NORMA DAN NILAI KEHIDUPAN

Home » Catatan » Nota Editor » NORMA DAN NILAI KEHIDUPAN

Tatkala tulisan ini ditulis berlaku kejadian seorang janda dan anaknya bersama-sama ibunya yang cedera melecur kerana bekas kekasih janda itu mengambil tindakan menyimbah petrol lalu membakar rumah kediaman mereka disebabkan oleh rasa kecewa dengan penolakan cinta oleh janda tersebut. Sesuatu yang dianggap kejam oleh masyarakat tetapi hakikatnya berlaku.

Satu lagi peristiwa, iaitu empat orang anak warga Malaysia beragama Islam yang bertugas di Sweden dijaga oleh pasangan bukan Muslim apabila kedua-dua ibu bapa mereka ditahan di penjara atas tuduhan penderaan. Yang menariknya, penderaan tersebut bukanlah seperti yang selalu kita gambarkan di sini kerana bagi kita menegur anak-anak tidak bersolat dengan peringatan fizikal yang tidak memudaratkan merupakan hal biasa tetapi sesuatu yang luar biasa bagi pemerintah di Sweden. Tambah membimbangkan lagi ialah nasib anak-anak Muslim tersebut.

Maka dalam dunia yang semakin menjadi luar biasa ini persoalan tentang norma dan nilai kehidupan sentiasa perlu difikirkan. Apatah lagi norma dan nilai ini merupakan aspek pembudayaan yang penting dalam membentuk keharmonian dalam hidup bermasyarakat. Norma dapat ditakrifkan sebagai suatu cara kehidupan yang baik yang menjadi amalan masyarakat sejak zaman berzaman. Manakala nilai merujuk kepada tindakan dalam kehidupan sama ada bertindak secara positif atau sebaliknya.

Dalam mengharmonikan kehidupan bermasyarakat, penerapan norma dan nilai ini banyak bergantung kepada toleransi, iaitu sikap untuk menerima pandangan orang lain walaupun berbeza daripada pandangan sendiri. Toleransi memerlukan kesabaran yang disandarkan pada keilmuan untuk memahami dan keimanan untuk mematuhi.

Berbalik pada kes membakar tadi, ternyata tindakan lelaki tersebut menjangkau norma kehidupan kita dan pastinya nilai negatif tercitra dalam diri si pelaku. Maka timbul pula isu semangat kejiranan. Dalam kehidupan di kota metropolitan seperti Kuala Lumpur, semangat kejiranan yang seharusnya disambut positif lenyap disebabkan oleh tuntutan materialistik.

Begitu juga dengan kes rakyat Malaysia di Sweden, apabila dalam kesejagatan global sikap toleransi tidak didasari dengan kefahaman tentang norma dan nilai sesuatu masyarakat. Nilai universal tidak harus menjadi alasan penghakiman semata-mata kerana aspek perbezaan latar budaya dan corak hidup cukup penting dalam membezakan kita sebagai pelbagai warna kulit dan agama yang hidup bersama-sama di dunia ini. Maka dalam dunia liberalisme, apakah norma dan nilai disejagatkan juga? Hal seperti inilah yang harus kita renungkan bersama-sama sementelah mutakhir ini pelbagai cabaran menggugat norma dan nilai kehidupan kita sebagai rakyat Malaysia.

***

Tulisan ini merupakan naskhah editorial saya yang terakhir bergelar Editor Dewan Budaya semenjak tahun 2012. Tugas saya sebagai editor bermula pada tahun 2007 dengan majalah Dewan Pelajar, kemudian Dewan Siswa, melangkah pula ke dunia sastera remaja melalui majalah Tunas Cipta. Persoalan tentang norma dan nilai sentiasa menjadi titip utama dalam setiap penulisan yang diterjemahkan kepada pembaca. Semoga kutipan pengalaman terus memberikan kekuatan untuk terus menabur bakti dalam pencarian makna kehidupan bersama-sama graha keilmuan, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Terima kasih atas sokongan semua!

Abdul Ghani Abu

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Februari 2014.

Posted in: Nota Editor

Hantar Maklum Balas Anda