KESAN “ZAMAN GELITA” TERHADAP PERKEMBANGAN ILMU

Home » Fokus » KESAN “ZAMAN GELITA” TERHADAP PERKEMBANGAN ILMU

Oleh Dzulkifli Abdul Razak

Rata-rata pusat ilmu terkemuka terletak di dunia Barat, di institusi pengajian yang ditubuhkan sekitar abad ke-14 dan menggunakan bahasa Inggeris sebagai asas penyampaian dan penjanaan ilmu tersebut. Hal ini bukannya kebetulan jika kita sorot kembali kesan perubahan tamadun terhadap perkembangan ilmu.

Pada satu ketika, lebih awal sebelum abad ke-14, halnya agak berbeza kerana pusat ilmu berada di dunia sebelah Timur dan bahasanya juga bahasa lain, termasuk bahasa Arab dan bahasa al-Quran. Persoalannya, bagaimana perubahan ini boleh berlaku dan apakah kesannya kepada perkembangan ilmu sejagat?

Jika diimbas semula perkembangan ilmu di dunia Barat dan di Eropah Barat, khasnya, kita akan lebih memahami cara perkara ini berlaku. Sekali gus keterangan ini akan membantu menyedarkan kita bahawa peradaban ilmu bukan Barat, khususnya Asia, memainkan peranan yang amat penting dalam pembentukan tamadun ilmu di dunia Eropah tersebut. Malangnya, lazimnya hal ini tidak diketahui umum kerana diselindungi oleh peristiwa yang dinamai “Zaman Gelita”.

Tamadun Awal

Seperti yang dimaklumi umum daripada sejarah awal, antara tamadun ilmu terawal muncul dari kawasan sebelah timur di daerah meliputi lembah dan sungai, amnya, termasuklah kawasan Timur Tengah, terutama Mesopotamia (Sumer) berdekatan dengan Sungai Euphrates dan Sungai Tigris di sempadan Iraq hari ini. Tidak ketinggalan juga di Mesir di sekitar Sungai Nil, selain tamadun di Lembah Indus, India, atau di Sungai Huang He di China (rajah 1). Umumnya dari kawasan Asia inilah merebaknya tamadun ke kawasan lain berserta dengan perkembangan ilmu hasil daripada berbagai-bagai penemuan yang dilakukan oleh cendekiawan dan sarjana Asia, baik Arab, India mahupun China.

Di samping itu, terdapat juga tamadun Yunani dan Rom yang turut berkembang, tetapi beransur-ansur merosot kerana beberapa sebab – pertembungan ketenteraan dan peperangan, isu sosioekonomi, seperti pembaziran sumber serta kekayaan, dan politik, seperti ketidakadilan dan penyelewengan tadbir urus. Kemerosotan ini membuatkan pusat tamadun di Asia menjadi lebih terserlah dan lebih berpengaruh kerana ilmu mula mengalir ke situ dan membolehkan berbagai-bagai penemuan penting dilakukan untuk memperluas bidang ilmu lagi.

Misalnya, antara penemuan yang dilakukan termasuklah sumbangan tamadun Mesir dalam bidang matematik, terutama geometri yang memungkinkan pembinaan struktur hebat, seperti piramid. Dari tamadun China, lahir bahan letupan, penggunaan wang, dan penciptaan kertas, selain sistem penulisan dan angka, termasuk “sifar” dari tamadun India.

Contoh yang lebih khusus lagi datangnya daripada pelayaran dan pengembaraan lebih daripada 700 tahun yang lalu oleh Ma He, orang berketurunan Islam yang lebih dikenal sebagai Zheng He (Cheng Ho). Pelayaran ini menampakkan betapa tingginya tamadun Timur berbanding dengan tamadun Barat, bukan sahaja daripada keupayaannya, tetapi juga kemampuan teknologi serta peralatan yang ada. Walau apa-apa pun, gambaran serta fakta seumpama ini jarang-jarang sekali diwara-warakan – seolah-olah hal ini tidak penting atau tidak berlaku. Keadaan sedemikian dibiarkan berleluasa kerana pegangan bahawa dunia Barat wajar terlebih dahulu memberikan tanda “mohor” sebelum ilmu tersebut dianggap “berguna” dari sudut ilmu. Jika tidak, tidaklah – tidak kira jika ilmu atau maklumat itu terkubur begitu sahaja.

“Zaman Gelita”

Mengikut pandangan alam Barat, sumber ilmunya berpunca daripada pengaruh Yunani dan Rom sejak abad kelima, khasnya ilmu falsafah Yunani dan perundangan Rom, dan bukan dari tamadun lain. Oleh sebab kefahaman Kristian juga berpengaruh dalam masyarakat Rom sejak awal, tidak dapat satu lagi asas pandangan alam yang dianjurkan oleh pandangan Barat mengikut apa-apa yang disimpulkan oleh gereja pada ketika itu. Hal ini bermakna berlakunya “loncatan” ilmu dari abad kelima hingga lewat abad ke-14 umumnya berasaskan adunan tiga dimensi (Yunani-Romawi-Kristian) tadi sebagai asas utama ilmu bagi dunia Barat. Keadaan ini menjangkau anggaran 1000 tahun antara abad kelima hingga ke-14 yang diandaikan oleh pandangan Barat sebagai tidak penting bagi mereka atas andaian bahawa tidak ada apa-apa yang dikira mustahak berlaku untuk diambil kira, apalagi sebagai sesuatu yang berpengaruh kepada masyarakat Barat.

Oleh itu, tidak hairanlah jika jangka masa 1000 tahun tersebut digelar oleh mereka sebagai “Zaman Gelita” untuk membayangkan kegelapan tamadun pada masa itu, yakni tidak terdapat tamadun lain (khususnya yang terbit daripada sumber bukan Barat) yang wajar diberi perhatian. Dengan kata lain, pada masa “Zaman Gelita” antara abad kelima hingga ke-14, tamadun Asia kurang berperanan memupuk tamadun dunia yang didominasi oleh tamadun Barat semata-mata (rajah 2). “Zaman Gelita” tersebut bermula agak serentak dengan kemerosotan empayar Rom yang kemudiannya dipengaruhi dengan lebih ketara oleh ajaran Kristian, terutama semasa Maharaja Constantine menjadi Kristian dan menjadikannya sebagai agama seluruh empayar pemerintahannya.

Ekoran daripada itu, tamadun Barat mentakrifkan berkembangan tamadunnya sendiri bermula dengan kemunculan fasa Renaissance (kebangkitan atau pembaharuan) sekitar abad ke-14 (rajah 2). Sekali gus hal ini menamatkan “Zaman Gelia” hasil daripada tercetusnya “revolusi saintifik” (pada abad ke-15 dan ke-16) serta muncul pula “Zaman Industri” selepas itu. Perkara ini ada kena-mengenanya dengan beberapa penemuan baharu yang mendorong perkembangan ilmu melalui hal yang dikenal sebagai “kaedah/pemikiran saintifik.” Pada tahun 1700-an, kaedah ini menjadi teras kerangka zaman kesedaran (age of enlightenment) apabila akal pemikiran saintifik diletakkan pada peringkat paling tinggi, merintis teori baharu dalam usaha mengenali alam semesta dengan lebih dekat.

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Jun 2014.

Posted in: Fokus, Pilihan Utama

Hantar Maklum Balas Anda