SERUMPUN 2015?

Home » Nota Editor » SERUMPUN 2015?

Dua tahun lagi dari sekarang, seluruh warga Asia Tenggara akan disatukan dan dikenali sebagai komuniti ASEAN. Siapakah pula Presiden atau Perdana Menteri bagi komuniti ASEAN ini? Adakah institusi beraja di negara ini akan tergugat? Adakah Bahasa Melayu bakal menjadi teras bahasa komuniti ASEAN? Adakah kita akan menyeberang negara tanpa perlu menggunakan pasport? Adakah akan ada “negara abang” atau “negara adik” dalam komuniti ini nanti? Apakah kaitannya pula dengan seni dan budaya? Budaya negara manakah pula yang akan mendominasi dan menerajui seni dan budaya komuniti ASEAN?

Pelbagai persoalan yang timbul.Dahulunya wilayah ini dikenali sebagai Kepulauan Melayu kemudian disebut Nusantara.Ada negara yang dipengaruhi fahaman komunis.Namun, sempadan ideologi tersebut sedekad demi sedekad luntur apabila demokrasi menukar cara haluan pemerintahan.

Inilah perubahan masyarakat yang sentiasa dinamik.Jika masyarakat Eropah bersatu atas tiket Kesatuan Eropah, kita di rantau sebelah sini juga tidak ketinggalan.Legasi penjajahan pelbagai kuasa dunia yang mengotakkan negara walaupun serumpun bangsa memberikan impak kepada penyatuan ini.Namun, hal tersebutlah tidaklah menjadi masalah besar sementelah sejarah mencatatkan kita pernah bersatu teguh dan tersohor pada suatu masa dahulu sebelum kedatangan penjajah.

Penyatuan komuniti ASEAN memberikan impak yang besar kepada warga Asia Tenggara yang mempunyai kebersamaan leluhur budi walaupun berbeza agama dan fahaman.Saya teringat semasa berada dalam tahun akhir pengajian universiti, saya mengikuti Seminar Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka.Ketika itu urus setianya ialah Encik Zulkifli Salleh, mantan Pengarah Jabatan Penerbitan, tempat saya berkhidmat sekarang.

Saya menelefon beliau untuk menyertai seminar yang dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.Saya bertuah kerana dipilih walau ketika itu masih bergelar mahasiswa yang mentah. Dan, saya cukup kagum dengan ketokohan Dr. Surin Pitsuwan, ketika itu Menteri Luar Thailand, kin Setiausaha Agung ASEAN, menyampaikan syarahannya yang bertajuk, “Imperialisme, Globalisasi, dan Dunia Islam”.

Baru-baru ini beliau melancarkan siaran Bahasa Melayu untuk stesen televisyen di selatan Thailand, khususnya bagi orang Melayu di sana. Kata Dr. Surin, “Separuh daripada masyarakat ASEAN berbahasa Melayu, maka bahasa ini penting.” Walaupun pendek, kenyataan daripada tokoh wibawa ini signifikan terhadap perkembangan bahasa dan budaya Melayu dalam kita membentuk komuniti ASEAN menjelang tahun 2015.

Maka budaya itu berkembang melalui wadah bahasa. Malangnya kita kadang-kadang was-was terhadap keupayaan bahasa sendiri. Kita selalu sahaja menyebut kita memiliki pelbagai budaya yang unik, tetapi peliknya kita tidak berminat untuk memahami dan mengkaji keunikan budaya tersebut kerana kita tidak meletakkan nilai ekonomi pada bahasa pengkajian yang kita gunakan.Hal inilah yang harus kita fikir-fikirkan.

Selamat Tahun Baharu Cina.

-Abdul Ghani Abu

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Februari 2013.

Posted in: Nota Editor

Hantar Maklum Balas Anda