KEINDAHAN KOTA GUILIN DAN SUNGAI LI

Home » Bingkisan CRI » KEINDAHAN KOTA GUILIN DAN SUNGAI LI

Oleh Wang Jin

Di Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi di kawasan barat daya China, terdapat sebuah kota yang tidak berapa besar. Bentuk bumi Karst istimewa, dengan sebatang sungai yang indah menjadikan kota ini sebagai tempat peranginan yang menarik dan terkenal di China. Kota ini ialah Guilin dan sungainya ialah Sungai Li.

Kota Guilin terkenal dengan gunung yang menghijau, sungai yang cantik, dan gua gunung yang beraneka jenis. Kawasan pemandangan Sungai Li bermula dari Kaunti Xing’an di utara, melalui kota Guilin sehingga Kaunti Yangshuo di selatan. Terdapat banyak destinasi pelancongan di sepanjang Sungai Li. Antaranya termasuklah Batu Ludi, Batu Qixing, Puncak Duxiu, Bukit Fubo, dan Bukit Diecai.

Antara semua destinasi yang terkenal di sini, Bukit Gajah menjadi lambang pelancongan Kota Guilin. Bukit Gajah terletak di pertemuan Sungai Li dengan Sungai Taohua (Bunga Pic) di kawasan kota Guilin. Bukit ini terbentuk daripada batu kapur dan bentuknya menyerupai seekor gajah besar dengan belalainya dimasukkan ke dalam air Sungai Li. Terdapat satu lubang yang besar antara belalai dengan tubuh gajah itu, dan air sungai mengalir melalui lubang ini.

Terdapat legenda yang menarik tentang Bukit Gajah ini.Kononnya maharaja langit mempunyai sekumpulan gajah.Setelah melihat pemandangan Guilin, gajah-gajah itu tertawan dengan pemandangan yang indah di sini dan tidak mahu pulang ke syurga lagi.Maka maharaja langit bertitah supaya gajah-gajah itu balik.Tetapi seekor pun daripada gajah tersebut tidak menurut perintah Maharaja Langit, dan enggan meninggalkan tempat yang indah ini.Maharaja Langit marah lalu membunuh gajah tersebut.Gajah itu pun tinggal di tepi Sungai Li untuk selama-lamanya.

Setelah melawat kota Guilin, kebanyakan pelancong meneruskan perjalanan mereka ke Kaunti Yangshuo dengan menaiki kapal dan perahu. Hal ini bukan sahaja kerana pemandangan di Yangshuo dikatakan lebih indah berbanding dengan kota Guilin, malahan dengan cara ini para pelancong boleh menikmati pemandangan yang indah permai di tepi Sungai Li.

Sungai Li yang panjangnya 400 kilometer itu berpunca dari Gunung Kucing di utara kota Guilin. Jarak dari kota Guilin ke Kaunti Yangshuo ialah 83 kilometer. Kawasan Karst di kedua-dua tepi Sungai Li ini merupakan kawasan batu kapur yang paling besar dan indah di dunia.

Antara semua destinasi pelancongan di kedua-dua tepi Sungai Li, Bukit Huashan yang bermaksud “bukit lukisan” merupakan tempat yang paling terkenal dan paling indah. Bukit yang tingginya lebih daripada 400 meter ini kelihatan berwarna-warni pada cenuramnya. Fosil hidup-hidupan laut yang menjadi batu kapur membentuk beberapa “lukisan semula jadi”, seperti kuda, ikan emas, dan lain-lain.

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Januari 2013.

Posted in: Bingkisan CRI

Hantar Maklum Balas Anda