OH BEGITU …

Home » Catatan » Nota Editor » OH BEGITU …

Dari pukul 11.00 pagi pak cik menunggu penumpang, baru sekarang dapat,” ujar seorang pemandu kereta sewa berusia awal 70-an di Kota Bharu ketika membawa saya dan dua orang rakan sepejabat, Kak Gee dan Rafiq menuju Kubang Kerian untuk melihat perusahaan madu kelulut.

“Maka ‘gelaplah’ kita hendak ke Kubang Kerian,” ujarnya.

“Mengapa, pak cik?” tanya saya.

“Sebab kita tak tahu tempatnya,” jawab pak cik.

“Sekarang ini sudah masuk waktu asar, dan kita akan sampai di sana selepas jemaah habis solat. Nanti kita boleh tanya jemaah di sana,” tambahnya lagi.

“Tidak mengapa pak cik, nanti saya belek-belek akhbar ‘ni,” ujar saya.

“O.K. Pak cik, sekarang kita dah ‘cerah’,” balas saya.

“Mengapa?” pak cik tertanya-tanya.

“Sebab kita dah tahu arah tempatnya,” jelas saya.

“Oh, begitu!” jawapan pendek pak cik itu menyebabkan kami bertiga seiring ketawa.

***

“Sekarang sudah sampai, pak cik pergi sembahyang dulu, ya.”

“Baiklah pak cik, lepas sembahyang nanti pak cik jangan lupa datang semula dan hantar kami balik hotel di Wakaf Che Yeh, ya.”

Kami pun terus mencari bahan berita.

***

Tepat pukul 6.30 petang, pak cik sudah siap menunggu kami.

“Pak cik pernah ke Kuala Lumpur?” tanya Kak Gee.

“Masa muda-muda, pak cik pernah menjadi askar wataniah dan tinggal di berek tentera di Padang Tembak. Pak cik pernah pergi Jalan Travers di Bangsar. Nak tahu apa yang pak cik jumpa masa itu?”

“Nak, pak cik,” jawab saya.

“Ada satu papan tanda berlatar belakangkan warna kuning dan bertulisan merah, Sekolah Latihan Keretapi.”

“Oh begitu!” jawab kami bertiga serentak, lantas berdekah-dekah kami berempat ketawa.

“Pak cik pernah bekerja di tempat pecah batu di Jurong, Singapura. Pak cik sewa teksi dari Kota Bharu ke Johor Bahru. Selepas itu, pak cik naik bas 170 ke Singapura,” cerita pak cik lagi.

“Berapa gaji pak cik masa di Singapura?” tanya Rafiq.

“Ha?” pertanyaan yang kurang jelas di pendengaran pak cik itu menyebabkan suaranya sedikit meninggi dan terpusing sedikit stereng kereta ke kiri menyebabkan kami terperanjat.

Sepanjang perjalanan kami asyik melayan borak dengan pak cik.

“Beginilah pemandu kereta sewa di Kota Bharu, kena tunggu pelanggan berjam-jam. Persptif, pepsi… Apa yang nak sebut ‘ni,” ujar pak cik.

“Persepsi, pak cik,” balas saya.

“Ya. Persepsi masyarakat terhadap pemandu kereta sewa amat rendah,” satu per satu pak cik menyusun ayatnya.

Terkejut saya mendengar perkataan persepsi terkeluar daripada mulut pak cik.

“Pak cik ada anak empat orang. Cucu pula ada dua orang.Semua tinggal dengan pak cik.Rumah pak cik pun dah nak roboh. Nanti ya…”

“Kenapa pak cik. Nak pergi rumah pak cik, ke?” tanya Rafiq.

“Tak. Nak tunjuk contoh rumah  pak cik,” jelasnya.

Sekali lagi kami tergelak bersama-sama mendengar kelucuan pak cik yang bersahaja.

“Nanti pak cik berhenti dekat depan 7-Eleven ‘tu, ya,” minta saya.

“Baiklah” jawab pak cik.

Apabila sampai, kami pun membayar tambang, dan pak cik itu pun meneruskan perjalanan.Yang pasti, mungkin kamilah satu-satunya pelanggan pak cik pada hari itu. Seperkara yang saya terlupa adalah untuk bertanyakan nama pak cik. Maka saya menggelarnya, “Pak Cik Oh Begitu!” yang berusaha bersungguh-sungguh untuk “kecek luar”.

Itulah rentetan sebahagian daripada kisah kehidupan si pemandu teksi yang gigih bekerja untuk mencari sesuap nasi.Walaupun sukar, mereka tetap melayan pelanggan mereka dengan senyuman, mesra dan ikhlas.Nilai murni inilah yang seharusnya menjadi amalan generasi muda pada hari ini.

Malah toleransi budaya turut terpancar dengan jelas melalui komunikasi. Kita akan berusaha menggunakan bahasa yang paling mudah untuk difahami bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan. Hal ini demikian kerana bahasa amat penting untuk kita bercerita tentang budaya, dan kita juga perlu luas pengetahuan tentang dialek tempatan bagi memudahkan komunikasi.Seperti “pak cik” nilai murni tersebut pasti telah membudaya dalam diri.

- Abdul Ghani Abu

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Mac 2013.

Posted in: Nota Editor

Hantar Maklum Balas Anda