LAKSAMANA ARMADA ILMU

Home » Catatan » Nota Editor » LAKSAMANA ARMADA ILMU

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dapat dianggap sebagai universiti tidak formal. Hal ini dikatakan demikian kerana institusi tersebut banyak menerbitkan bahan ilmiah dalam pelbagai bidang. Demikian pandangan yang dizahirkan oleh Tan Sri Dr. Yusof Noor, presiden Universiti Diraja Universiti Islam Malaysia, ketika melancarkan Tafsir Maudhu’iy di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, pada 3 Mei 2014 yang lalu.

DBP sewajarnya mengambil peranan sebagai Baitul Hikmah yang wujud dari abad ketujuh hingga abad ke-15 di Baghdad. Hal ini dikatakan demikian kerana institusi itu merupakan gedung yang banyak menyimpan ilmu. Demikian pendapat yang disuarakan oleh Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, presiden Persatuan Antarabangsa Universiti dalam Wacana Fikrah Ummah: Pengaruh Tamadun Terhadap Perkembangan Ilmu di DBP Kuala Lumpur pada 21 April 2014 yang lalu.

Testimoni kedua-dua orang tokoh ternama itu menjadi bukti kewajaran kewujudan DBP sejak tahun 1956. Sejak itu – lebih tepat lagi 22 Jun – hingga kini, DBP bergerak sebagai salah sebuah agensi utama bagi menjayakan program pengisian kemerdekaan. Dalam prakarsa ini, tugas, peranan, dan kegiatan institusi “tenaga jiwa bangsa” itu berbeza daripada agensi lain. Bidang tugas dan peranan institusi tersebut lebih terfokus pada segi pembinaan dan penyuburan ilmu pengetahuan, di samping merangsang kecendekiaan pemikiran. DBP berfungsi sebagai badan perancang bahasa dan sastera (kedua-dua fungsi ini memang diketahui umum), serta pengisi kepustakaan ilmu negara (fungsi ini sering terlepas perhatian banyak pihak) melalui penerbitan bahan bacaan dan rujukan pelbagai bidang dalam bahasa Melayu.

Tatkala segelintir penulis mapan dan orang yang rapat dengan golongan itu kelihatan “lari” meninggalkan DBP menujui tempat yang dapat memberikan lebih “kepuasan”, institusi “nyala membakar semangat rakyat” itu tetap berdiri kukuh berusaha untuk mengatasi masalah tersebut dengan melahirkan kumpulan pelapis – tidak merintih atas “kehilangan” tersebut – selaras dengan matlamat kedua penubuhannya. Ketika bahan bacaan terbitannya kelihatan semakin “tersembunyi” dalam pasaran, tanpa mengenal jemu dan penat lelah, DBP terus gigih melaksanakan penerbitannya – bahan bacaan yang kerap kali merugikan dari segi kewangan, tetapi menguntungkan dari sisi pembinaan dan penyebaran ilmu – selaras dengan matlamat ketiga penubuhannya. Yang pastinya, DBP tidak akan sama sekali berundur daripada menjalankan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya sejak 58 tahun yang lalu walau apa-apa pun yang berlaku yang kelihatan tidak memihak kepadanya atau memudaratkannya – bujur lalu lintang patah.

Pada hakikatnya, negara ini masih “muda” jika dibandingkan dengan, sebagai contoh, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Perancis. Oleh hal yang demikian, yang tidak dapat dinafikan ialah bahawa negara ini masih belum mempunyai tradisi budaya keilmuan yang kukuh. Maka di sinilah peranan yang akan dimainkan dan terus dimainkan oleh DBP dalam tahun-tahun mendatang, selagi hayat dikandung badan – membina dan menyebarkan ilmu dalam pelbagai ranah bagi memenuhi keperluan masyarakat negara ini, dan tentunya dalam bahasa Melayu. Institusi “api dari suatu zaman, kesaktian lidah rakyat” itu akan terus mendukung citra sebagai ejen pembangunan tamadun bangsa dalam bahasa Melayu.

DBP laksana laksamana yang mengemudikan armada di samudera yang luas terhampar. Dirgahayu, DBP!

Armin Azhari Saleh

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Jun 2014.

Hantar Maklum Balas Anda