KALENDER “24 MUSIM”

Home » Bingkisan CRI » KALENDER “24 MUSIM”

Oleh Chang Shan

Berdasarkan catatan sejarah, pada tahun 104 Sebelum Masihi, orang China telah menghasilkan “Kalendar 24 Musim”. Rakyat China pada zaman purba juga telah menciptakan “Lagu 24 Musim” dan “Sajak 24 Musim” supaya orang ramai lebih mudah untuk mengingat sistem kalendar itu.

Permulaan Musim Bunga

“Permulaan Musim Bunga” merupakan musim pertama dalam sistem kalendar.Secara tidak langsung menandakan ketibaan musim bunga di China yang biasanya jatuh pada 4 Februari setiap tahun.

Tahun Baharu Cina tidak semestinya jatuh pada hari “Permulaan Musim Bunga”. Misalnya, Tahun Baharu Cina bagi tahun 2013 disambut pada 10 Februari, iaitu lewat enam hari daripada hari “Permulaan Musim Bunga”.

Bagi kaum petani, “Permulaan Musim Bunga” menandakan bermulanya musim penyemaian benih atau penanaman kerana dalam dunia alam semula jadi, musim bunga merupakan musim bertunas dan mula tumbuh, serta haiwan terjaga daripada tidur sepanjang musim sejuk. Bermula dari hari “Permulaan Musim Bunga”, suhu udara, sinaran matahari, dan sukatan hujan akan menjadi semakin bertambah.

Selepas hari itu, segala tanaman pertanian tumbuh dengan pesat dan memerlukan lebih banyak air. Kaum petani akan giat bercucuk tanam, kerap menyiram, dan menggunakan baja untuk menambahkan kesuburan tanah.

Hujan

“Hujan” merupakan penggal kedua dalam kalendar “24 Musim”. Hari pertama penggal tersebut, iaitu hari “hujan” yang jatuh pada 18, 19, atau 20 bulan Februari setiap tahun. Menerusi nama penggal itu, kita boleh mengetahui bahawa “hujan” biasanya dikaitkan dengan fenomena cuaca. Hari “hujan” bagi tahun ini telah jatuh pada 18 Februari yang lalu.

Di China, terdapat pepatah yang berbunyi, “Harga air hujan musim bunga lebih mahal daripada minyak”.Air hujan pada awal musim bunga sangat bernilai bagi kaum petani.

Serangga Terjaga

“Serangga Terjaga” merupakan penggal ketiga dalam kalendar “24 Musim” selepas “hujan”.Hari pertama penggal tersebut, iaitu hari “Serangga Terjaga” yang jatuh pada 5, 6, atau 7 Mac setiap tahun. Berdasarkan hasil kajian rakyat China yang diwarisi turun-temurun, selepas hari “Serangga Terjaga”, cuaca akan menjadi semakin panas. Serangga yang tidur di bawah tanah akan terjaga daripada tidur pada sepanjang musim sejuk apabila mendengar dentuman guruh pertama bagi musim bunga dan akan mulai aktif, manakala telur serangga yang berada di dalam tanah pada sepanjang musim sejuk juga akan mulai menetas. “Serangga Terjaga” biasanya dikaitkan dengan fenomena alam.

Rakyat China pada zaman purba sangat mementingkan ketibaan hari “Serangga Terjaga” kerana ini menandakan bermulanya aktiviti penanaman. Terdapat bidalan tentang hari tersebut yang berbunyi: “Selepas berlalunya hari “Serangga Terjaga”, aktiviti penanaman akan menjadi tidak henti-henti. Hal ini demikian kerana selepas hari “Serangga Terjaga”, suhu udara akan beransur-ansur naik dan penurunan hujan juga akan meningkat. Semua ini merupakan syarat yang baik bagi aktiviti penanaman pada musim bunga.

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Julai 2013.

Posted in: Bingkisan CRI

Hantar Maklum Balas Anda