MALAYSIA MUHIBAH

Home » Catatan » Nota Editor » MALAYSIA MUHIBAH

Suasana di restoran itu agak panas walaupun kipas siling berputar seligat-ligatnya, cuba menyamankan keadaan. Namun begitu, pengunjung – Melayu, Cina dan India serta warga asing – memenuhi setiap meja di dalam kedai itu tanpa mengira hawa yang kurang nyaman itu. Tidak ketinggalan juga pengunjung yang tercegat, cuba mencari meja kosong walaupun mengetahui keadaan yang tidak begitu selesa di dalam kedai itu.

Tauke pemilik kedai – berdiri di belakang kaunter bayaran – sibuk melayan pelanggan yang membuat bayaran selepas menikmati hidangan. Si penjual sate ligat mengipas satenya, untuk hidangan mereka yang sudah berada di dalam kedai dan mereka yang sedang berbaris – barisan semakin panjang dan sate semakin sedikit. Penjual nasi pula diam – mungkin berfikir sama ada masakan akan habis ataupun tidak kerana hari sudah petang, sungguhpun keuntungan pada hari itu pastinya telah diperoleh.

Itulah senario di Capital Cafe di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Setiap hari, kecuali hari Ahad, restoran itu kerap penuh dengan masyarakat Malaysia pelbagai kaum; tidak ketinggalan juga warga asing. Ada masanya mereka berkongsi meja walaupun tidak mengenali antara satu sama lain – kadangkala “terpaksa” berbual-bual untuk mewujudkan kemesraan – kerana tiada meja yang kosong. Secara tidak langsung, restoran itu menjadi mangkin pembinaan hubungan muhibah masyarakat negara ini.

Secara realitinya, selepas 57 tahun merasai nikmat kemerdekaan, hasrat untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negara ini kelihatannya belum dapat dijayakan dengan sempurnanya. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap kaum kelihatannya masih memperjuangkan kepentingan masing-masing tanpa melihat gambaran keseluruhannya. Yang anehnya, setiap kaum itu memahami, menerima, dan menegaskan kepentingan perpaduan kaum untuk keamanan, kestabilan, kemakmuran dan kemajuan negara. Walau bagaimanapun, pada hakikatnya, kelihatannya kepentingan kaum masih mengatasi kepentingan nasional.

Akhir-akhir ini, perpaduan yang sememangnya tidak begitu kukuh itu kelihatan dicabar dan semakin terungkai. Hal ini dikatakan demikian kerana ada pihak yang tidak mahu menghormati resam yang telah lama wujud, seperti penggunaan kalimah Allah, sehingga menyebabkan kes dibicarakan di mahkamah. Ada juga pihak yang mempertikaikan keputusan yang telah diambil – pastinya selepas mengambil kira kepentingan nasional – seperti penempatan guru bahasa Cina di beberapa buah sekolah. Inilah contoh yang dapat menimbulkan kegusaran dan kegelisahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum yang seterusnya mampu menjejaskan keamanan, kestabilan, kemakmuran dan kemajuan negara.

Yang tidak dinafikan ialah bahawa kerajaan telah menjalankan pelbagai program untuk memastikan kegusaran dan kegelisahan yang demikian diketepikan agar tidak menjejaskan keamanan, kestabilan, kemakmuran dan kemajuan negara. Pada hakikatnya, tidaklah sukar untuk mewujudkan suasana masyarakat Malaysia yang muhibah. Cara yang paling mudah ialah menghormati antara satu sama lain. Hal ini termasuklah menghormati adat setiap kaum dan menjunjung resmi zaman-berzaman. Yang paling tidak mudah, barangkali, ialah upaya untuk melaksanakannya.

“Malaysia … di sini lahirnya sebuah cinta.” Selamat menyambut Hari Kebangsaan.

Armin Azhari Saleh

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Ogos 2014

Hantar Maklum Balas Anda