AYUH KITA KE MUZIUM!

Home » Nota Editor » AYUH KITA KE MUZIUM!

Di New Delhi, pada setiap hujung minggu, muziumnya dipenuhi manusia, bukan pelancong asing, malah rakyat tempat juga. Majoriti pengunjung muzium penduduk ibu negara India itu. Mereka mengunjungi muzium kerana dua faktor. Pertama, keadaan rumah yang kecil menyebabkan mereka banyak menghabiskan masa di luar rumah. Kedua, pusat membeli-belah dibuka pada pukul 2.00 petang.

Sebagai kesan kedua-dua faktor itu, masyarakat New Delhi mengambil peluang untuk mengetahui sejarah negara mereka dengan mengunjungi muzium walaupun bukan percuma. Daripada situasi tersebut, mereka dididik untuk menghargai sejarah ketamadunan India, termasuklah zaman Islam dan era Hindu. Daripada keadaan itu juga, dapat dikatakan bahawa aktiviti mengunjungi muzium sudah membudaya (secara terpaksa?) dalam masyarakat negara itu.

Sejarah pemuziuman di negara ini bermula sejak tertubuhnya Muzium Perak di Taiping pada tahun 1885. Sejak itu, puluhan malah ratusan muzium sudah didirikan di seluruh negara. Jabatan Muzium Malaysia, sebagai contoh, hanya mentadbir 21 buah muzium. Perbadanan Muzium Melaka pula mengurus berpuluh-puluh buah muzium. Jumlah ini tidak termasuk muzium yang diurus oleh negeri lain, institusi dan swasta. Sebagai contoh, Universiti Pendidikan Sultan Idris mentadbir Muzium Pendidikan Nasional, Majlis Bandaraya Petaling Jaya memiliki Muzium Petaling Jaya, sementara pihak swasta mengurus Muzium Gopeng.

Walau bagaimanapun, aktiviti mengunjungi muzium belum membudaya dalam kalangan masyarakat negara ini. Di negara maju, kunjungan ke muzium dapat dianggap sebagai aktiviti budaya tinggi, seperti halnya dengan membaca buku dan menonton persembahan konsert. Dengan hanya tinggal enam tahun untuk mencapai wawasan negara maju, masyarakat negara ini masih jauh ketinggalan dari segi sosialnya walaupun sisi ekonominya dapat dikatakan membanggakan.

Satu daripada cara untuk membudayakan aktiviti mengunjungi muzium ialah dengan “menghidupkan” muzium. Pada hari ini, kebanyakan orang menganggap muzium sebagai tempat yang sepi–kadang-kadang kesepiannya melebihi kesunyian perpustakaan. Ya, memang kita tidak mampu “menghidupkan” muzium seperti Night at the Museum atau Night at the Museum 2: Battle of the Smithsonian – semua bahan pameran bernyawa pada sebelah malam; masing-masing mempunyai cerita untuk diberitahukan kepada pengunjung.

Namun begitu, yang diyakini ialah bahawa Jabatan Muzium Malaysia, Perbadanan Muzium Melaka, dan pemilik serta pengusaha muzium yang lain mampu memikirkan kaedah untuk “menghidupkan” muzium. Tidak mustahil jika pada suatu hari nanti, seseorang pengunjung muzium akan bertikam dengan Hang Jebat atau merasai kehidupan zaman Perak Man, yang bercawat yang menjadikan haiwan sebagai makanan. Mungkin juga pengunjung dapat berteriak “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” atau tenggelam lemas bersama-sama Flor de la Mar. Idea ini mungkin kelihatan tidak waras – lebih mudah jika disebut gila – tetapi idea yang demikian, jika dapat direalisasikan, mampu membudayakan aktiviti mengunjungi muzium.

*****

Pada kesempatan ini, sidang editor Dewan Budaya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Hasan Abdul Majid yang dijemput pulang pada 16 Februari 2014 yang lalu. Kisah kehidupan pelukis yang berusia 68 tahun itu sebagai anak seni ditampilkan dalam Dewan Budaya Bil. 2 2014. Secara peribadi, saya kerap berurusan dengannya ketika Allahyarham berkhidmat sebagai pereka di Dewan Bahasa dan Pustaka sebelum bersara 12 tahun yang lalu. Marilah kita bersama-sama berdoa semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Armin Azhari Saleh

***

Rencana ini dipetik dari Majalah Dewan Budaya keluaran Mac 2014.

Posted in: Nota Editor

Hantar Maklum Balas Anda