PADAH SEKS BEBAS!

Home » Fokus » PADAH SEKS BEBAS!

Oleh Wasitah Hj. Mohd Yusof

Isu seks bebas di Malaysia bukanlah isu baharu.Gejala ini telah lama menular dalam masyarakat Malaysia terutamanya dalam kalangan belia. Kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) pada tahun 2010, mendapati setiap tiga daripada enam remaja berumur antara 15 hingga 28 tahun di negara ini yang kebanyakannya lulusan universiti didapati melakukan hubungan seks luar nikah. Sebanyak 35 peratus responden menyatakan keterlibatan mereka dalam salah laku seksual sebelum berkahwin didorong oleh keinginan memuaskan nafsu, manakala sebanyak 22 peratus melakukannya kerana pujukan pasangan atau pengaruh rakan.

Kajian selama enam bulan bertajuk “Keterlibatan Remaja dalam Salah Laku Seksual” oleh sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diketuai oleh Pengarah Pusat Kokurikulum UPM, Profesor Madya Dr. Mohammad Shatar Sabran, pada tahun 2010, yang membabitkan 400 orang responden dalam dua kumpulan sasaran di Lembah Klang dan luar bandar, mendapati 300 orang remaja Melayu di bandar dan luar bandar berusia antara 13 dan 25 tahun mengakui terbabit salah laku seksual dan seks bebas.

Youth Culture” bermaksud satu simbol yang unik, kepercayaan, dan sikap yang menggambarkan generasi belia dalam sesuatu masyarakat.Komponen utama dalam budaya belia merupakan “gaya” atau “trend”.Gaya atau trend ini memainkan peranan yang amat penting dalam mencorakkan identiti belia. Gaya dan trend ini mempengaruhi belia berinteraksi antara satu sama lain dalam komuniti tersebut.

Secara literal, terma seks bebas ditakrifkan sebagai perbuatan melakukan hubungan seks tanpa ikatan perkahwinan yang sah. Melalui pendefinisian secara konseptual, seks bebas dalam kalangan belia merupakan hubungan sosial intim yang dilakukan di luar ikatan pernikahan, sama ada suka sama suka ataupun dalam dunia pelacuran.

Islam melarang keras pergaulan bebas di antara lelaki dengan perempuan. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Isra’, ayat 32 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kepada kerosakan).” Allah SWT berfirman “Janganlah kamu menghampiri zina”. Hal ini sangat jelas Allah SWT melarang pergaulan bebas di antara lelaki dengan perempuan atau sebarang perbuatan yang boleh membawa kepada zina.

Hal ini tidak terhad ditujukan kepada seks berlainan jantina. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi, daripada Abu Musa, yang bermaksud, “Jika seorang lelaki mendatangi lelaki lain (liwat) maka mereka berdua adalah penzina, dan jika seorang wanita mendatangi wanita lain (musahaqah), maka mereka berdua adalah penzina. Justeru firman Allah SWT dalam surah Al-Isra’ seperti yang dinyatakan sebelum ini jelas melarang keras sebarang bentuk seks bebas tidak terhad kepada seks berlainan jantina, malahan melarang seks bebas sesama jantina.

Seks bebas merupakan penyakit sosial yang kian menular dalam kalangan masyarakat Malaysia seolah-olah menjadi kudis yang semakin merebak dan semakin sukar diubati.Ironinya, penyakit sosial ini dilihat lebih cenderung berlaku dalam kalangan belia.

Dalam Kajian Gejala Sosial dalam Kalangan Belia Malaysia yang dilaksanakan ke atas 5016 orang responden oleh IPPBM pada tahun 2010, mendapati 52 peratus responden menyatakan bahawa rakan mereka terlibat dalam salah laku hubungan seks luar nikah. Manakala sebanyak 38 peratus responden mengakui rakan mereka pernah mengandung sebelum berkahwin. Hal ini dilihat serius kerana walaupun kajian tersebut tidaklah dapat mewakili keseluruhan golongan belia di Malaysia yang berjumlah 12.02 juta orang (Fakta Belia Malaysia, Edisi 2, 2011), namun, dalam jumlah responden yang agak besar, iaitu sebanyak 5016 orang responden, majoriti remaja menyatakan tentang keterlibatan rakan dalam hubungan seks luar nikah.

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya Keluaran Julai 2013.

Posted in: Fokus

Hantar Maklum Balas Anda