MUZIUM IALAH “MUZIUM”?

Home » Fokus » MUZIUM IALAH “MUZIUM”?

Oleh Marwan Arrayyan

Filem komedi arahan pengarah terkenal Shawn Levy, Night at the Museum, yang diterbitkan pada tahun 2006, dan Night at the Museum 2: Battle of the Smithsonian, tiga tahun kemudian, berjaya memberikan kutipan pecah panggung, iaitu masing-masing AS$574 juta dan AS$413 juta, kepada penerbitnya. Filem yang mengesahkan keadaan yang berlaku di dalam muzium itu berjaya menarik banyak penonton ke panggung berdasarkan jumlah kutipan tersebut. Penontonnya pula terdiri daripada pelbagai lapisan usia dan latar budaya.

Secara tidak langsung, hal ini membuktikan bahawa muzium merupakan lokasi utama dan penting bagi setiap peringkat umur untuk mengetahui, mempelajari, dan mengenali tamadun peradaban manusia. Muzium diibaratkan sebagai gedung ilmu yang menempatkan pelbagai maklumat, seperti sejarah, budaya, sains dan kemasyarakatan. Lantaran itu, suara yang mengatakan bahawa muzium tidak lagi relevan dikunjungi pada masa ini memang tidak tepat, malah individu tersebut dapat dikategorikan sebagai kurang bijak dan dangkal ketika bersuara.

Menurut mantan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang kini menyandang jawatan Penasihat Sosiobudaya Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim, muzium merupakan aspek yang sangat penting dalam mencemerlangkan peradaban bangsa dan negara. Peranan muzium bukan sahaja memaparkan persejarahan lampau negara, malah isu terkini yang wajar didekati dan difahami oleh masyarakat.

Pada ketika ini, terdapat lebih daripada 55 ribu buah muzium di 202 buah negara di seluruh dunia. Angka ini sudah cukup jelas menunjukkan kepentingan peranan muzium bagi setiap negara dalam mendidik anak bangsanya tentang sesuatu ilmu. Bagi sesebuah negara maju, peranan muzium sangat ditagih bagi membantu kanak-kanak dan remajanya memahami dan menghayati perjalanan dan liku yang dilalui sehingga tertubuhnya negara tersebut.

Walaupun banyak negara sudah sedar akan peranan muzium, hal ini agak berbeza di negara ini. Kanak-kanak dan remaja, malah ibu bapa, lebih gemar menghabiskan cuti hujung minggu mereka dengan memilih aktiviti yang betul-betul santai, seperti membeli-belah, menonton wayang, menghadiri konsert, dan berekreasi di taman tema, sebagai pilihan utama. Melawati muzium hanya dijadikan sebagai pilihan terakhir atau terus sahaja diserahkan secara bulat-bulat kepada pihak sekolah untuk mengadakan lawatan rasmi.

Persoalannya, adakah hal ini benar-benar berlaku atau sekadar polemik daripada sesetengah pihak yang beranggapan bahawa muzium semakin suram dan nasibnya juga bakal dijadikan seperti “muzium” atau sebaliknya? Apakah langkah pihak yang berkenaan untuk membudayakan aktiviti mengunjungi muzium?

Bagi Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Dato’ Ibrahim Ismail, persepsi masyarakat yang mengatakan bahawa muzium hanya untuk golongan tertentu memang tanggapan yang salah. “Pada masa dahulu, muzium terbatas kepada golongan bangsawan. Hal ini dikatakan demikian kerana golongan tersebut suka dan mengumpulkan barang,” jelas Ibrahim ketika ditemui di pejabatnya. “Namun begitu, keadaan sudah berubah dan muzium sudah terbuka kepada semua golongan.”

Ujar Ibrahim lagi, semua golongan masyarakat perlu melihat peri pentingnya muzium kepada peradaban sesebuah bangsa. Dengan melawati muzium, seseorang akan memperoleh ilmu baharu yang lengkap dan sahih untuk difahami dan dihayati.

Jika disoroti kembali filem arahan Shawn Levy itu, kisahnya bermula apabila seorang pengawal ditugaskan untuk mengawal persekitaran dan ruang pameran muzium tersebut. Yang menariknya, muzium yang menempatkan pelbagai pameran yang mewakili masyarakat dan budaya awal di Amerika ini “bernyawa” menjelang larut malam. Hal ini telah memberikan suatu pengalaman yang baharu serta cukup menarik kepada pengawal tersebut. Pengarah cuba menggambarkan betapa pentingnya muzium kepada masyarakat dalam mengenali dan menggali sejarah serta budaya terdahulu. Mungkin pengalaman seperti yang dialami dalam filem tersebut hanyalah cerita tahyul tetapi yang lebih utama masyarakat dapat merasai dan mengetahui sesuatu perkara yang berlaku sebelum ini dengan lebih dekat.

***

Rencana ini dipetik dari Majalah Dewan Budaya keluaran Mac 2014.

Posted in: Fokus

Hantar Maklum Balas Anda