MEMBINA JAMBATAN MUHIBAH

Home » Fokus » MEMBINA JAMBATAN MUHIBAH

Oleh Eh Dheng Eh Chik

Malaysia didiami oleh masyarakat majmuk. Apabila sesebuah negara itu bersifat majmuk, sudah pasti akan wujud jurang perpisahan antara pelbagai golongan masyarakat dengan etnik yang memiliki bahasa, budaya, kepercayaan, dan adat resam yang berbeza. Di Malaysia, perpisahan secara fizikal sudah wujud pada zaman kesultanan Melayu Melaka lagi. Keadaan ini diwujudkan untuk memudahkan sistem pentadbiran dengan golongan pendatang itu diletakkan di bawah ketua masing-masing. Oleh sebab itu, muncul penempatan kaum Cina, India, Jawa, Arab dan lain-lain.

Penempatan pada zaman kesultanan Melaka agak berbeza jika dibandingkan dengan penempatan pada zaman penjajah. Kaum pendatang pada masa itu tidak banyak jika dibandingkan dengan zaman penjajah Inggeris. Walaupun pada peringkat awalnya kedatangan kaum ini hanya untuk sementara waktu, akhirnya ada antara mereka yang terus menjadi penduduk tetap sehingga banyak menimbulkan masalah, khususnya dalam soal perkauman. Oleh sebab kaum pendatang ini ditempatkan di kawasan fizikal yang berbeza, dengan corak ekonomi yang tidak sama dan penggunaan bahasa yang tidak serupa, timbullah berbagai-bagai isu tidak kepuasan antara kaum. Mereka jarang-jarang berinteraksi antara satu sama lain kerana jurang perpisahan dalam pelbagai aspek.

“Interaksi budaya merupakan satu proses yang penting dalam memupuk persefahaman dan perpaduan kaum. Sekiranya etnik-etnik tidak bergaul antara satu dengan yang lain, malah berpisah-pisah, tanpa berinteraksi antara budaya, maka kemungkinan besar akan timbul salah faham dan syak wasangka antara satu sama lain.” Demikian kata Profesor Madya Dr. Ting Chew Peh (sekarangTan Sri).

Rukun Negara merupakan elemen penting dan khazanah yang paling berharga untuk rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Untuk mencapai tahap negara maju, sudah pasti sesebuah negara itu perlu aman dan damai. Bagi mencapai hasrat negara yang aman dan damai, rakyat Malaysia wajib mengamalkan Rukun Negara secara tulus dan ikhlas. Oleh sebab itu, semua bangsa yang mendiami bumi Malaysia perlu memahami inti pati dan falsafah yang tersirat dalam Rukun Negara secara mendalam dan menyeluruh.

Bagi mencapai hasrat ini, rakyat Malaysia perlu menghormati sensitiviti kaum dan bangsa tanpa menyentuh perkara yang berkaitan dengan agama, budaya, ideologi, cara hidup, serta kepercayaan masing-masing. Langkah ini perlu diteruskan sampai bila-bila supaya generasi baharu dapat memahami isi yang terkandung dalam Rukun Negara dan meneruskan amalan ini supaya Malaysia sentiasa aman dan damai.

Menurut UNESCO, pada masa ini, dianggarkan terdapat lebih daripada 6000 bahasa yang digunakan di seluruh dunia. Telah diketahui umum bahawa bahasa merupakan alat perhubungan antara manusia. Mereka berkomunikasi dalam satu atau dua atau tiga bahasa. Di samping itu, bahasa juga mempunyai pengertian dan makna yang dapat menggambarkan tradisi dan budaya kehidupan sesuatu masyarakat. Bahasa dianggap sebagai jambatan yang dapat menjadi alat perpaduan yang paling penting dalam menghubungkan pelbagai bangsa dan menjadi alat perpaduan antara kaum yang ada di bumi ini.

Sebagai negara yang didiami oleh penduduk berbilang kaum, Malaysia menentukan keamanan dan kesejahteraan melalui perpaduan antara kaum yang amat kukuh. Tanpa perpaduan, tidak wujud kestabilan dan keutuhan negara menjadi rapuh dan lumpuh. Rakyat Malaysia yang cinta akan tanah air sudah pasti tidak lupa akan peristiwa 13 Mei yang memusnahkan negara, menghancurkan harta benda, melumpuhkan ekonomi, dan menghancurkan perpaduan. Sudah pasti semua rakyat tidak mahu peristiwa ini berulang. Oleh sebab itu, semua pihak harus memikirkan kewujudan perpaduan nasional yang berterusan, dengan semua bangsa dan kaum menghormati antara satu sama lain demi menjaga perpaduan.

Malaysia negara maju, aman, dan makmur yang memiliki perlembagaan yang menjadi teras undang-undang yang kukuh yang mempunyai kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui sistem pilihan raya. Namun demikian, walaupun kita melihat dengan mata kasar bahawa Malaysia sudah memiliki asas ekonomi yang teguh dan perpaduan yang kukuh, hal ini belum pasti dapat berdiri dengan sempurnanya kerana keteguhan ini dikongsi bersama oleh berbagai-bagai etnik dan kaum yang memiliki perbezaan agama, budaya bahasa dan fahaman. Permasalahan ini memang timbul di serata dunia dan tetap akan menjadi agenda penting dalam menyusun sesuatu dengan sempurnanya supaya semua etnik akan mendapat kepuasan dalam semua aspek.

Dalam aspek penyusunan ini, pihak yang terlibat dalam soal keamanan dan kemakmuran negara perlu mengambil jalan yang cukup halus, licin, teratur, dan sempurna tanpa menggores dada mana-mana pihak. Yang terbaik sekali ialah dalam proses penyusunan itu, tidak ada pihak yang tidak berpuas hati dan syak wasangka. Untuk menjamin keutuhan dan kekuatan Malaysia, rakyat wajib bersatu padu serta berkongsi aspirasi negara yang sama. Perpaduan itu dapat dicapai melalui pembentukan bangsa Malaysia yang, sungguhpun mempunyai pelbagai etnik, agama, kepercayaan, kelas dan wilayah, masih mampu berkongsi satu bahasa dan satu budaya dengan menekankan konsep integrasi dan perpaduan nasional.

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Ogos 2014.

Posted in: Fokus, Pilihan Utama

Hantar Maklum Balas Anda