SEJARAH MASIH RELEVAN

Home » Nota Editor » SEJARAH MASIH RELEVAN

Polemik pembelajaran mata pelajaran Sejarah dua tiga tahun belakangan ini sampai kemuncak apabila pada tahun ini mata pelajaran Sejarah dijadikan mata pelajaran wajib lulus pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia. Sementara itu, para pemimpin negara ASEAN bersepakat mengisytiharkan Komuniti ASEAN pada tahun 2015 yang akan menguatkan lagi kedudukan ekonomi negara anggota selain memberikan dampak sosial dan politik. Hal ini membuktikan bahawa setiap negara khususnya negara anggota ASEAN ingin membangunkan modal insan yang bukan sahaja menguasai sains dan teknologi, sebaliknya mempunyai jati diri yang ampuh.

Wilayah Asia Tenggara ini sangat unik dengan kepelbagaian bangsa, budaya, dan agama. Sebelum kedatangan penjajah, nama Kepulauan Melayu atau Malay Archipelago menjadi magnet ekonomi kepada kuasa Barat disebabkan hasil mahsul bumi yang subur, hinggakan Tanah Melayu digelar Suvarnabumi. Penyatuan rumpun bangsa ini utuh hingga wujud istilah Nusantara.Sejarah mencatatkan keagungan kerajaan di wilayah sebelah sini, seperti kerajaan Langkasuka, Majapahit, Melaka, Pasai, Bugis, dan Brunei.

Namun begitu, kedatangan kuasa Barat yang mula-mula hanya datang untuk berdagang bertukar menjadi pemerintah.Sedikit demi sedikit keintelektualan rantau ini “dicuri” dan dibawa ke negara mereka. Natijahnya, generasi kita hari ini pula yang terpaksa “membeli” semula keintelektualan tersebut sama ada naskhah, surat, atau dokumen!

Lihat petikan dokumen Tauliah daripada Sultan Borneo yang melantik Gustavus Baron de Overbeck sebagai Maharaja Sabah (Borneo Utara) dan Raja Gaya dan Sandakan pada tahun 1877.

“Bahawasanya beta (Abdul Mumin ibni Al-Marhum Maulana Abdul Wahab) berasa perlu untuk menganugerahkan kepada sahabat beta yang setia serta yang dikasihi, Gustavus Baron de Overbeck dan Alfred Dent Esquire, bahagian tertentu negeri di bawah kekuasaan beta yang terdiri daripada seluruh bahagian utara Pulau Borneo dari Sungai Sulaman di sebelah pantai barat ke Teluk Maludu dan ke Sungai Paitan dan kemudiannya seluruh bahagian pantai timur sehingga ke Sungai Sibuko yang terdiri daripada Negeri Paitan, Sugut, Bangayan, Labok, Sandakan, Kinabatangan, dan Mumiang, dan tanah lain sejauh sehingga ke Sungai Sibuko sehingga meliputi wilayah Kimanis dan Binoni, wilayah Pappar dan wilayah Teluk Gaya dan Teluk Sapanggar dengan semua tanah daratan dan pulau yang menjadi sebahagian daripada kawasannya dan begitu juga Pulau Banguey, bagi balasan tertentu yang dipersetujui antara kami.”

Dalam perjanjian antara Great Britain dengan Siam, yang ditandatangani di Bangkok pada 10 Mac 1909, Perkara I mencatatkan:

“Kerajaan Siam menyerah kepada Kerajaan British segala hak dan apa-apa jua kekuasaan, naungan, pentadbiran dan kawalan yang dimilikinya ke atas Negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan pulau-pulau bersebelahan.”

Tanpa disedari perjanjian seperti ini memisahkan rumpun bangsa.Lebih dahsyat lagi apabila pembentukan negara bangsa selepas perang dunia kedua, iaitu apabila tertubuhnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1945.Kuasa penjajah memberikan kemerdekaan kepada negara jajahan dengan legasi perundangan mereka yang menebal.Konflik bangsa yang terpisah pula wujud.Lihat sahaja pembentukan Malaysia 1963 yang mendapat tentangan daripada Filipina dan Indonesia.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa mata pelajaran sejarah amat relevan dalam membina jati diri rakyat Malaysia.Sejarah mengajarkan erti kebenaran melalui pembacaan, penyelidikan, dan pemikiran kritis.Pembudayaan sejarah dalam masyarakat hari ini khususnya dalam kalangan generasi muda amat kritikal.Hal ini dikatakan demikian kerana penjajahan bentuk baharu melalui teknologi maklumat dan komunikasi amat meluas. Oleh itu, sebelum kita memadamkan sejarah yang melakari sebahagian dar kehidupan kita, sebaiknya kita selami kata-kata sejarawan, George Santayana, “Sesiapa yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya!”.

- Abdul Ghani Abu

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran April 2013.

Posted in: Nota Editor

Hantar Maklum Balas Anda