RAJA DAN RAKYAT BERPISAH TIADA

Home » Nota Editor » RAJA DAN RAKYAT BERPISAH TIADA

Pada bulan lalu, Pemangku Raja Perak, Duli Yang Maha Mulia Raja Dr. Nazrin Shah berkenan menyampaikan titah Syarahan Perdana Budaya 2012 yang bertajuk, “Institusi Raja Berperlembagaan: Kelangsungan Negara Bangsa”. Antara petikan yang menarik pada awal titah Baginda termasuklah:

“Mauduk Raja dan Negara Bangsa, ada kaitan dengan ayat dua puluh enam, Surah Ali lmran, akan peringatan Ilahi dalam kalangan yang diangkat martabatnya dan diamanahkan sebagai Raja, dan ayat 13, Surah AI Hudjurat menyentuh seruan dan peringatan Ilahi terhadap seluruh umat manusia yang merupakan komponen mewujudkan negara bangsa. Mauduk ini menyentuh peranan dan tanggung jawab nakhoda, menakhodai sebuah bahtera untuk mengharungi gelombang pelayaran di maya luas. Raja laksana nakhoda, negara bangsa laksana bahtera, laluan yang ditempuhi laksana gelombang pelayaran. Yang diperlukan, kebijaksanaan dan kearifan nakhoda, melayari bahtera dalam keadaan padu dan selamat agar tidak tenggelam dalam badai gelombang samudera.”

Baginda mengimbas sejarah fungsi dan peranan institusi Raja dalam masyarakat Melayu yang akhirnya membentuk sebuah negara bangsa pada tahun 1957. Baginda menegaskan, peranan institusi Raja bukan sekadar memenuhi tuntutan ceremonial, sebaliknya Baginda mengingatkan kepentingan Raja yang dinyatakan dalam Perlembagaan:

“Sepuluh peratus atau 19 daripada 183 Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan adalah Perkara-Perkara berkaitan Raja. Berpandukan Perlembagaan, adalah jelas dan nyata, Raja Berperlembagaan di Malaysia berperanan penting dalam struktur Kerajaan dan negara bangsa.”

Cabaran besar hari ini adalah untuk memberikan pemahaman kepada generasi muda tentang sejarah pembentukan negara bangsa yang penuh dengan keunikan dan semangat toleransi antara kaum.Baginda tidak menolak realiti semasa yang menuntut perubahan dalam landskap politik, ekonomi, dan sosial negara.Namun begitu, ada sesetengah pihak yang oportunis lantas bersifat dangkal dalam mentafsir sejarah demi kepentingan politik kepartian.

Baginda, dengan mengungkap bahasa bermadah, mengingatkan rakyat supaya mengekalkan kemakmuran dan menyelesaikan segala perselisihan atau persengketaan dengan bijak. Titah baginda:

“Benang yang kusut perlu dirungkai. Dirungkai dengan teliti, agar benang tidak bertambah kusut – dirungkai secara sabar agar benang tidak terputus; dirungkai, sedikit demi sedikit, sehari selembar benang supaya akhirnya menjadi kain. Merungkai benang kusut memerlukan jari jemari yang belum terluka.”

Menelusuri kebijakan cendekiawan bangsa bermadah menyusun kata, penulis mencatatkan sebahagian tulisan Raja Ali Haji dalam Gurindam 12 Fasal 12:

Raja muafakat dengan menteri,

seperti kebun berpagar duri.

Betul hati kepada raja,

tanda jadi sebarang kerja.

Hukum adil atas rakyat,

tanda raja beroleh inayat.

Demikianlah kita hidup bernegara yang kekal menjunjung adat dan budaya yang menjadi tunjang pembinaan negara bangsa.Hal ini merupakan juga keunikan negara ini yang sekian lama dicemburui oleh seteru.Maka, sebagai pewaris, kita harus kental mempertahankan leluhur budi, raja dan rakyat berpisah tiada.

- Abdul Ghani Abu

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Disember 2012.

Posted in: Nota Editor

Hantar Maklum Balas Anda