Perancangan Pelancongan yang juga merupakan Pengarah Pusat Inovatif Perancangan dan Pembangunan, Universiti Teknologi Malaysia semasa membentangkan kertas kerja bertajuk, “Meningkatkan Skala Keuntungan dan Kelainan Inap Desa”, semasa Persidangan Pelancongan Sedunia 2013 di Melaka bulan lalu.

Jumlah penduduk dunia dijangka meningkat daripada 7.1 bilion pada tahun 2012 kepada 8.3 bilion pada tahun 2030. Peningkatan ini juga mendorong lonjakan kehadiran pelancong dunia ke wilayah Asia Pasifik, iaitu sebanyak 330 juta orang pada tahun 2010 kepada 535 juta orang pada tahun 2030. Peluang ini perlu disambut serius oleh pengusaha industri pelancongan tempatan dalam mempromosikan produk pelancongan negara.

Menjelang tahun 2020, industri pelancongan negara dijangka memperoleh pendapatan RM67 juta setahun dengan membuka lebih 500 000 peluang pekerjaan di pelbagai sektor, seperti pengangkutan, perhotelan, penyediaan makanan, agensi pelancongan, dan pemandu pelancong.

Korea Selatan merupakan rakan negara Asia yang proaktif membangunkan industri pelancongan negara itu dengan jenama produk “Gelombang Hallyu”. Menurut Presiden Pertubuhan Pelancongan Korea, Charm Lee (beliau berasal dari Jerman, dan telah lebih 30 tahun menetap dan menjadi warganegara Korea Selatan), jumlah pelancong ke Korea Selatan meningkat daripada 6.8 juta orang pada tahun 2008 kepada 12 juta pada tahun 2013. Unjuran hasil pendapatan pula terus dijangka meningkat, iaitu daripada AS$18.1 bilion pada tahun 2013 kepada AS$52.1 bilion pada tahun 2020.

Peningkatan drastik ini hasil daripada pembangunan pakej jenama produk Hallyu, iaitu fenomena budaya popular Korea Selatan di seluruh dunia, seperti drama, K-Pop, dan filem. Penyebaran budaya popular ini sebenarnya membawa industri hiliran yang lain, seperti fesyen, perubatan, pelancongan, makanan, hiburan, dan peranti elektronik. Sasaran pelancongnya pula lebih 90 peratus kepada golongan wanita, dan 10 peratus lelaki yang meliputi usia antara 20-an hingga 30-an. Golongan ini disasarkan akan menjadi bukan sahaja pelancongan semasa tetapi pelancong masa hadapan yang akan kembali melancong ke Korea Selatan.

Jelasnya, strategi pemasaran produk pelancongan ini berjaya mengeksport budaya Korea Selatan ke seluruh dunia, menyebarkan nilai dan sensitiviti Asia, dan meningkatkan imej negara Korea Selatan di persada antarabangsa.

Sejauh manakah pula negara ini bersedia membangunkan jenama produk pelancongan sementelahan kita mempunyai kepelbagaian budaya dan kepelbagaian biodiversiti? Apakah pula ciri utama kebudayaan yang akan kita tonjolkan kepada pelancong asing? Dan, apakah kita bersedia membangunkan jenama produk budaya kita secara berpakej seperti yang dilakukan oleh negara Korea Selatan? Semua itu akan terjawab dalam Tahun Melawat Malaysia 2014 dengan tema “Meraikan 1Malaysia…Asia Sebenar”.

Melancong Luas Pandangan

- Abdul Ghani Abu

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran November 2013.

Posted in: Nota Editor

Hantar Maklum Balas Anda