SI COMEL HITAM PUTIH

Home » Bingkisan CRI » SI COMEL HITAM PUTIH

Oleh Nelawati Ngadul

Rupanya memang comel dan membuat kita geram dengan tubuhnya yang montel. Warnanya yang hitam dan putih (sebenarnya sedikit keperang-perangan apabila dilihat secara berhadapan) tidak asing lagi kepada kita. Malahan patung si comel ini sering menjadi pilihan kepada penggemar mainan lembut.Apabila melihat panda berjalan terkedek-kedek, memang lucu. Namun, mungkin tidak mustahil suatu waktu nanti, generasi akan datang hanya mengenali si comel ini melalui gambar atau rakaman.

Panda Gergasi atau xióng māo dalam bahasa Mandarin merupakan mamalia yang dikelaskan dalam keluarga beruang.Panda gergasi yang berasal dari Wilayah Tengah China ini hidup di kawasan pergunungan hutan buluh yang beriklim sederhana, seperti Sichuan dan Tibet.

Pada akhir separuh abad ke-20, panda menjadi lambang kebangsaan Republik Rakyat China (RRC), dan sekarang digunakan dalam syiling emas RRC.Panda Gergasi juga merupakan simbol Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).

Pada tahun 1970-an, Panda Gergasi dipinjamkan kepada zoo Amerika Syarikat dan Jepun.Pinjaman berbentuk diplomatik ini penting bagi RRC yang menandakan pertukaran kebudayaan pertama antara RRC dengan negara Barat.Walau bagaimanapun, bermula pada tahun 1984, panda tidak lagi dijadikan ejen diplomatik. Sebaliknya, China mula menawarkan panda kepada negara lain hanya untuk pinjaman bagi tempoh 10 tahun. Program pinjaman ini melibatkan pembayaran yuran sebanyak AS$1,000,000 setahun bagi seekor panda.Selain itu, negara peminjam perlu menyediakan tempat tinggal panda yang mempunyai persekitaran seperti habitat asal haiwan comel ini. Syarat penting lain ialah setiap anak panda yang lahir semasa tempoh peminjaman tetap menjadi milik RRC.

Dalam usaha memastikan panda mendapat perlindungan yang sewajarnya, pada tahun 1998, WWF mengemukakan saman yang mendorong Perkhidmatan Hidupan Liar dan Perikanan Amerika Syarikat mengeluarkan syarat kepada zoo Amerika Syarikat yang mengimport panda bahawa separuh daripada yuran yang dikenakan oleh China disalurkan kepada langkah pemuliharaan panda liar dan habitat mereka sebelum perkhidmatan tersebut mengeluarkan permit import panda.

Program peminjaman panda yang dimulakan pada tahun 1984 bukan semata-mata untuk tujuan keuntungan.Jumlah panda yang semakin terancam menyebabkan haiwan ini perlu diberikan perlindungan yang sistematik, di samping usaha penyelidikan dan pembiakan bagi memastikan kelestarian haiwan yang menjadi simbol keamanan sejagat ini.

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Mac 2013.

Posted in: Bingkisan CRI

Hantar Maklum Balas Anda