KREATIVITI, KEPUASAN, DAN KEBAHAGIAAN

Home » Nota Editor » KREATIVITI, KEPUASAN, DAN KEBAHAGIAAN

Latiff Mohidin dalam bukunya Catatan Dua Baris, terbitan LM Studio Sdn. Bhd., 2012, mencatatkan:

“setiap zaman punya takrif

kebahagiaannya sendiri”

Saya mengaitkan kebahagiaan itu dengan fenomena “Gangnam Style” yang merupakan mania hiburan muda-mudi seluruh dunia pada masa ini. Sehingga makalah ini ditulis, tarian oleh Park Jae-Sang atau Psy, yang dimuat naik di YouTube mencecah angka 805 juta “penonton”. Semua orang mahu mencuba gaya tarian kuda Psy.

Psy memberikan isyarat kepada kita tentang kreativiti yang menjadi enjin penggerak perubahan dunia. Bayangkan, seorang daripada setiap lapan orang penduduk dunia menonton video Psy! Apakah keuntungan daripada aspek pemasaran budaya yang diperoleh oleh Psy yang berbangsa Korea?Apakah kita masih di takuk lama menyalahkan globalisasi?Sedangkan, kita mempunyai cara untuk mendahului.

Sementara itu, anak muda yang juga mahasiswa tahun akhir, Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd. Muemin Mohd. Amin Japar, yang menjadi ahli panel “Wacana Ilmu Fenomena ‘Gangnam Style’ Hiburan Melampau Generasi Masa Kini di UKM” baru-baru ini, menyatakan bahawa Islam tidak menyekat hiburan selagi tidak melanggar batas-batas syariat, hiburan merupakan fitrah manusia, dan hiburan umpama garam, iaitu boleh merosakkan apabila berlebihan. Ekstremisme hiburan yang menolak langsung agama tidak boleh diterima, sebaliknya golongan reformis atau tajdid dalam hiburan amat disokong dalam menyediakan wadah hiburan yang baik kepada umat.

Dalam konteks ini, Latiff ada mencatatkan:

“kita cipta kemajuan

kemajuan cipta kita”

Maka kita tidak seharusnya cepat berasa puas dengan keselesaan sedangkan banyak lagi aspek lain yang harus diteroka, apatah lagi dalam dunia seni dan budaya. Kita mempunyai wadah untuk memasarkan seni dan budaya tempatan ke persada antarabangsa.Ya, kita tidak boleh memperdagangkan seni dan budaya semata-mata kerana komersial.Namun, kita harus memberikan nilai dan mengangkat seni dan budaya. Kata Latiff lagi:

“kita hanya tahu apa itu cukup

setelah ia melimpah ruah”

Latiff mengajak kita untuk terus mencari dan mencari, dan kemudian meletakkan sesuatu itu pada tempatnya. Lihatlah sendiri perjuangan Latiff seawal tahun 1951, yang kini lebih 62 tahun, dengan kreativitinya di pentas seni visual beliau terus disegani dan dihormati bukan sahaja dirinya, tetapi karya dan kata-kata bercetaknya. Dengan kreativiti, Latiff terus berkarya demi kepuasan yang melahirkan kebahagiaan.

***

Selamat Tahun Baharu 2013!

- Abdul Ghani Abu

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Januari 2013.

Posted in: Nota Editor

Hantar Maklum Balas Anda