ANAK ALAM ANAK SENI

Home » Fokus » ANAK ALAM ANAK SENI

Oleh Abdul Ghani Abu

Mazlan Noor mempunyai pandangan yang bertentangan tentang pengertian sesuatu imej. Hasan Majid pelukis figuratif, memiuh-miuh wajah watak-wataknya menjadi karikatur pak sanggup di atas pentas. Sebaliknya, Mazlan Noor menyusun siri bulatan yang berada dalam zon masa yang jangkanya tidak diketahui. Bulatan tersebut bererti ketidaksudahan yang apabila diberikan tajuk-tajuk berunsur agama maka menjadi lebih ketara akan ketidaksudahannya itu. Satu titik permulaan melengkung mencari titik permulaan (Titik dan Garis Mujahadah).

Demikian petikan daripada Profesor Dr. Zakaria Ali, dari Universiti Pendidikan Sultan Idris tentang Pameran Lukisan Gema Hati Daripada Dua Orang Pelukis Anak Alam, Mazlan Noor atau lebih dikenali sebagai Along dan Hasan Majid.

Dua orang sahabat ini merupakan anak seni yang memulakan kerjaya mereka di institusi ulung dan bersejarah negara, Dewan Bahasa dan Pustaka. Dekad 1970-an menyaksikan penglibatan mereka bersama-sama para pejuang bahasa dan sastera negara mengangkat nilai keilmuan tamadun bangsa dan menterjemahkannya dalam bentuk penerbitan sama ada majalah mahupun buku.

Lebih manis lipatan kenangan lalu, apabila dunia seni mereka bukan sahaja di lingkaran rakan-rakan di pejabat, malahan perkongsian seni dilanjutkan bersama-sama teman sealiran yang disemarakkan dengan aspirasi dan inspirasi tokoh-tokoh yang mahu melihat seni dan budaya bangsa terus menunjangi perkembangan peradaban bangsa. Maka lahirlah Kumpulan Anak Alam yang dipelopori oleh golongan sasterawan, budayawan, pelukis, aktivis sastera, dan mereka yang mencintai seni dan budaya. Antaranya termasuklah Sasterawan Negara (SN) Datuk Usman Awang, Latiff Mohidin, SN Dato’ Baha Zain, Mustapha Haji Ibrahim, Dr. Siti Zainon Ismail, Abdul Ghafar Ibrahim, Ali Mabuha, Zulkifli Dahlan, Rahim Nazar, Maryam Abdullah, Mohd Yusof Osman, Ismail Zain, Datuk Johan Jaafar, Pyan Habib, Omar Abdullah, Muhammad Abdullah, Hatta Azad Khan, Musa Masran, dan Khalid Salleh.

Along dan Hasan Majid tidak ketinggalan dalam arus perkembangan seni lukis tanah air waktu itu apabila turut serta dalam Kumpulan Anak Alam. Pelopor awal Anak Alam merupakan pelukis dan penyair, maka puisi mendapat suara di kanvas dan kanvas menjadi ruang penyair bersuara.

Setelah hampir 40 tahun mengabadikan diri dalam dunia seni, maka peluang yang diberikan oleh Datuk Johan Jaafar selaku Pengerusi Media Prima untuk mengadakan pameran lukisan di Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Berhad, di Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur, merupakan manifestasi kepada pengabadian dan pengorbanan mereka selama ini. Apatah lagi pameran oleh dua orang sahabat ini didukung oleh sokongan rakan-rakan lama lain yang bertemu kembali di pameran ini setelah membawa haluan masing-masing. Ternyata seni menyatukan dalam kepelbagaian dengan landasan keikhlasan dan ketulusan pengkarya.

***

Rencana ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Februari 2014.

Posted in: Fokus

Hantar Maklum Balas Anda