MUZIUM MENCERAHKAN ZAMAN SILAM

Home » Fokus » MUZIUM MENCERAHKAN ZAMAN SILAM

Oleh Jeniri Amir

Selain kedai buku, satu daripada tempat yang wajib saya kunjungi apabila melawat negara asing ialah muzium. Jika di kedai buku saya dapat membelek halamannya dan kalau berminat dengan kandungannya akan terus membeli buku berkenaan, di muzium pula saya dapat mengetahui hal yang berkaitan dengan demografi, sejarah dan budaya rakyatnya. Dengan kunjungan yang selalunya hanya beberapa hari ke negara luar, muzium merupakan jalan pintas untuk mengetahui sejarah silam dan budaya unik rakyatnya. Ketika mengunjungi Paris pada tahun lepas, selain melawat Menara Eiffel, Muzium Louvre, yang terletak di Rive Droite Seine di tengah kota berkenaan, menjadi tumpuan saya. Muzium yang dibina pada tahun 1793 itu mempunyai koleksi 35 ribu bahan pameran dari zaman prasejarah hingga abad ke-19, termasuk 537 lukisan di kawasan seluas 60 600 meter persegi.

Mengapakah muzium menjadi daya tarikan? Apakah yang dapat diperoleh daripada muzium? Benarkah muzium sekadar tempat menyimpan barang purba dan gambar bersejarah? Bagi sesetengah orang, muzium dipandang dengan sebelah mata, malah ditanggapi sebagai tempat yang statik dan muram, malah menyeramkan kerana menyimpan barang purba atau kuno. Meskipun muzium sudah wujud lebih daripada 100 tahun di negara kita, kesedaran dan pemahaman masyarakat tentang peranan muzium masih belum begitu membanggakan. Keadaan ini berbeza daripada masyarakat Barat kerana mereka sedar tentang peranan muzium sebagai wadah yang berkesan dalam menyebarkan ilmu tentang sejarah dan budaya.

Meskipun banyak orang masih keliru dengan peranannya, muzium sebenarnya bukan sekadar tempat untuk menyimpan bahan sejarah, objek, dan artifak budaya dan gambar bersejarah, tetapi berperanan sebagai perakam dan pendidik budaya bangsa. Setiap bandar utama di ibu negeri di negara ini mempunyai muzium, malah Malaysia mempunyai sekitar 150 buah muzium yang dapat dikategorikan kepada lima jenis, iaitu muzium persekutuan, muzium negeri, muzium institusi, muzium persendirian dan muzium swasta. Muzium Negara dianggap sebagai peneraju aktiviti pemuziuman dan pendukung terhadap pemuliharaan serta pengekalan warisan koleksi khazanah negara. Pembinaan Muzium Negara, yang mewakili jati diri nasional, ialah kemuncak kepada sejarah pembinaan muzium terawal di Malaysia, seperti Muzium Perak (1883), Muzium Sarawak (1883), dan Muzium Selangor (1889).

Muzium Louvre di Paris dan British Museum di London merupakan muzium yang paling banyak menarik pengunjung di dunia, masing-masing 8.5 juta orang pengunjung dan 5.93 juta orang pelawat pada tahun 2008. National Gallery of Art di Washington D.C berada di kedudukan ketiga dengan 4.96 juta orang pengunjung.

Pada tahun 2010, sejumlah 2.6 juta orang mengunjungi 21 buah muzium di bawah seliaan Jabatan Muzium Malaysia — peningkatan 100 ribu orang berbanding dengan tahun 2009. Muzium Negara mencatat jumlah pengunjung tertinggi, iaitu satu juta orang. Sementara itu, pengunjung ke muzium di seluruh Sabah, umpamanya, merekodkan peningkatan sebanyak 15 peratus pada tahun 2013 dengan 440 612 orang pengunjung berbanding dengan 373 794 orang pada tahun sebelumnya. Muzium lain di negara ini juga memperlihatkan peningkatan dari segi jumlah pengunjung, sekali gus merupakan petanda baik tentang minat orang ramai untuk mengunjungi muzium.

***

Rencana ini dipetik dari Majalah Dewan Budaya keluaran Mac 2014.

Posted in: Fokus

Hantar Maklum Balas Anda