BERMULA DARIPADA YANG KECIL

Home » Nota Editor » BERMULA DARIPADA YANG KECIL

Usaha kerajaan untuk menambah baik kualiti perkhidmatan awam mendapat sambutan dingin daripada orang awam,”demikian ujar Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam, Tun Zaki Tun Azmi.

Bernama melaporkan, sejak ditubuhkan pada Jun lepas, suruhanjaya tersebut hanya menerima 1200 e-mel aduan, iaitu 95 peratus pengadu merupakan penjawat awam yang membuat aduan berkaitan gaji dan elaun.

Hal ini merupakan satu lagi senario yang biasa berlaku dalam masyarakat kita, iaitu apabila diminta untuk membuat cadangan atau teguran untuk menambah baik sistem penyampaian sektor awam melalui saluran yang disediakan, kurang mendapat sambutan. Namun begitu, cadangan dan teguran yang datangnya dari cerita di kedai kopi, amatlah hangat!

Di corong-corong radio kini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sedang rancak membuat kempen membudayakan sains dan teknologi yang akan mencetuskan pula inovasi dan kreativiti. Masyarakat diajak untuk keluar dari kepompong pemikiran biasa menjadi “luar biasa”.

Kedua-dua cerita di atas sebenarnya menonjolkan budaya menegur.Budaya menegur dalam kalangan masyarakat Malaysia ini amat unik disebabkan oleh kepelbagaian bangsa yang mendiami tanah air ini.Kita selalu mendengar, “tegurlah dengan cara yang sopan dan berhemah”. Dalam masyarakat Melayu dahulu, budaya menegur ini dilakukan dengan sulaman kata indah sama ada menerusi perumpamaan, pantun, atau puisi.

Sasterawan Negara Dato’ Dr. Usman Awang, dalam sajaknya yang berjudul, Melayu, melahirkan jiwa rasa beliau terhadap bangsanya dengan mengungkapkan bahasa yang indah.

Melayu itu orang yang bijaksana

nakalnya bersulam jenaka

budi bahasanya tidak terkira

kurang ajarnya tetap santun

jika menipu pun masih bersopan

bila mengampu bijak beralas tangan.

Ungkapan bahasa yang indah ini menimbulkan kesan psikologi yang mendalam kepada pembaca yang akhirnya akan menyebabkan pembaca berfikir setiap baris yang diungkapkan oleh penulis.

Sasterawan Negara Dato’ Dr. Usman Awang, terus menulis:

Melayu itu kaya falsafahnya

kias kata bidal pusaka

akar budi bersulamkan daya

gedung akal laut bicara.

Malangnya Melayu itu kuat bersorak

terlalu ghairah pesta temasya

sedangkan kampung telah tergadai

sawah sejalur tinggal sejengkal

tanah sebidang mudah terjual.

Zaman terus berubah seiring peredaran masa. Pun begitu, budaya menegur secara berhemah dalam kalangan masyarakat kini semakin pudar. Pelbagai wahana komunikasi moden yang menyingkatkan perkataan menjadi ayat yang sukar difahami. Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan pada bulan lalu juga merupakan budaya menegur dan budaya saling mengingat dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan bahasa kebangsaan.Bahasa yang menjadi pengikat perpaduan dan bahasa yang mengungkap peradaban serta ketamadunan bangsa.

Justeru melalui sistem pendidikan kita serapkan budaya menegur secara berhemah ini.Transformasi dalam sistem pendidikan bukan sahaja menuntut anjakan paradigma berorientasikan kemajuan sains dan teknologi, malahan membina jati diri dan personaliti unggul dalam kalangan murid-murid melalui pemupukan identiti nasional.

Maka jelaslah budaya menegur ini bermula dari yang kecil, iaitu sama ada kecil usianya, kecil tempatnya atau kecil peranannya. Dari yang kecil itu akan membesar, lantas membentuk keunggulan tamadun bangsa.

- Abdul Ghani Abu

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran November 2012.

Posted in: Nota Editor

Hantar Maklum Balas Anda