SENI PERSEMBAHAN DALAM PELANCONGAN BUDAYA

Home » Fokus » SENI PERSEMBAHAN DALAM PELANCONGAN BUDAYA

Oleh Muhammad Abi Sofian

Malaysia sememangnya kaya dengan pelbagai genre seni persembahan Melayu, sama ada muzik, teater, tarian, silat, bangsawan ataupun wayang kulit, yang dapat menjadi daya tarikan kepada pelancong luar negara melalui konsep pelancongan budaya. Konsep pelancongan budaya menjadi antara pendekatan yang kompetitif oleh pengusaha dalam industri pelancongan untuk bersaing dengan negara lain di Asia Tenggara.

Keunikan seni persembahan Melayu pula menjadi antara elemen terpenting yang dapat meningkatkan nilai produk pelancongan tempatan. Sesungguhnya keunikan budaya Melayu di Malaysia, yang penduduknya meliputi kaum Melayu, Cina, India, dan bumiputera lain, telah membentuk identiti budaya kebangsaan yang tersendiri dan sekali gus menjadi daya tarikan kepada pelancong luar untuk berkunjung ke negara ini. Kepelbagaian ini juga telah mengasimilasikan muzik tradisi Melayu yang dapat dijadikan sebagai penghias perkhidmatan pelancongan atau hospitaliti di hotel, inap desa, motel, calet, dan rumah tumpangan lain dalam konteks pelancongan desa.

Dalam sejarah seni persembahan Melayu, beberapa orang pakar etnomuzikologi, seperti Matusky dan Beng, menyatakan bahawa seni persembahan tradisi Melayu di Malaysia pada hari ini telah melalui proses pengaruh akulturasi dan asimilasi sehingga terbentuk pelbagai genre seni persembahan Melayu, seperti seni persembahan tradisional, seni rakyat, seni kontemporari, seni popular dan sinketik. Semuanya telah melalui proses perkembangan secara beransur-ansur dan berperingkat-peringkat yang dipengaruhi oleh penyebaran agama Hindu, Buddha, Islam dan Kristian. Beberapa orang ahli sejarah berpendapat bahawa perkembangan agama dan seni persembahan Melayu ini juga telah dibawa oleh pedagang yang mengunjungi Nusantara sejak awal Masihi lagi.

Sebagaimana yang telah sedia maklum, perairan Nusantara, khususnya Selat Malaka, menjadi laluan utama kepada pedagang China, India, Asia Tenggara, dan Asia Barat untuk berniaga. Melaka juga dijadikan sebagai pelabuhan entrepot dan persinggahan pedagang luar. Di samping itu, Kelantan, Terengganu, dan Pahang menjadi antara pelabuhan yang aktif dalam perdagangan dengan beberapa buah negara Indo-China. Semua perdagangan yang aktif ini mewujudkan beberapa buah kerajaan, seperti Sri Wijaya, Patani dan Melayu. Sesungguhnya proses asimilasi agama dan perdagangan yang berlaku di Tanah Melayu ini telah membentuk pelbagai genre seni persembahan Melayu yang tersendiri dan berbeza daripada seni persembahan yang terdapat di Indonesia, Filipina, Brunei, Thailand dan Singapura.

Sejarah membuktikan bahawa seni persembahan Melayu dapat dibahagikan kepada dua kategori. Yang pertama ialah kategori seni persembahan yang sememangnya digunakan untuk majlis diraja dan istana, serta kategori seni persembahan untuk hiburan di istana yang terdiri daripada muzik, teater dan tarian.

Seni persembahan rakyat pula dapat dilihat dalam dua sudut juga, iaitu seni persembahan yang berkaitan dengan upacara animisme sebagai medium untuk menghubungkan manusia dengan alam ghaib dan sudut seni persembahan untuk hiburan sahaja. Ahli sosiologi Melayu, Mohd. Taib Osman, berpendapat bahawa seni persembahan istana yang digunakan untuk majlis rasmi di istana termasuklah nobat dan nafiri, sementara itu muzik istana yang digunakan untuk bersantai dan hiburan kepada golongan kerabat diraja termasuklah gamelan, makyung dan menora. Seni persembahan Melayu yang meliputi seni hiburan dan spiritual ini telah dapat dikenal pasti meliputi pelbagai genre, seperti randai, caklempong, boria, rodat, jikey, dikir barat dan bangsawan.

Terdapat juga beberapa seni persembahan Melayu yang dihubungkaitkan dengan unsur spiritual, seperti mek mulung, wayang kulit, silat dan ulik mayang. Pemuzik dan penari terpaksa memohon restu daripada kuasa ghaib untuk mendapatkan perlindungan sewaktu menjalankan persembahan mereka dengan lancarnya tanpa gangguan daripada kuasa ghaib yang lain. Semua kepercayaan animisme ini terbentuk melalui proses asimilasi di alam Melayu dengan pengaruh agama Hindu dan Buddha yang telah lama bertapak di Tanah Melayu.

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran September 2014.

Posted in: Fokus, Pilihan Utama

Hantar Maklum Balas Anda