YANG KECIL ITU BESAR MAKNANYA

Home » Catatan » Nota Editor » YANG KECIL ITU BESAR MAKNANYA

Penjara. Apabila disebut perkataan ini pastinya pandangan yang skeptikal akan terjelma dalam minda masyarakat kita. Digeruni, ditakuti, dan dijauhi.Itulah antara respons awalnya. Jijik, patut menerima hukuman setimpal, dan padan muka pula merupakan pandangan biasa masyarakat umum kepada “ahli keluarga” di dalam tembok jeriji besi ini.

Kesempatan bersama-sama 40 orang “ahli keluarga” Institut Pemulihan Dadah, Penjara Jelebu, Negeri Sembilan mengubah persepsi “klise” saya terhadap “ahli keluarga” jeriji besi ini. Tempoh tiga hari berada bersama-sama mereka dalam program Bengkel Penulisan Kreatif benar-benar memberikan saya suatu pengalaman yang amat berharga sebagai editor dan insan yang menumpang hidup di dunia milik Allah SWT, juga menjadikan saya cukup bersyukur dengan nikmat kebebasan yang saya miliki. Pelbagai latar belakang dan usia (awal 20-an sehingga 60 tahun) “ahli keluarga” yang mengikuti program seni kreatif sebagai salah satu elemen pemulihan di penjara ini.

Coretan spontan salah seorang peserta berusia 40-an yang menjalani hukuman rotan dan dipenjarakan atas kesalahan memiliki dan penyalahgunaan dadah memberikan kesan yang cukup menyentuh perasaan saya.

Satu lagi coretan anak muda berusia 22 tahun dari Penjara Kluang, Johor, amat menyentuh emosi dan sanubari saya. Apatah lagi dititipkan satu pesan yang menimbulkan sebak di hati saya, “Saya suka menulis, tetapi lemah dalam kesusasteraan. Harapan saya, encik boleh membantu saya dalam bidang penulisan. Saya akan bebas pada tahun 2016, anjurkanlah program dan jemputlah saya.”

Bersalah tetap bersalah.Yang pasti kesalahan masa silam menjadi satu palit hitam dalam kehidupan mereka.Suatu babak baharu kehidupan harus dimulakan sebaik sahaja melangkah keluar dari tembok jeriji itu, dengan pedoman dan arah tuju yang lebih jelas.Sokongan masyarakat sememangnya amat membantu mereka yang patah ranting pohon kehidupan ini.

Pemodenan dan urbanisasi menyebabkan anggota masyarakat alpa tentang tanggungjawab mereka untuk sama-sama membentuk keharmonian dan kesejahteraan hidup bermasyarakat, sama ada sebagai ahli keluarga, pemimpin keluarga, saudara-mara, mahu pun jiran. Budaya tegur-menegur semakin hilang, pepatah “jangan menjaga tepi kain orang” disalahtafsirkan, dan ingatan “mencegah lebih baik daripada mengubati” seolah-olah dilupakan masyarakat dalam menangani penyakit sosial.

Jika masa dahulu, menegur anak jiran atau si bapa membenarkan anaknya dirotan oleh guru demi menuntut ilmu, merupakan hal biasa yang tidak lagi berlaku sekarang ini.Namun yang sebaliknya pula berlaku, “Jumpa nanti di mahkamah,” demikian antara ucap balas yang biasa kita dengar. Atas nama hak asasi individu, kadangkala nilai leluhur budi masyarakat entah kenapa kita pinggirkan. Mungkinkah ini serapan halus budaya barat yang sedikit demi sedikit melunturkan keakraban kita hidup berkampung?

Akhirnya, apabila ada anggota masyarakat kita yang dipenjarakan, kita terus menuding jari kepada mereka tanpa berfikir sejenak bahawa kita sebenarnya mampu menyelamatkan mereka lebih awal. Walaupun kecil tindakan kita sama ada melalui teguran atau bantuan kemanusiaan yang lain, namun besar kesannya kepada kehidupan mereka, khususnya kepada golongan muda.

- Abdul Ghani Abu

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Julai 2013.

Posted in: Nota Editor

Hantar Maklum Balas Anda